ISLAMABAD: Rundingan untuk mencapai gencatan senjata jangka panjang antara Afghanistan dengan Pakistan dimuktamadkan di Istanbul tanpa “penyelesaian yang boleh dilaksanakan”, kata Menteri Penerangan Pakistan pada 29 Oktober.
Kegagalan tersebut memberi tamparan hebat kepada keamanan di rantau itu selepas pertempuran maut pada awal Oktober.
Rundingan itu bertujuan mencapai keamanan berkekalan antara negara jiran Asia Selatan itu, selepas berpuluh-puluh orang terbunuh di sepanjang sempadan mereka dalam keganasan terburuk sejak Taleban mengambil alih kuasa di Kabul pada 2021.
“Pihak Afghanistan terus menyimpang daripada isu teras, mengelak perkara utama yang menjadi asas proses dialog dimulakan,” kata Menteri Penerangan Pakistan, Encik Attaullah Tarar, dalam satu kenyataan awal pada 29 Oktober.
“Daripada menerima sebarang tanggungjawab, Taleban Afghanistan menggunakan taktik menuduh, memesong dan muslihat.
“Dialog itu gagal membawa sebarang penyelesaian yang boleh dilaksanakan,” tegas Encik Tarar.
Kementerian luar dan pertahanan Afghanistan tidak segera memberi respons kepada permintaan agensi berita, Reuters, untuk mendapatkan komen mengenai kenyataan Encik Tarar itu.
Kedua-dua negara bersetuju dengan gencatan senjata yang diusahakan di Doha pada 19 Oktober, tetapi tidak dapat menemui titik persamaan dalam pusingan kedua rundingan yang dijalankan Turkey dan Qatar di Istanbul, kata sumber Afghanistan dan Pakistan yang diberi taklimat mengenai isu itu.
Menurut sumber itu, kededua pihak saling menyalahkan satu sama lain atas kegagalan rundingan itu.
Satu sumber keselamatan Pakistan berkata Taleban tidak bersedia untuk komited bagi mengekang Taleban Pakistan, sebuah kumpulan militan berasingan yang bermusuhan dengan Pakistan.
Seorang pegawai Afghanistan yang biasa dengan rundingan itu berkata ia telah berakhir selepas “pertukaran tegang” mengenai isu itu, sambil menambah, pihak Afghanistan berkata ia tidak mempunyai kawalan ke atas Taleban Pakistan, yang telah melancarkan serangan terhadap tentera Pakistan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pertempuran pada Oktober bermula susulan serangan udara Pakistan ke atas ibu negara Afghanistan, Kabul, yang menyasar ketua Taleban Pakistan.
Taleban bertindak balas dengan menyerang pos tentera Pakistan di sepanjang sempadan sepanjang 2,600 kilometer.
Pada 25 Oktober, Menteri Pertahanan Pakistan berkata beliau percaya Afghanistan mahukan keamanan tetapi kegagalan rundingan di Istanbul akan bermakna “perang terbuka”.
Di sebalik gencatan senjata, pertempuran hujung minggu telah mengorbankan lima askar Pakistan dan 25 militan Taleban Pakistan berhampiran sempadan dengan Afghanistan, kata tentera pada 26 Oktober. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg