WASHINGTON: Rundingan untuk membuka semula Selat Hormuz menunjukkan perkembangan positif apabila Amerika Syarikat, Qatar dan Oman menyatakan persetujuan dengan Iran mungkin dicapai dalam tempoh terdekat, sekali gus mencetuskan kejatuhan harga minyak dunia susulan harapan laluan perkapalan strategik itu akan kembali beroperasi.

Oman bertindak sebagai pengantara, dengan Amerika menyatakan penglibatannya dalam rundingan manakala Iran menegaskan ia berunding dengan Oman, bukan secara langsung dengan Washington.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent, berkata Washington melihat peluang yang cerah untuk memeterai perjanjian dengan Teheran dalam masa sehari atau dua hari.

“Kami sedang mengadakan rundingan dengan Iran dan ada kemungkinan perjanjian dapat dicapai hari ini atau esok,” katanya dalam wawancara bersama CNBC.

Kenyataan itu mengukuhkan optimisme yang sebelum ini disuarakan Presiden Donald Trump bahawa penyelesaian diplomatik masih boleh dicapai walaupun konflik antara kedua-dua negara kini memasuki bulan keenam.

Di Rumah Putih pada 3 Ogos lalu, Encik Trump sekali lagi menggabungkan pendekatan diplomasi dan tekanan ketenteraan apabila menyifatkan rundingan itu sebagai “peluang terakhir” Iran sebelum berdepan tindakan lebih keras daripada Washington.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut mengesahkan rundingan sedang menunjukkan kemajuan, namun menegaskan tiada persetujuan muktamad dicapai setakat ini.

“Kami melihat perkembangan positif dalam rundingan, tetapi ia masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Menurut Encik Rubio, rundingan itu dijalankan antara Iran dan Oman dengan penyertaan Amerika, manakala Qatar terus memainkan peranan sebagai pengantara utama.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, berkata perbincangan dengan Oman berlangsung dalam suasana positif dan tertumpu kepada usaha mewujudkan laluan pelayaran yang selamat melalui Selat Hormuz.

Menurut Encik Baghaei, masih terdapat beberapa perkara yang belum dipersetujui, termasuk mekanisme pembukaan semula laluan, yuran perkhidmatan maritim serta aturan keselamatan.

Fokus utama ketika ini ialah mencari penyelesaian segera bagi membuka semula Selat Hormuz sebelum kedua-dua pihak meneruskan rundingan lebih luas mengenai program nuklear Iran serta kemungkinan pelonggaran sekatan ekonomi terhadap negara itu.

Usaha diplomatik turut dipertingkatkan apabila Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, berbincang melalui telefon dengan Presiden onald Trump, mengenai langkah meredakan ketegangan antara Amerika dan Iran.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al-Ansari, berkata rundingan kini berada pada peringkat yang sangat menggalakkan selepas draf awal perjanjian diedarkan kepada semua pihak yang terbabit.

“Keutamaan kami ketika ini ialah mengelakkan peningkatan konflik, membuka semula Selat Hormuz dan menghidupkan semula ruang diplomasi antara semua pihak,” katanya.

Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab merupakan laluan utama penghantaran minyak dan gas dunia.

Iran menutup laluan itu selepas konflik tercetus berikutan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara berkenaan pada penghujung Februari, sekali gus mengganggu bekalan tenaga global dan menyebabkan harga minyak melonjak.

Penutupan laluan strategik itu turut mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga dunia serta meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Trump untuk menamatkan konflik.

Susulan perkembangan terbaru rundingan itu, harga minyak mentah Brent menjunam lebih enam peratus kepada di bawah AS$79 ($101) setong apabila pelabur menjangkakan bekalan minyak dunia akan kembali stabil sekiranya laluan berkenaan dibuka semula.

Walaupun begitu, beberapa penganalisis mengingatkan bahawa kenyataan optimistik mengenai kemajuan rundingan antara Washington dan Teheran sebelum ini sering gagal diterjemahkan kepada persetujuan sebenar.

Perjanjian gencatan senjata yang diumumkan pada Jun lalu juga gagal bertahan apabila pertempuran kembali tercetus dan Iran meneruskan kawalannya ke atas Selat Hormuz.

Sejak itu, Iran dilaporkan menguatkuasakan kawalan ketat dengan menghalang atau menyekat pergerakan beberapa kapal dagang yang cuba melalui laluan berkenaan.

Tindakan itu mendorong Amerika melancarkan serangan udara ke atas sasaran di Iran selain memperketat sekatan terhadap pelabuhan negara itu.

Bagaimanapun, langkah berkenaan masih gagal memaksa Teheran menarik balik kawalannya ke atas selat tersebut.

Menurut beberapa pegawai yang mengikuti rundingan, antara isu paling sukar diselesaikan ialah cadangan Iran supaya semua kapal yang memasuki Teluk Parsi melalui laluan yang dikawal Teheran, manakala kapal yang keluar menggunakan laluan berhampiran Oman.

Cadangan itu dilihat mampu mengukuhkan kedudukan strategik Iran serta memberikan pengaruh lebih besar terhadap laluan perdagangan tenaga dunia, sesuatu yang ditentang keras oleh Washington.

Encik Trump sebelum ini turut mengakui bahawa rundingan mengenai program nuklear Iran mungkin mengambil masa lebih panjang berbanding usaha membuka semula Selat Hormuz.

Beliau menegaskan sekatan terhadap pelabuhan Iran hanya akan ditarik balik sekiranya satu perjanjian berjaya dicapai.

Walaupun begitu, Kementerian Luar Iran menafikan dakwaan bahawa rundingan langsung sedang berlangsung dengan Amerika.

Dalam perkembangan lain, ketegangan maritim turut merebak ke Laut Merah apabila kumpulan Houthi yang disokong Iran mengumumkan sekatan terhadap kapal yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi.

Operasi di Lapangan Terbang Najran, Arab Saudi, turut digantung selepas kumpulan Houthi mendakwa melancarkan serangan dron ke atas sasaran ketenteraan sensitif negara itu.

Serangan terhadap laluan perkapalan di Laut Merah meningkatkan lagi kebimbangan terhadap keselamatan perdagangan antarabangsa memandangkan kawasan itu menjadi pintu masuk utama ke Terusan Suez.

Kebimbangan keselamatan masih berterusan apabila sebuah kapal kargo India tenggelam selepas terkena peluru berhampiran perairan Yemen pada 4 Ogos, namun kesemua 14 anak kapalnya berjaya diselamatkan.

Kesemua 13 anak kapal berjaya diselamatkan, manakala pihak berkuasa masih menyiasat pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim Britain (UKMTO) turut melaporkan sebuah kapal kargo diserang peluru tidak dikenali berhampiran perairan Oman di Selat Hormuz.

Insiden terbaru itu menunjukkan keadaan keselamatan di kedua-dua laluan perkapalan utama Asia Barat masih rapuh walaupun usaha diplomatik sedang dipergiat.

Para pengantara berharap pembukaan semula Selat Hormuz dapat menghentikan kitaran serangan dan tindak balas ketenteraan antara Amerika dan Iran, sekali gus membuka jalan kepada pelaksanaan semula gencatan senjata serta rundingan lebih menyeluruh mengenai program nuklear Iran dan pelonggaran sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap negara itu. - Agensi berita