PARIS/TEHERAN: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) yang bertujuan menamatkan konflik antara kedua-dua negara, dengan Teheran bersetuju mengurangkan tahap uranium diperkaya sebagai balasan kepada bantuan ekonomi besar-besaran serta pelonggaran sekatan.

Encik Trump mengesahkan perkara itu kepada wartawan selepas majlis makan malam rasmi di Istana Versailles berhampiran Paris, susulan sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7).

“Baru sahaja tandatangan,” katanya ringkas ketika keluar dari istana tersebut.

Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, turut mengumumkan bahawa satu perjanjian penting antara Amerika dengan Iran, dikenali sebagai ‘MOU Islamabad’ kini berkuat kuasa serta-merta selepas ditandatangani secara elektronik oleh kedua-dua negara.

Encik Sharif menyatakan bahawa perjanjian tersebut ditandatangani oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara dan turut disahkan beliau selaku perantara, sebagai bukti komitmen Washington dan Teheran terhadap penyelesaian konflik secara diplomasi.

Rakaman video yang dikongsi pembantu Encik Trump menunjukkan beliau menandatangani MOU itu dalam suasana makan malam diterangi cahaya lilin sambil disaksikan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dan pemimpin lain yang memberikan tepukan.

Versailles mempunyai nilai simbolik sejarah kerana lokasi itu menjadi tempat kuasa besar dunia menandatangani perjanjian damai yang menamatkan Perang Dunia Pertama pada 1919.

Presiden Pezeshkian, turut menandatangani dokumen perjanjian itu pada 17 Jun, menurut pengesahan Teheran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata dokumen tersebut “dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden”.

Menurut pegawai Amerika, memorandum itu sebenarnya telah ditandatangani secara digital pada 14 Jun oleh Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, dan Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, dengan Encik Trump bertindak sebagai saksi.

Pada 17 Jun pula, Encik Trump dan Encik Pezeshkian melengkapkan tandatangan rasmi bagi mengesahkan perjanjian tersebut.

Perjanjian itu membuka ruang kepada rundingan baharu selama 60 hari bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap program nuklear Iran.

Sumber diplomatik berkata delegasi Amerika dan Iran dijangka bertemu di Switzerland dalam masa terdekat untuk memulakan rundingan teknikal mengenai program nuklear Iran dan pelaksanaan penuh perjanjian damai tersebut.

Kementerian Hal Ehwal Luar Switzerland mengesahkan rundingan di antara Amerika dan Iran dijadual berlangsung di pusat peranginan Buergenstock pada 19 Jun.

Menurut kenyataan kementerian itu yang dipetik Reuters, pertemuan berkenaan melibatkan kedua-dua negara serta negara pengantara termasuk Pakistan dan Qatar, bagi memulakan rundingan awal mengenai pelaksanaan perjanjian yang telah dipersetujui.

Media sebelum ini melaporkan terdapat perbezaan kenyataan mengenai bentuk pemeteraian perjanjian tersebut, termasuk sama ada majlis rasmi akan diadakan di Switzerland.

Rundingan di Buergenstock dilihat penting oleh komuniti antarabangsa dalam usaha meredakan ketegangan di Asia Barat serta memastikan kelancaran pembukaan semula laluan strategik Selat Hormuz.

Perjanjian itu bertujuan menamatkan perang yang tercetus sejak 28 Februari lalu apabila Amerika dan Israel melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran sebelum Teheran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau.

Konflik itu menyebabkan Selat Hormuz, laluan utama perdagangan minyak dunia, hampir lumpuh selepas Iran menutup laluan berkenaan manakala Washington pula melaksanakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.

Di bawah syarat perjanjian itu, Washington juga bersetuju menggantung sekatan minyak terhadap Iran yang sebelum ini menjejas ekonomi negara tersebut.

Selain itu, Amerika akan membantu memudahkan dana pembangunan semula Iran bernilai AS$300 bilion ($386.5 bilion) yang disokong negara-negara serantau selepas perjanjian muktamad mengenai program nuklear Teheran dicapai.

Sebagai sebahagian syarat utama, Teheran bersetuju mengurangkan tahap uranium diperkaya miliknya di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). – Agensi berita.