DEIR AL-BALAH (Gaza): Pegawai perubatan di Gaza sedang berusaha meningkatkan pemeriksaan ke atas kanak-kanak bagi mengesan masalah kekurangan zat makanan teruk, di tengah-tengah kebimbangan kelaparan semakin berleluasa sedang penduduk melarikan diri ke kawasan baru.
Kumpulan bantuan Kor Perubatan Antarabangsa (IMC) merancang memeriksa lebih 200,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun sebagai sebahagian kempen ‘Cari dan Rawat’, kata Dr Munawwar Said kepada Reuters melalui telefon pada 24 Jun.
“Dengan perpindahan itu, masyarakat menetap di lokasi baru yang tidak mempunyai akses kepada air bersih, atau tiada akses kepada makanan yang mencukupi,” kata Dr Munawwar.
“Kami bimbang lebih banyak kes terlepas daripada pemeriksaan.”
Pada hujung minggu lalu, keluarga sudah mula berkunjung ke klinik IMC di pusat bandar Deir al-Balah, yang dibuka selepas ia terpaksa menutup dua pusat di bandar selatan Rafah kerana keadaan tidak selamat akibat serangan Israel.
Berat badan seorang kanak-kanak, Jana Ayad, lima tahun, hanya sembilan kilogram ketika dia tiba di klinik itu kerana cirit-birit dan muntah, kata Pegawai Pemakanan, Cik Raghda Ibrahim Qeshta.
“Anak perempuan saya sedang nazak,” kata ibunya, Cik Nasma Ayad, sambil duduk di sisi katil.
Namun selepas menjalani rawatan, Jana mula menambah berat badannya tetapi dia masih kurus dengan tulang rusuknya jelas kelihatan ketika dia baring di katil.
Kakitangan boleh mengukur tahap pemakanan dengan mengukur lilitan lengan kanak-kanak.
Sekumpulan agensi bantuan yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekitar 7 peratus kanak-kanak Gaza mungkin mengalami kekurangan zat makanan, berbanding 0.8 peratus sebelum konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg