Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Risiko kebuluran yang tinggi berterusan di Gaza

Jun 26, 2024 | 5:32 PM
Gaza
Penduduk Palestin berebut-rebut untuk mendapatkan makanan yang disediakan oleh badan amal di tengah-tengah masalah kekurangan makanan yang semakin mencengkam di Gaza. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Gaza kekal berisiko tinggi mengalami kebuluran akibat perang antara Israel dengan Hamas yang berterusan dan terbatasnya akses kepada bantuan meskipun penghantaran bekalan telah mengehadkan unjuran masalah kelaparan melampau di kawasan utara, kata pemantau sejagat pada 25 Jun.

Lebih daripada 495,000 orang di serata Jaluran Gaza menghadapi tahap kekurangan makanan yang paling teruk atau “malapetaka”, berdasarkan kemas kini Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).

Ia lebih rendah daripada ramalan 1.1 juta dalam kemas kini sebelumnya pada April, tetapi masih menjejas lebih daripada satu perlima penduduk Gaza.

Kekurangan makanan yang melampau boleh membawa kepada kekurangan zat makanan yang serius ke atas kanak-kanak kecil, risiko kebuluran dan kematian.

Penilaian IPC itu menunjukkan bahawa lebih separuh daripada isi rumah Gaza terpaksa menjual pakaian dan satu pertiga mengumpul dan menjual sampah bagi membeli makanan.

Lebih 20 peratus dilaporkan pula tanpa makanan sepanjang hari dan malam.

Secara keseluruhan, sekitar 96 ​​peratus penduduk menghadapi tahap tidak aman yang tinggi dari segi makanan bagi tempoh sehingga September.

Pemantau yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata penghantaran bantuan makanan pada Mac dan April nampaknya telah mengurangkan masalah kelaparan di utara Gaza.

IPC sebelum ini meramalkan kemungkinan berlakunya kebuluran di wilayah itu.

Bagaimanapun, serangan Israel di sekitar bandar Rafah di selatan dari awal Mei yang menyaksikan pertempuran dan pemindahan penduduk telah membawa kepada kemerosotan semula dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tambahnya.

“Ruang kemanusiaan di Gaza terus mengecil dan keupayaan untuk menghulurkan bantuan dengan selamat kepada penduduk semakin berkurangan,” kata IPC.

Jawatankuasa Semakan Kebuluran, sekumpulan pakar yang menyemak penemuan IPC, berkata dalam laporannya bahawa terdapat “penderitaan manusia yang ekstrem” di Gaza dan risiko kebuluran tidak berkurangan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg