WASHINGTON: Rumah Putih pada 20 November mempertahankan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kerana memanggil seorang wartawan wanita sebagai ‘piggy’ atau babi ketika wartawan berkenaan menyoalnya tentang mendiang pesalah seks Jeffrey Epstein, dengan menyatakan bahawa kenyataan Presiden itu mencerminkan keterbukaan dan ketelusannya.
Dalam perbualan dalam pesawat Air Force One minggu lalu, yang sejak itu menjadi tular, Encik Trump mencondongkan badan ke arah wartawan itu, menuding jarinya dan berkata “Diam, piggy” ketika wartawan itu mendesaknya tentang e-mel Epstein yang mendakwa Encik Trump “tahu tentang gadis-gadis itu”.
Ditanya pada 20 November tentang kejadian itu, setiausaha akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata pengundi Amerika memilih semula Encik Trump kerana kejujurannya dan wartawan harus menghargai keterbukaannya dalam menjawab soalan.
“Beliau menyelar berita palsu apabila melihatnya dan berasa kecewa dengan wartawan yang menyebarkan maklumat palsu,” kata Cik Leavitt semasa taklimat Rumah Putih, tanpa memberikan bukti maklumat palsu terbabit.
“Tetapi beliau memberi akses yang belum pernah terjadi sebelumnya kepada media dan menjawab soalan mereka hampir setiap hari,” tambah beliau.
Pada 18 November di Pejabat Oval, Encik Trump menggelarkan seorang lagi wartawan wanita sebagai “orang yang teruk” selepas beliau bertanya kepada Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman yang sedang melakukan kunjungan ke Amerika mengenai pembunuhan Encik Khashoggi dan bertanya kepada Encik Trump mengapa beliau tidak mendedahkan fail Epstein.
Encik Trump telah mengarahkan Jabatan Kehakiman pada 19 November supaya mendedahkan dokumen mengenai kes mendiang Epstein selepas pada mulanya menentang agar fail tersebut didedahkan kepada umum.
Persatuan Wartawan Profesional (SPJ) mengeluarkan kenyataan minggu ini yang mengutuk Encik Trump kerana menghina para wartawan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg