WASHINGTON: Rumah Putih telah mempertahankan pengampunan Presiden Joe Biden terhadap anaknya, Hunter, selepas berulang kali menegaskan beliau tidak bercadang memberikan pengampunan eksekutif sedemikian.
Setiausaha akhbarnya, Cik Karine Jean-Pierre, berkata Encik Biden telah memaafkan anaknya, yang menghadapi hukuman akhir Disember dalam dua kes persekutuan, untuk melindunginya daripada kemungkinan penganiayaan oleh musuh politik Presiden yang akan tamat jawatannya pada Januari 2025.
Pengampunan menyeluruh meliputi kes jenayah persekutuan yang Hunter mungkin telah lakukan selama sedekad.
Pihak Republikan telah mengecam tindakan itu, dengan bakal Presiden, Encik Donald Trump, menyifatkannya sebagai “penyalahgunaan dan kecuaian keadilan”.
Cik Jean-Pierre memberitahu pemberita pada 2 Disember bahawa Encik Biden telah “berbelah bahagi” dalam membuat keputusan itu semasa percutian keluarga di pulau Nantucket, Massachusetts, pada hujung minggu.
Presiden Demokrat itu mengeluarkan pengampunan pada petang 1 Disember sebelum memulakan kunjungan rasmi ke Afrika.
Cik Jean-Pierre memberitahu wartawan dalam pesawat Air Force One bahawa Encik Biden percaya kepada sistem keadilan, namun beliau juga percaya bahawa politik boleh menjejas proses itu dan membawa kepada kegagalan keadilan.
Beliau berkata Encik Biden percaya Hunter menjadi sasaran kerana latar belakangnya dan bahawa “mereka (penentang Presiden) akan terus menjejaki anaknya”.
“Inilah sebab mengapa Presiden mengambil tindakan ini,” tambah Cik Jean-Pierre yang sebelum ini menyatakan bahawa Encik Biden tidak akan memaafkan anaknya.
Pada Jun, Hunter menjadi anak pertama presiden Amerika disabitkan dengan kesalahan jenayah selepas juri di Delaware mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan kerana berbohong mengenai penggunaan dadahnya dalam borang ketika membeli pistol.
Pada September, beliau turut mengaku bersalah terhadap caj cukai persekutuan yang termasuk kegagalan memfailkan dan membayar cukainya, pengelakan cukai dan memfailkan penyata palsu.
Pengampunan itu meliputi sebarang kemungkinan jenayah persekutuan yang dilakukannya antara Januari 2014 dengan Disember 2024.
Ia bermula apabila Hunter menjadi ahli lembaga pengarah syarikat tenaga Ukraine Burisma – ketika bapanya, ketika itu Naib Presiden Amerika, mempunyai peranan penting dalam dasar Amerika terhadap Kyiv.
Peguam khas yang menyelia kedua-dua kes, Encik David Weiss, telah menolak dakwaan bahawa Hunter diberi pengampunan kerana latar belakang keluarganya.
“Tiada dan tidak pernah ada sebarang bukti pendakwaan berdendam atau terpilih dalam kes ini,” tulis pasukan Encik Weiss dalam pemfailan mahkamah pada 1 Disember. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg