Topik diikuti
Pergi ke BHkuRoket Boeing-Lockheed gagal sejurus diluncur, musnahkan satelit Amazon
Roket Boeing-Lockheed gagal sejurus diluncur, musnahkan satelit Amazon
BROWNSVILLE (TEXAS): Sebuah roket Vulcan milik United Launch Alliance (ULA), syarikat usaha sama antara Boeing dengan Lockheed Martin, gagal sejurus diluncurkan daripada Florida pada 15 November, sekali gus memusnahkan muatan 40 satelit bagi rangkaian Internet Leo milik Amazon.
Roket tersebut mengalami kegagalan kira-kira 10 minit selepas dilancarkan dari Stesen Tentera Angkasa Cape Canaveral di Florida, dan puncanya masih belum segera dapat dipastikan kerana penelitian sedang giat dijalankan.
Kejadian itu merupakan tamparan hebat kepada roket syarikat berusia dua dekad tersebut ketika ia berusaha memulakan jadual pelancaran yang kerap bagi gugusan satelit internet Amazon yang sedang berkembang pesat.
“Berdasarkan data yang diterima, kami mengesahkan bahawa roket Vulcan yang dilancarkan daripada Kompleks Pelancaran Angkasa 41 mengalami masalah 10 minit selepas penerbangan dan gagal menghantar misi Amazon ke orbit,” kata ULA dalam satu kenyataan.
“Memandangkan masalah itu baru sahaja berlaku, kami masih belum mempunyai sebarang data khusus untuk memahami apa yang berlaku hari ini,” tambahnya.
Misi tersebut merupakan penerbangan kelima Vulcan sejak penampilan sulungnya pada 2024 dan yang pertama dalam tempoh sembilan bulan, berikutan penangguhan pelancaran yang berlarutan akibat siasatan teknikal berasingan terhadap penggalak sisi roket pepejal serta enjin teras BE-4 yang dibekalkan oleh syarikat angkasa lepas Blue Origin milik pengasas Amazon, Encik Jeff Bezos.
Penggalak berkenaan sedang diteliti berhubung masalah yang dihadapi pada dua penerbangan terakhir Vulcan, termasuk misi pada Februari untuk Tentera Angkasa Amerika..
Kedua-dua misi tersebut berjaya menghantar muatannya ke orbit, namun Pentagon masih belum meluluskan roket itu untuk menyambung semula penerbangan muatan keselamatan negara, sementara menunggu prestasinya dalam misi Amazon pada 15 November.
Roket New Glenn milik Blue Origin yang menggunakan enjin BE-4 mengalami letupan di tapak pelancaran pada Mei, dan siasatannya mendapati enjin tersebut menjadi puncanya. Perkara itu menyebabkan syarikat berkenaan mengubah suai enjin yang dihantar kepada ULA untuk Vulcan, kata jurucakap ULA Jessica Rye kepada Reuters pada Ogos. – Reuters.