Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semua 18 mangsa bot terbalik di Mentawai, Sumatera Barat, ditemui selamat

Jul 16, 2025 | 11:27 AM
Anggota petugas dari Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Mentawai berjaya menemui kesemua 18 penumpang dan anak kapal dalam kejadian kemalangan bot yang melalui laluan Sikakap ke Tuapejat, di Mapinang Utara, Kabupaten Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, pada 15 Julai.
Anggota petugas dari Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Mentawai berjaya menemui kesemua 18 penumpang dan anak kapal dalam kejadian kemalangan bot yang melalui laluan Sikakap ke Tuapejat, di Mapinang Utara, Kabupaten Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, pada 15 Julai. - Foto: AFP

KEPULAUAN MENTAWAI, Sumatera Barat: Kesemua penumpang dan anak kapal yang menaiki bot yang terbalik di perairan Kepulauan Mentawai, telah ditemui selamat selepas usaha mencari dan menyelamat dijalankan sepanjang 24 jam.

Seorang pegawai kecemasan mengesahkan pada petang 15 Julai bahawa beberapa mangsa yang terselamat didapati hanyut di laut selama berjam-jam sebelum pasukan penyelamat menemui dan menyelamatkan mereka.

Bot yang membawa 16 penumpang dan dua anak kapal itu terbalik selepas dipukul ombak besar ketika cuaca buruk pada petang 14 Julai.

Lima penumpang dan dua anak kapal berjaya berenang ke darat dan diselamatkan pada hari yang sama, manakala 11 lagi pada mulanya dilaporkan hilang di Selat Sipora.

Kapal penyelamat Ramawijaya kemudian membawa kesemua 18 mangsa yang terselamat dari Daerah Pagai Utara kembali ke Pelabuhan Tuapeijat, Mentawai.

Perjalanan membawa mangsa itu mengambil masa lebih sejam kerana cuaca ekstrem dan laut bergelora.

Pasukan perubatan yang sememangnya bersiap sedia di dermaga, segera memindahkan mangsa yang terselamat seorang demi seorang untuk rawatan perubatan.

Keluarga yang menunggu sejak awal pagi menitiskan air mata lega apabila orang tersayang dibawa ke darat dengan selamat.

Kesemua mangsa yang terselamat kemudian dibawa ke Hospital Besar Wilayah Mentawai untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan rapi.

Kebanyakan penumpang adalah kakitangan pemerintah dari Kabupaten Kepulauan Mentawai termasuk seorang anggota majlis tempatan. Terdapat juga tiga kanak-kanak dalam kalangan penumpang.

Menurut pegawai bantuan kecemasan, beberapa penumpang yang hilang telah ditemui terapung di perairan sekitar Pulau Pagai dan Sipora.

Ekoran tragedi tersebut, Bupati Kepulauan Mentawai, Encik Rinto Wardana berikrar untuk mengkaji semula standard keselamatan kapal penumpang yang beroperasi di perairan pulau tersebut dan sekitarnya.

“Kami akan segera memeriksa dan merekodkan semua bot yang beroperasi di Mentawai, termasuk menyemak kelayakan pengusahanya.

“Perairan Mentawai terkenal dengan keadaan cuaca ekstrem, dan ini mesti menjadi kebimbangan bersama untuk mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa depan,” kata Encik Rinto.

Operasi menyelamat itu membabitkan pasukan dari Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), tentera, polis, agensi mitigasi bencana wilayah (BPBD), dan penduduk yang bertungkus-lumus menghulurkan tanga sejak kejadian itu pertama kali dilaporkan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg