KATHMANDU: Sebuah rumah hijau tiga tingkat yang kekal berdiri ketika arus banjir ganas memusnahkan hampir segala-galanya di sekelilingnya kini menjadi simbol luar biasa tentang kelangsungan hidup di tengah-tengah bencana besar Nepal.

Rumah milik keluarga Pyakurel di Dhunge Bazaar itu digelar sesetengah penduduk sebagai “rumah ajaib”, manakala pengunjung lain mengenalinya sebagai “rumah tular” selepas rakaman detik cemas keluarga tersebut tersebar luas di media sosial.

Video itu menunjukkan anggota keluarga Pyakurel berdiri di balkoni tingkat tiga sambil melihat arus deras membawa lumpur dan serpihan menghentam rumah mereka.

Air bergelora mengelilingi bangunan itu dan memusnahkan kawasan berhampiran, namun rumah tersebut tetap berdiri.

Encik Chhatra Bahadur Pyakurel, 67 tahun, berkata beliau baru pulang selepas menghantar cucunya menaiki bas sekolah apabila banjir melanda kawasan kediaman mereka.

Bencana itu dipercayai berpunca daripada keruntuhan glasier besar di kawasan pergunungan Himalaya antara Nepal dengan Tibet, yang mencetuskan aliran air, lumpur dan serpihan secara mendadak.

Selama lebih sejam, keluarga itu hanya mampu menyaksikan kemusnahan di sekeliling mereka.

Pada mulanya, mereka berlindung di balkoni sebelum naik ke bumbung apabila paras air dan timbunan serpihan terus meningkat.

“Pada mulanya, kami tidak tahu apa yang akan berlaku atau sama ada kami akan selamat,” kata Encik Pyakurel.

“Selepas beberapa ketika, kami sedar tiada apa lagi yang dapat kami lakukan. Nyawa kami berada di tangan Tuhan, sama ada Dia akan menyelamatkan kami atau membiarkan kami tenggelam.”

Namun, di tengah-tengah kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya, fikiran Encik Pyakurel terus tertumpu kepada cucunya yang sudah berangkat ke sekolah.

“Satu-satunya perkara yang terus mengganggu fikiran saya ialah cucu saya yang sudah pergi ke sekolah,” katanya.

“Saya terus berfikir, ‘Jika kami semua mati, siapa yang akan menjaganya?’”

Gambar rumah hijau itu yang masih berdiri bersendirian di tengah kawasan dipenuhi lumpur dan serpihan kemudian tersebar luas dalam talian.

Hampir seminggu selepas bencana, apabila sebahagian jalan di hadapan rumah itu dibuka semula dan kenderaan mula kembali ke Dhunge Bazaar, orang ramai datang untuk melihat sendiri rumah tersebut dan mengambil gambar.

Lokasinya malah disenaraikan di Google Maps sebagai tarikan “kalis banjir”.

Menjelang 1 September, sungai berhampiran sudah kembali tenang, meskipun airnya masih keruh.

Namun, kesan kemusnahan pada rumah itu jelas kelihatan.

Sebahagian besar tingkat satu dan dua musnah sehingga yang tinggal hanyalah beberapa tiang utama.

Di balkoni tingkat tiga, sebuah mesin basuh dan timbunan pakaian masih berada di tempatnya.

Bumbung rumah pula kelihatan hampir tidak terjejas, dengan tangki air, alat pemanas air suria, sebuah tempat ibadat kecil keluarga dan beberapa pokok tinggi masih kekal di situ.

Kisah keluarga Pyakurel menjadi antara beberapa cerita luar biasa mengenai mereka yang terselamat daripada bencana yang terus menunjukkan skala kemusnahan semakin besar.

Angka korban di Nepal meningkat kepada lebih 1,100 orang pada 2 September, manakala hampir 4,000 lagi masih hilang. Ratusan penduduk di Tibet juga masih belum ditemui.

Operasi menyelamat berdepan kesukaran akibat hujan berterusan, selain lumpur tebal dan lembut yang menyelubungi beberapa bandar sehingga menyukarkan helikopter mendarat.

Namun, lebih 11,000 orang berjaya diselamatkan, sementara ribuan mangsa kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Di daerah Nuwakot sahaja, yang merangkumi kawasan sekitar Dhunge Bazaar, lebih 1,200 rumah musnah sepenuhnya dan lebih 1,000 lagi mengalami kerosakan.

Hubungan darat dan komunikasi turut menjadi masalah besar kerana puluhan jambatan dihanyutkan, manakala beberapa bahagian jalan raya musnah sama sekali.

Encik Bishu Mani Rimal, 45 tahun, antara orang ramai yang datang melihat rumah keluarga Pyakurel, berkata sukar untuk mempercayai bahawa penghuninya dapat terselamat.

Beliau tinggal kira-kira lima kilometer di hilir sungai, di kawasan yang menyaksikan arus banjir mula kehilangan sedikit kekuatannya.

“Siapa sangka orang dalam keadaan seperti itu boleh terselamat?” katanya.

“Saya fikir peluang mereka untuk selamat tidak sampai satu peratus.”

Menurutnya, turbin jana kuasa di seberang sungai turut musnah, begitu juga sebuah kawasan bazar.

Empat rumah milik sebuah keluarga besar turut lenyap dibawa arus.

“Salah sebuah rumah itu begitu baru sehingga pemiliknya belum sempat berpindah masuk,” katanya.

Encik Pyakurel berkata tingkat bawah rumahnya dibina pada 1995 ketika beliau mengusahakan kedai runcit.

Apabila perniagaannya berkembang, termasuk kepada perniagaan borong minuman keras, keluarga itu menambah beberapa tingkat pada rumah berkenaan.

Selepas kira-kira sejam terperangkap di atas bumbung, jiran datang membantu apabila paras air mula surut.

Mereka menggunakan batang paip logam untuk membina tangga sementara bagi membawa keluarga itu ke tempat selamat.

Encik Pyakurel percaya rumahnya mungkin terselamat kerana tiang bangunan dipasang jauh ke dalam batuan ketika pembinaan.

Terdapat juga teori bahawa rabung tanah yang menonjol di hadapan laluan arus membantu mengurangkan hentaman banjir terhadap rumah itu.

Namun bagi Encik Pyakurel, keselamatan keluarganya juga merupakan pertolongan Tuhan.

Beliau kini tinggal sementara di Kathmandu dan masih menilai kerugian, tetapi percaya hampir semua barangan di dua tingkat pertama musnah.

“Sekarang semuanya sudah tiada,” katanya.

“Malah dokumen paling penting keluarga kami, termasuk sijil kewarganegaraan, pasport dan sijil pendaftaran tanah, semuanya musnah.”

Di sebalik segala kehilangan itu, satu perkara paling melegakan beliau ialah cucunya terselamat kerana sekolahnya terletak di kawasan lebih tinggi.

Sehari selepas banjir, seluruh keluarga akhirnya dapat berkumpul semula. - Agensi berita