Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribut petir terbalikkan kapal dalam beberapa saat, 35 terbunuh di Vietnam

Jul 21, 2025 | 7:55 PM
Foto edaran oleh Agensi Berita Vietnam (VNA) menunjukkan sebuah kapal pelancong yang terbalik sedang ditunda ke darat di Quang Ninh, Vietnam, pada 20 Julai 2025. Menurut VNA, seramai 35 orang disahkan maut manakala empat lagi masih hilang selepas kapal pelancong yang membawa 49 orang penumpang itu terbalik di Teluk Ha Long pada 19 Julai.
Foto edaran oleh Agensi Berita Vietnam (VNA) menunjukkan sebuah kapal pelancong yang terbalik sedang ditunda ke darat di Quang Ninh, Vietnam, pada 20 Julai 2025. Menurut VNA, seramai 35 orang disahkan maut manakala empat lagi masih hilang selepas kapal pelancong yang membawa 49 orang penumpang itu terbalik di Teluk Ha Long pada 19 Julai. - Foto EPA

HALONG, Vietnam: Ribut petir datang secara mengejut sehingga kapal terbalik dalam beberapa saat sahaja, kata dua mangsa yang terselamat dalam tragedi kapal karam yang meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa di Teluk Ha Long, destinasi pelancongan paling terkenal di Vietnam. Empat lagi mangsa masih belum ditemui.

“Ia telah hujan selama 15 minit, kemudian datang ribut... dan ombak besar tiba-tiba memusingkan kapal,” kata Encik Nguyen Hong Quan, seorang pelancong berusia 40 tahun yang merupakan salah seorang daripada 10 mangsa terselamat dalam kejadian pada awal petang 19 Jun lalu.

“Ia hanya mengambil masa beberapa saat,” katanya lagi, mengenang antara kemalangan paling buruk yang pernah menimpa gugusan pulau batu kapur yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan terletak kira-kira 200 kilometer timur laut Hanoi.

Menurut pihak berkuasa Vietnam, seramai 49 orang berada di atas kapal ketika kejadian, termasuk 46 penumpang dan tiga anak kapal – semuanya warga tempatan. Dalam sidang media pada 21 Julai, Jawatankuasa Rakyat Wilayah Quang Ninh memaklumkan bahawa 10 orang berjaya diselamatkan, manakala empat lagi masih hilang.

Sebelum ini, jumlah korban diumumkan sebagai 37, namun disemak semula kepada 35 selepas proses pengesahan lanjut.

Kejadian berlaku sewaktu ribut melanda kawasan utara Vietnam, menyebabkan langit tiba-tiba gelap, hujan lebat dan angin kencang yang menumbangkan pokok-pokok di ibu kota Hanoi serta mengganggu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai.

Encik Quan menceritakan bahawa beliau terapung selama hampir tiga jam berpaut pada kerusi kayu dari kapal yang karam, sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan. Dua lagi individu berpaut bersama beliau, tetapi hanya seorang yang terselamat.

“Salah seorang daripada mereka terlalu letih dan tak mampu bertahan lagi. Sungguh menyedihkan,” katanya.

Kisahnya disokong oleh Encik Vu Anh Tu, 25 tahun, seorang anak kapal yang juga terselamat. “Ombak sangat kuat. Salah seorang rakan saya terlalu penat dan ucapkan selamat tinggal,” katanya sambil mengenang saat getir itu.

Beliau turut mengesahkan bahawa kapal terbalik dalam masa kurang 15 saat selepas ribut kuat melanda. “Kehilangan ini amat besar... termasuk kanak-kanak,” katanya lagi, mengesahkan laporan bahawa terdapat beberapa kanak-kanak di atas kapal tersebut.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan bekerja di atas kapal lagi,” ujar Tu dengan nada sebak.
Menurut laporan Agensi Berita Vietnam, kejadian berlaku ketika kapal pelancong itu sedang membawa penumpang bersiar-siar di perairan Teluk Ha Long. Ribut melanda secara tiba-tiba, menyebabkan kapal itu karam dan terbalik.

Sementara itu, pihak berkuasa sedang menyemak sama ada mayat yang ditemui di sebuah pulau kecil di teluk tersebut pada 21 Julai adalah salah seorang daripada mangsa yang masih hilang.

Amaran cuaca juga telah dikeluarkan berikutan ketibaan Taufan Wipha yang dijangka mendarat di utara Vietnam selepas melintasi pesisir selatan China. Taufan tersebut telah menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di beberapa kawasan.

Tragedi ini memberikan peringatan pahit tentang betapa cepatnya cuaca boleh berubah menjadi bencana. “Kami langsung tak sempat berfikir. Semua berlaku terlalu pantas,” kata Encik Quan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg