WASHINGTON: Setiausaha Negara Marco Rubio pada 20 Mei menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak akan berundur daripada dunia, ketika beliau menepis kritikan terhadap pemotongan bantuan dan belanjawan diplomatik daripada mantan rakan sekerja di Kongres.
Sebahagian daripada mereka melahirkan rasa kecewa kerana beliau tidak menentang Presiden Donald Trump.
Dalam keterangan pertamanya yang kadangkala penuh semangat sebagai diplomat tertinggi negara, Encik Rubio dicabar mengenai peranannya dalam tindakan keras pentadbiran dalam isu imigresen dan penglibatan Encik Trump dengan Presiden Russia Encik Vladimir Putin.
Begitu juga dikritik berkaitan keputusannya untuk mengutamakan penempatan semula warga kulit putih Afrika Selatan di Amerika berbanding pelarian dari negara lain.
Encik Rubio berkata perubahan yang beliau buat itu “bukan untuk merungkai dasar luar Amerika, dan bukan untuk menarik kita daripada dunia”, memetik jadual lawatannya ke banyak negara sejak memegang jawatan.
“Saya telah mengunjungi 18 negara dalam tempoh 18 minggu. Ini tidak kelihatan seperti pengunduran,” katanya kepada Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat.
Pentadbiran Encik Trump telah menyekat kemasukan pelarian bukan kulit putih dari seluruh dunia tetapi telah mula menempatkan semula orang Afrika, kebanyakannya peneroka keturunan Belanda di Afrika Selatan.
Alasan yang diberi ialah mereka menghadapi diskriminasi, dan juga pembunuhan beramai-ramai – sesuatu yang dinafikan pemerintah Afrika Selatan.
“Walaupun anda telah berpaling daripada pembunuhan beramai-ramai di Sudan dan menciptanya di Afrika Selatan, anda telah bekerjasama dengan Presiden Trump untuk melemparkan rakyat Ukraine ke bawah bas, dan telah dipermainkan seperti biola oleh Encik Putin,” kata Senator Demokrat Encik Chris Van Hollen dari Maryland.
Menjawab kritikannya itu, Encik Rubio berkata: “Kekesalan anda kerana mengundi saya mengesahkan saya menjalankan tugas dengan baik.”
Mengenai Russia, Encik Rubio berkata Encik Putin tidak menerima sebarang konsesi sebenar dalam usaha Amrerika untuk memulakan rundingan menamatkan perang di Ukraine, dan sekatan Russia kekal dilaksanakan.
Semasa sesi kedua, beberapa Republikan menyuarakan sokongan terhadap bantuan dan bentuk kuasa lembut yang lain.
Senator Republikan Encik Lindsey Graham, pengerusi jawatankuasa kecil hal ehwal luar negeri peruntukan Senat, berkata: “Ini, bagi saya, adalah keselamatan negara dalam bentuk lain.”
Encik Rubio menegaskan bahawa banyak program yang telah dipotongnya tidak memenuhi kepentingan Amerika dan Washington akan kekal sebagai penderma bantuan kemanusiaan paling murah hati di dunia. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg