Topik diikuti
Pergi ke BHkuRundingan damai AS-Iran di Geneva dibatal, masa depan MOU tidak menentu
Rundingan damai AS-Iran di Geneva dibatal, masa depan MOU tidak menentu
Rundingan damai AS-Iran di Geneva dibatal, masa depan MOU tidak menentu
WASHINGTON: Rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran bagi memeterai perjanjian menamatkan konflik Asia Barat berdepan ketidaktentuan baharu selepas Switzerland mengesahkan pertemuan yang dijadual berlangsung pada Jumaat dibatalkan.
Kementerian Luar Switzerland mengumumkan awal Jumaat, rundingan Amerika Syarikat-Iran yang dijadualkan telah dibatalkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Perbincangan di Bürgenstock tidak akan berlangsung seperti yang dirancang hari ini (19 Jun). Akibatnya, mesyuarat yang diumumkan semalam (18 Jun) dibatalkan,”kementerian mengumumkan dalam satu kenyataan tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Perkembangan itu berlaku apabila Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, membatalkan rancangan perjalanan ke Geneva, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan gencatan senjata rapuh antara kedua-dua negara.
Jurucakap Rumah Putih berkata proses rundingan berkenaan sememangnya rumit dan sukar dijangka sejak awal lagi.
“Logistik rundingan ini tidak pernah mudah atau boleh dijangka,” katanya dalam kenyataan pada malam 18 Jun.
Menurut beliau, Encik Vance dan delegasi AS sudah bersedia untuk berlepas sebaik sahaja jadual dimuktamadkan.
Iran pula belum memberikan reaksi rasmi.
Sebelum ini, Teheran menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan teknikal selepas perjanjian 14 perkara yang dicapai dalam Memorandum Persefahaman (MOU) pada 17 Jun berjaya melanjutkan gencatan senjata sekurang-kurangnya 60 hari lagi.
Bagaimanapun, agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, melaporkan delegasi Iran mahu melihat terlebih dahulu bukti Amerika melaksanakan perjanjian sementara itu sebelum menghadiri rundingan di Switzerland.
Laporan itu turut menyebut tiada pengesahan dibuat mengenai perjalanan delegasi Iran ke Geneva.
Sebelum ini, pegawai Amerika berkata satu majlis menandatangani rasmi bagi perjanjian Iran-AS akan diadakan di Switzerland.
Namun, Kementerian Luar Iran mempersoalkan keperluan majlis tersebut kerana memorandum persefahaman itu sudah ditandatangani Presiden Donald Trump, dan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian.
Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu menerusi serangan udara AS dan Israel ke atas Iran telah mengorbankan sekurang-kurangnya 7,000 nyawa selain menyebabkan harga tenaga melonjak dan menggoncang pasaran global.
Di bawah syarat perjanjian itu, Iran akan segera membuka semula Selat Hormuz yang penting secara strategik, manakala Amerika akan menarik balik sekatan tentera lautnya, menurut Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, yang turut menandatangani dokumen itu sebagai pengantara.
Memorandum yang dimeterai kini dilihat oleh penganalisis memberikan beberapa kelonggaran besar kepada Tehran termasuk pelonggaran sekatan ekonomi, pembebasan aset bernilai puluhan bilion dolar serta pengecualian segera terhadap eksport minyak Iran.
Encik Vance berkata Washington juga akan cuba mengehadkan program peluru berpandu jarak jauh Iran dalam rundingan seterusnya.
Kos perang yang semakin meningkat turut menjadi perhatian selepas Jabatan Pertahanan AS dilaporkan memerlukan tambahan AS$80 bilion (sekitar S$108 bilion) untuk menampung kos konflik dan beberapa bil lain.
Ketika Amerika dan Israel melancarkan perang hampir empat bulan lalu, Encik Trump berkata matlamat utama ialah memusnahkan keupayaan nuklear Iran supaya negara itu tidak dapat membangunkan senjata nuklear.
Beliau juga mahu menamatkan keupayaan Teheran menyerang negara jiran, menghentikan sokongan Iran terhadap kumpulan anti-Israel di rantau itu serta membuka peluang kepada rakyat Iran menggulingkan pemerintah agama negara itu.
Namun, ramai penganalisis berkata sebahagian besar matlamat tersebut masih belum tercapai ketika Encik Trump menandatangani perjanjian dengan Iran.
Iran sekali lagi menegaskan program nuklearnya tidak bertujuan membangunkan senjata nuklear, walaupun dakwaan itu terus diragui beberapa pemerintah AS sejak beberapa dekad lalu.
Teheran bagaimanapun bersetuju membenarkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melakukan pemeriksaan selain melaksanakan proses pencairan uranium diperkaya tinggi di dalam negara.
Langkah itu menolak tuntutan Trump yang mahu bahan berkenaan dipindahkan keluar dari Iran.
Pegawai Amerika percaya rundingan lanjut masih boleh menghasilkan perjanjian nuklear yang lebih kukuh berbanding perjanjian 2015 yang dibatalkan Encik Trump ketika penggal pertamanya sebagai presiden.
Namun pengkritik berpendapat Iran kini berada dalam kedudukan lebih kuat selepas berjaya bertahan daripada serangan kuasa besar, membuktikan pengaruhnya di Selat Hormuz dan memperoleh pelonggaran sekatan kewangan.
Iran turut menegaskan ia akan terus mengawal Selat Hormuz bersama Oman serta merancang mengenakan bayaran perkhidmatan baharu terhadap kapal dagang selepas rundingan tamat.
Harga minyak dunia bagaimanapun menurun pada 19 Jun selepas laluan kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz kembali dibuka.
Sebelum perang, hampir satu perlima bekalan minyak mentah dan gas asli cecair dunia melalui laluan strategik itu.
Di Lebanon, serangan baharu Israel pada 19 Jun dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 15 orang dalam serangan yang menurut Israel menyasarkan Hezbollah.
Perkembangan itu meningkatkan lagi persoalan sejauh mana Encik Trump sanggup menekan Israel untuk menghentikan serangan ketenteraan selepas beliau sendiri berjanji mahu menamatkan perang.
Perjanjian Iran-Amerika turut menyeru “penamatan kekal” perang di Lebanon, namun Israel menegaskan ia tidak bercadang berundur dan sebaliknya memperlihatkan zon pendudukan lebih luas dalam peta baharu.
Encik Trump sejak kebelakangan ini semakin terbuka mengkritik operasi ketenteraan Israel di Lebanon, sekali gus mencetuskan keretakan terbesar dalam hubungan kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu. - Agensi berita.
