Rumah Putih berusaha redakan keresahan rakyat akibat kenaikan harga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah Putih berusaha redakan keresahan rakyat akibat kenaikan harga

Mar 20, 2026 | 10:56 AM

Rumah Putih berusaha redakan keresahan rakyat akibat kenaikan harga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan ucapan ketika menjadi tuan rumah jamuan makan malam bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di State Dining Room, Rumah Putih di Washington, DC, pada 19 Mac 2026. Terdahulu pada hari yang sama, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu Iran, tenaga serta perkembangan di rantau Indo-Pasifik.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan ucapan ketika menjadi tuan rumah jamuan makan malam bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di State Dining Room, Rumah Putih di Washington, DC, pada 19 Mac 2026. Terdahulu pada hari yang sama, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu Iran, tenaga serta perkembangan di rantau Indo-Pasifik. - Foto EPA

WASHINGTON: Rumah Putih giat berusaha mencari jalan untuk menenangkan rakyat Amerika Syarikat apabila harga minyak dunia kembali tidak menentu susulan siri serangan Iran terhadap kemudahan minyak dan gas, sekali gus memburukkan krisis tenaga global hampir tiga minggu selepas perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran tercetus.

Presiden Donald Trump berkata beliau akan mengambil segala langkah perlu bagi meredakan krisis tersebut, sambil menegaskan keadaan itu hanya bersifat sementara. “Saya fikir keadaan boleh menjadi jauh lebih buruk. Tetapi ia tidak seteruk itu dan akan berakhir tidak lama lagi,” katanya ketika bertemu Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, di Pejabat Oval.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut menyatakan keyakinan bahawa konflik tersebut boleh berakhir lebih cepat daripada jangkaan. “Perang ini boleh berakhir lebih cepat daripada yang disangka, tetapi masih ada kerja yang perlu dilakukan dan kami akan meneruskannya,” katanya dalam sidang media.

Kenyataan itu dibuat selepas Iran melancarkan serangan terhadap kemudahan minyak dan gas di Israel, Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas medan gas South Pars di Teluk Parsi.

Serangan berbalas itu terus menggoncang pasaran tenaga global yang sebelum ini sudah terjejas akibat sekatan Iran terhadap penghantaran minyak Barat melalui Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Sejak konflik bermula pada 28 Februari, harga minyak mentah global meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh kurang tiga minggu. Kenaikan ini turut menyebabkan harga petrol, diesel dan bahan api penerbangan melonjak, sekali gus memberi kesan kepada kos barangan harian.

Di Amerika Syarikat, harga purata petrol mencecah AS$3.88 (S$4.96 ) segelen pada 19 Mac, meningkat daripada AS$2.93 sebulan lalu. Kadar gadai janji juga meningkat buat kali ketiga berturut-turut minggu ini, didorong oleh kos tenaga yang tinggi.

Ketua ekonomi Amerika Syarikat di Oxford Economics, Encik Michael Pearce, berkata kesan terhadap isi rumah semakin ketara. “Jika keadaan ini berterusan, ia akan mula mempengaruhi tingkah laku pembeli rumah,” katanya.

Dalam usaha menstabilkan harga, Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, berkata pemerintah sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan ke atas minyak Iran yang telah dihantar, dianggarkan sebanyak 140 juta tong.

Langkah itu merupakan perubahan besar daripada dasar sekatan ketat sebelum ini yang bertujuan melemahkan ekonomi Iran. Beliau berkata peningkatan bekalan minyak global boleh membantu mengimbangi gangguan yang berlaku di Selat Hormuz.

Menurutnya, minyak Iran yang tidak dikenakan sekatan boleh disalurkan ke negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun dan India.

Amerika Syarikat juga mempertimbangkan untuk melepaskan lebih banyak simpanan minyak strategik, selain 172 juta tong yang telah diumumkan sebelum ini.

Pada masa sama, Pentagon dilaporkan memohon tambahan dana sebanyak AS$200 bilion bagi menyokong operasi perang, jumlah yang hampir satu perempat daripada keseluruhan bajet pertahanan tahunan negara itu.

Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, berkata kos tersebut diperlukan untuk memastikan keupayaan ketenteraan Amerika terus berada pada tahap tertinggi. “Sudah tentu, untuk menewaskan musuh memerlukan perbelanjaan. Jumlah itu mungkin berubah,” katanya.

Encik Trump pula menyifatkan perbelanjaan tersebut sebagai “harga kecil” bagi memastikan keselamatan negara. Namun beliau enggan memberikan kepastian sama ada tentera darat akan dihantar ke Iran.
“Saya tidak akan menghantar tentera ke mana-mana. Jika saya berbuat demikian, saya tidak akan memberitahu anda,” katanya.

Pentadbiran Trump turut mempercepat penghantaran senjata kepada sekutu di Timur Tengah yang menjadi sasaran serangan Iran.

Jabatan Negara mengisytiharkan situasi kecemasan bagi membolehkan penjualan senjata bernilai sekitar AS$16 bilion kepada UAE, Kuwait dan Jordan tanpa melalui kelulusan Kongres.

Langkah serupa juga telah diambil bagi mempercepat penjualan senjata kepada Israel sebelum ini.
Selain itu, Amerika Syarikat turut menekan Jepun untuk memberi bantuan ketenteraan, termasuk kemungkinan menghantar kapal penyapu periuk api ke Selat Hormuz.

Walaupun terdapat harapan bahawa penamatan perang dapat membuka semula laluan penghantaran minyak, pakar ekonomi bimbang kerosakan terhadap kemudahan tenaga mungkin memberi kesan jangka panjang.

Qatar, salah satu pembekal tenaga utama dunia, mengesahkan bahawa serangan Iran telah merosakkan kemudahan gasnya, termasuk terminal Ras Laffan, iaitu kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia.

Ketua Eksekutif QatarEnergy, Saad Sherida Al-Kaabi, berkata hampir satu perlima kapasiti eksport gas asli cecair negara itu terjejas. “Kerja pembaikan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun,” katanya.

Di Kuwait, serangan dron menyebabkan kebakaran di dua kilang penapisan milik negara, manakala di Arab Saudi, serpihan dron dilaporkan jatuh berhampiran terminal eksport tenaga utama.

Di UAE, kemudahan gas dan sebuah medan minyak turut dilaporkan terjejas akibat serpihan peluru berpandu yang dipintas.

Di Israel pula, kebakaran berlaku di sebuah kilang penapisan minyak selepas terkena serpihan peluru berpandu Iran.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, memberi amaran bahawa negaranya mempunyai kesabaran yang terhad terhadap Iran. “Kami tidak akan teragak-agak untuk melindungi negara dan sumber ekonomi kami,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan garis masa bagi kemungkinan tindakan ketenteraan.
“Adakah sehari, dua hari atau seminggu? Saya tidak akan mendedahkannya,” katanya.

Hubungan antara Arab Saudi dan Iran, yang dipulihkan pada 2023, kini kembali tegang dengan tahap kepercayaan yang menurut beliau “telah musnah sepenuhnya”.

Serangan ke atas medan gas South Pars turut mencetuskan kemarahan Iran dan Qatar, yang berkongsi pemilikan medan tersebut.

Qatar menyifatkan serangan itu sebagai “langkah berbahaya dan tidak bertanggungjawab” yang boleh menjejaskan keselamatan tenaga global. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg