Rumah Putih pertahan pendekatan tarif selepas keputusan Mahkamah Agung

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah Putih pertahan pendekatan tarif selepas keputusan Mahkamah Agung

Feb 23, 2026 | 10:34 AM

Rumah Putih pertahan pendekatan tarif selepas keputusan Mahkamah Agung

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer dalam  sidang media di Rumah Putih selepas Mahkamah Agung memutuskan Trump telah melampaui kuasanya ketika mengenakan tarif, di Washington, D.C., Amerika Syarikat, pada 20 Februari 2026.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer dalam sidang media di Rumah Putih selepas Mahkamah Agung memutuskan Trump telah melampaui kuasanya ketika mengenakan tarif, di Washington, D.C., Amerika Syarikat, pada 20 Februari 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi isyarat akan menghidupkan semula sebahagian besar tarif tegasnya, walaupun Mahkamah Agung pada 21 Februari lalu membatalkan penggunaan kuasa darurat untuk mengenakan cukai import tersebut.

Pengumuman tarif global baru sebanyak 15 peratus pada 21 Februari, bersama siri siasatan perdagangan yang bakal dimulakan, memperlihatkan usaha Rumah Putih untuk menegaskan bahawa halangan undang-undang tidak akan menghalang Washington daripada meneruskan pendekatan tegasnya dalam rundingan perdagangan antarabangsa.

Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer berkata dasar itu kekal sama. “Presiden telah berkempen mengenai tarif dan perlindungan industri Amerika selama bertahun-tahun. Dasar ini tidak berubah,” katanya dalam program ABC This Week.

Langkah utama ialah tarif menyeluruh 15 peratus yang boleh dikenakan selama 150 hari di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, satu peruntukan yang jarang digunakan sebelum ini. Selain itu, pentadbiran Trump akan menggunakan Seksyen 301 undang-undang sama untuk menyiasat amalan perdagangan tidak adil di seluruh dunia.

Siasatan itu meliputi lebihan kapasiti industri di Asia, buruh paksa, harga farmaseutikal, diskriminasi terhadap syarikat teknologi Amerika serta perdagangan makanan laut dan beras.

Encik Greer berkata proses siasatan akan dipercepatkan dan berpotensi membawa kepada tarif tambahan yang melibatkan banyak negara. “Kami sedang melihat banyak perkara pada masa ini. Matlamatnya memastikan rakan dagang mematuhi komitmen mereka,” katanya.

Washington juga mengekalkan siasatan Seksyen 301 terhadap China dan Brazil. Pada penggal pertama pentadbirannya, Encik Trump menggunakan mekanisme sama untuk mengenakan tarif besar ke atas import China.

Setiausaha Perbendaharaan Encik Scott Bessent menyifatkan tarif global 15 peratus itu sebagai langkah sementara menuju sistem tarif lebih kekal. “Ia adalah jambatan kepada tarif yang lebih berkekalan yang akan dilaksanakan kemudian tahun ini,” katanya kepada CNN.

Beliau menambah hasil kutipan tarif yang dijangka pemerintah tidak berubah dan beberapa rakan dagang mahu mengekalkan perjanjian yang telah dimeterai dengan Washington. Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai bayaran balik lebih AS$100 bilion (S$126.47 bilion) kepada pengimport Amerika akibat pembatalan tarif lama. “Itu bukan keputusan pentadbiran. Ia terpulang kepada mahkamah bawahan,” katanya.

Keyakinan Washington berbeza dengan kebimbangan di luar negara. Pegawai Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran mereka mungkin membekukan ratifikasi perjanjian perdagangan dengan Amerika sehingga dasar baru menjadi jelas. India turut menangguhkan rundingan perjanjian sementara.
Suruhanjaya Eropah berkata pihaknya mahukan “kejelasan penuh” daripada Washington.

“Perjanjian tetap perjanjian. Kami menjangka Amerika menghormati komitmennya,” kata badan eksekutif EU dalam kenyataan. Presiden Bank Pusat Eropah Cik Christine Lagarde turut menekankan kepentingan kepastian dasar. “Perdagangan global memerlukan kejelasan. Saya harap cadangan itu mematuhi perlembagaan dan undang-undang supaya kita tidak berdepan cabaran baharu,” katanya.

Ketidakpastian berlaku ketika Encik Trump dijadual melawat Beijing dan bertemu Presiden China Xi Jinping pada akhir Mac. Kedua-dua negara sebelum ini mencapai gencatan perdagangan selepas perang tarif yang panjang.

Encik Greer menegaskan langkah mahkamah tidak akan menjejaskan rundingan. “Tujuannya bukan untuk bergaduh dengan China, tetapi memastikan China mematuhi komitmennya,” katanya. Menurut beliau, Amerika masih mengekalkan purata tarif sekitar 40 peratus ke atas China tanpa menggunakan kuasa darurat yang dibatalkan mahkamah.

Pegawai kanan Amerika berkata perjanjian dengan China, EU, Jepun dan Korea Selatan kekal berkuat kuasa walaupun dasar tarif berubah. “Kami akan berdiri teguh dengan perjanjian ini dan mengharapkan rakan kami melakukan perkara sama,” kata Encik Greer.

Namun tidak semua pihak di Washington bersetuju. Wakil Republikan Encik Don Bacon menyifatkan tarif 15 peratus itu tidak akan bertahan. “Ia tidak berperlembagaan. Bukan sahaja dasar yang buruk, malah politik yang buruk,” katanya. Beliau merujuk kepada penggunaan Seksyen 122 yang membenarkan tarif sementara tanpa kelulusan Kongres dalam keadaan defisit imbangan pembayaran yang serius.

Walaupun berdepan tentangan undang-undang, pentadbiran Trump menegaskan pendekatan tarif akan diteruskan. Encik Greer berkata rakan dagang tidak seharusnya menjangkakan kelonggaran tarif hanya kerana keputusan mahkamah. “Sama ada kami menang atau kalah kes, tarif akan tetap ada,” katanya kepada CBS.

Rumah Putih berpendapat siasatan perdagangan baharu memberi pengaruh tambahan dalam rundingan global. Bagi Washington, tarif bukan sekadar cukai import, tetapi alat tekanan untuk memaksa perubahan struktur ekonomi rakan dagang.

Pendekatan itu sekali lagi meletakkan ekonomi dunia dalam keadaan berjaga-jaga, ketika pelabur dan pemerintah menunggu sama ada strategi perdagangan agresif Amerika akan mencetuskan kompromi baharu atau konflik ekonomi baharu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg