Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Riyadh lantik duta pertamanya ke Palestin

Pengumuman dibuat di tengah-tengah meningkatnya usaha Amerika agar Israel dan Arab Saudi
jalin hubungan diplomatik
Aug 14, 2023 | 12:01 PM



BAITULMAKDIS: Arab Saudi telah melantik duta pertamanya ke pentadbiran Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel – satu langkah yang dilihat mempunyai kaitan dengan usaha yang dirintis Amerika Syarikat untuk Arab Saudi menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.


Duta Arab Saudi ke Jordan, Encik Nayef Al-Sudairi, kini secara serentak akan berkhidmat sebagai “duta bukan pemastautin ke Palestin”, kata Kementerian Luar Arab Saudi pada Sabtu dalam satu kenyataan ringkas.

Arab Saudi mengiktiraf negara Palestin di seluruh Tebing Barat, Gaza dan Baitulmakdis Timur – wilayah yang ditawan Israel semasa perang Arab-Israel pada 1967.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah meningkatnya usaha oleh Amerika agar Israel dan Arab Saudi menjalin hubungan rasmi buat pertama kali.

Ini menyusuli spekulasi di Israel bahawa Arab Saudi – yang telah lama menentang langkah mewujudkan hubungan rasmi sehingga konflik Israel-Palestin telah diselesaikan – kini mungkin bersedia untuk berbuat demikian tanpa Israel memberikan rakyat Palestin autonomi yang lebih besar.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam satu wawancara yang disiarkan minggu lalu, berkata: “Ia seperti kotak semak. Anda perlu menyemaknya untuk menyatakan anda melakukannya.”

Tetapi penganalisis Saudi dan Palestin berkata bahawa pelantikan Encik Al-Sudairi menunjukkan Riyadh serius untuk mendapatkan layanan yang lebih baik untuk rakyat Palestin.

“Ini adalah cara Saudi untuk menyampaikan sesuatu,” kata Encik Abdulaziz Alghashian, pakar Saudi mengenai hubungan Riyadh dengan Israel.

“Mereka menyatakan bahawa ini lebih sedikit daripada semakan dalam kotak,” ujarnya.

Duta Arab Saudi ke Jordan telah lama mengawasi fail Palestin secara tidak rasmi.

Pengakuan rasmi terhadap dua peranan itu adalah “tindak balas terhadap persepsi dalam kalangan warga Israel bahawa Saudi tidak begitu mengambil berat tentang rakyat Palestin”, kata Encik Alghashian, yang berpangkalan di Riyadh.

Jika perjanjian dicapai pada tahun akan datang, ia dijangka melibatkan perjanjian tiga hala di mana Amerika menyediakan Riyadh dengan sokongan ketenteraan yang lebih besar dan bantuan untuk program nuklear sivil, dan Israel menawarkan beberapa jenis konsesi kepada Palestin.

Pada Ahad, pemerintah Israel, yang dikuasai oleh penggubal undang-undang yang menentang kedaulatan Palestin, terus memperkecilkan kaitan komponen Palestin dalam rundingan.

Menteri Luar Israel, Encik Eli Cohen, berkata pada Ahad dalam temu bual radio bahawa pengumuman itu sebahagian besarnya simbolik.

“Orang Saudi ingin menyampaikan mesej kepada rakyat Palestin bahawa mereka tidak dilupakan,” kata beliau.

Tetapi pada hakikatnya, “isu Palestin bukanlah isu utama dalam rundingan”, tambahnya.

Tetapi rakyat Palestin mengambil hati daripada pengumuman itu – terutamanya dakwaannya bahawa duta itu juga akan berkhidmat, sekurang-kurangnya atas nama, sebagai konsul di Baitulmakdis.

Israel telah menguasai seluruh Baitulmakdis sejak 1967 dan mengisytiharkan bandar itu sebagai ibu kotanya yang tidak berbelah-bahagi, tetapi rakyat Palestin berharap sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya akan menjadi ibu kota negara Palestin suatu hari nanti.

Pelantikan konsul di sana dilihat sebagai sokongan kepada aspirasi rakyat Palestin, kata Encik Ibrahim Dalalsha, pengarah Pusat Horizon, sebuah kumpulan penyelidik Palestin di Ramallah, Tebing Barat. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >