Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump: Rundingan dengan Iran bermula 3 Ogos
Trump: Rundingan dengan Iran bermula 3 Ogos
Iran hampir capai perjanjian Hormuz dengan Oman selepas AS tangguh rancangan serangan
Trump: Rundingan dengan Iran bermula 3 Ogos
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan rundingan damai baharu antara Washington dengan Teheran akan bermula 3 Ogos, selepas beliau membatalkan rancangan melancarkan serangan besar terhadap Iran bagi memberi laluan kepada penyelesaian secara diplomatik.
Encik Trump berkata rundingan yang dijangka berlangsung melalui perantara itu akan memberi tumpuan kepada dua isu utama, iaitu pengurusan Selat Hormuz dan usaha menyahnuklear Iran, yang menjadi punca utama konflik antara kedua-dua negara sejak enam bulan lalu.
Beliau berkata keutamaan pentadbirannya ketika ini ialah mencapai persetujuan yang mampu menamatkan peperangan tanpa perlu menggunakan kekuatan ketenteraan.
“Kami kini sedang berunding dengan mereka dalam bentuk rundingan rasmi dan ia akan bermula esok (3 Ogos) petang.
“Saya benar-benar mahu rundingan ini berjaya kerana ia boleh menyelamatkan banyak nyawa dan mengelakkan penggunaan kekuatan tentera yang tidak diperlukan.
“Kami bersedia bertindak pada bila-bila masa, tetapi saya lebih memilih penyelesaian melalui rundingan,” katanya kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One.
Encik Trump turut mendakwa Iran bersama Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar menghubungi Washington bagi menggesa Amerika menangguhkan serangan yang menurutnya berpotensi menjadi “serangan terbesar sejak Perang Dunia Kedua”.
Namun, media Iran menafikan dakwaan bahawa Teheran meminta Encik Trump membatalkan serangan berkenaan.
Menurut Encik Trump, beliau membuat keputusan itu selepas melihat peluang yang lebih besar untuk mencapai penyelesaian politik berhubung konflik yang bermula pada penghujung Februari lalu.
Beliau berkata rundingan kali ini dijangka membuka laluan kepada persetujuan mengenai Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang mengendalikan hampir satu perlima perdagangan minyak dunia.
Selain itu, Encik Trump yakin kedua-dua pihak juga mampu mencapai persetujuan mengenai program nuklear Iran, yang menjadi pertikaian utama antara Teheran dan negara Barat sejak sekian lama.
Konflik antara Amerika dengan Iran tercetus pada 28 Februari lalu selepas Amerika bersama Israel melancarkan serangan mengejut terhadap beberapa sasaran di Iran.
Walaupun beberapa pusingan diplomasi sebelum ini berjaya meredakan keadaan buat sementara waktu, serangan kembali memuncak pada Julai lalu sehingga mencetuskan kebimbangan perang akan terus meningkat.
Encik Trump sebelum ini mengancam akan melancarkan serangan lebih besar terhadap Iran, termasuk menyasarkan prasarana tenaga negara itu.
Bagaimanapun, pada 31 Julai lalu beliau mengumumkan bahawa asas kepada satu perjanjian sudah mula terbentuk, sekali gus menyebabkan rancangan serangan itu ditangguhkan.
Sementara itu, Iran mengesahkan rundingan tidak langsung dengan Washington masih diteruskan menerusi beberapa negara pengantara.
Jurucakap Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Encik Hassan Ghashghavi, berkata usaha sedang dijalankan untuk menghidupkan semula memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua pihak pada Jun lalu.
Beliau menjelaskan memorandum itu bukan perjanjian damai muktamad, sebaliknya menjadi asas kepada rundingan yang lebih menyeluruh.
“Semua pihak sedar bahawa isu utama ketika ini ialah Selat Hormuz. Sebab itu pertukaran pandangan masih diteruskan,” katanya.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pula berkata negaranya akan terus memastikan semua pihak menghormati setiap komitmen yang dipersetujui.
“Kita perlu memastikan musuh kekal mematuhi apa yang telah ditandatangani,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Pada masa sama, Iran memaklumkan pihaknya hampir mencapai persefahaman dengan Oman mengenai laluan baharu di Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata laluan itu dijangka mengambil kira kepentingan keselamatan dan kedaulatan kedua-dua negara.
“Kami hampir mencapai persefahaman mengenai laluan yang boleh diterima kedua-dua pihak, bukan laluan di utara atau selatan semata-mata, tetapi laluan yang menghormati hak kedaulatan serta kepentingan keselamatan semua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persetujuan itu tidak bermaksud Selat Hormuz akan dibuka semula sepenuhnya.
Sebelum perang tercetus, semua kapal dibenarkan melalui selat berkenaan tanpa sekatan.
Namun, Iran kemudian mengetatkan kawalan terhadap laluan itu dan mengenakan syarat baharu termasuk mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya, sesuatu yang ditolak Washington.
Pertikaian mengenai kawalan Selat Hormuz menjadi antara faktor utama yang menyebabkan rundingan sebelum ini gagal dan mencetuskan semula serangan pada Julai lalu.
Firma pemantauan perdagangan maritim, Kpler, sebelum ini melaporkan trafik kapal melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara sejak konflik kembali memuncak.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kapal tangki minyak berhampiran pantai Oman melaporkan terdengar satu letupan berhampiran kedudukannya pada 1 Ogos.
Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan kapal serta semua anak kapalnya berada dalam keadaan selamat dan siasatan sedang dijalankan.
Pengumuman Encik Trump mengenai rundingan baharu itu turut memberi kesan kepada pasaran tenaga dunia apabila harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut hampir lima peratus pada awal dagangan Asia, mencerminkan keyakinan pelabur bahawa penyelesaian diplomatik mungkin dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak global melalui Selat Hormuz. – Agensi berita.