Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump akan namakan semula Jabatan Pertahanan sebagai ‘Jabatan Perang’

Sep 5, 2025 | 3:27 PM
Berikut ialah gambar Pentagon yang diambil dari udara. Presiden Donald Trump merancang menamakan semula Jabatan Pertahanan sebagai “Jabatan Perang”.
Berikut ialah gambar Pentagon yang diambil dari udara. Presiden Donald Trump merancang menamakan semula Jabatan Pertahanan sebagai “Jabatan Perang”. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump merancang menandatangani perintah eksekutif pada 5 September bagi menamakan semula Jabatan Pertahanan sebagai “Jabatan Perang”, kata seorang pegawai Rumah Putih pada 4 September.

Langkah itu akan memberi kesan besar dan mencerminkan pengaruh Encik Trump terhadap organisasi terbesar pemerintah tersebut.

Perintah itu akan memberi kuasa kepada Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, Jabatan Pertahanan dan pegawai bawahan menggunakan gelaran seperti “Setiausaha Perang”, “Jabatan Perang” dan “Timbalan Setiausaha Perang” dalam surat-menyurat rasmi dan komunikasi awam.

Langkah itu akan mengarahkan Encik Hegseth mengesyorkan tindakan perundangan dan eksekutif yang diperlukan untuk menjadikan penamaan semula itu kekal.

Sejak mengambil alih jawatan pada Januari, Encik Trump telah berusaha menamakan semula pelbagai tempat dan institusi, termasuk Teluk Mexico, dan untuk mengembalikan nama asal pangkalan tentera yang diubah selepas protes keadilan kaum.

Perubahan nama jabatan jarang berlaku dan memerlukan kelulusan kongres, tetapi rakan-rakan Republikan Encik Trump mempunyai majoriti kecil di kedua-dua Dewan Senat dan Dewan Perwakilan, dan para pemimpin kongres parti itu menunjukkan sedikit keinginan untuk menentang mana-mana inisiatif Encik Trump.

Jabatan Pertahanan Amerika dikenali sebagai Jabatan Perang sehingga 1949, apabila Kongres menyatukan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara selepas Perang Dunia Kedua. 

Nama itu dipilih sebahagiannya untuk menunjukkan bahawa pada zaman nuklear, Amerika memberi tumpuan mencegah peperangan, menurut para sejarawan.

Mengubah nama sekali lagi akan memerlukan kos yang tinggi dan memerlukan pengemaskini tanda dan kepala surat yang digunakan bukan sahaja oleh pegawai di Pentagon di Washington, D.C., tetapi juga kemudahan tentera di seluruh dunia.

Usaha mantan Presiden Joe Biden menamakan semula sembilan pangkalan yang menghormati Konfederasi dan pemimpin Konfederasi dijangka menelan kos tentera Amerika sebanyak AS$39 juta ($50.2 juta). Usaha itu dibatalkan oleh Encik Hegseth pada awal 2025.

Pasukan pengecilan pemerintah pentadbiran Encik Trump, yang dikenali sebagai Jabatan Kecekapan Pemerintah, telah berusaha melaksanakan pemotongan di Pentagon dalam usaha untuk menjimatkan wang.

“Mengapa tidak gunakan wang ini untuk menyokong keluarga tentera atau menggajikan diplomat yang dapat membantu mencegah konflik dari awal?” kata Senator Demokrat, Cik Tammy Duckworth, seorang veteran tentera dan ahli Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera Senat.

“Kerana Encik Trump lebih suka menggunakan tentera kita untuk meraih mata politik daripada memperkukuh keselamatan negara kita dan menyokong anggota tentera serta keluarga mereka – itu sebabnya,” tambahnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg