WASHINGTON/MOSCOW/KYIV: Amerika Syarikat telah mencapai perjanjian berasingan pada 24 Mac dengan Ukraine dan Russia untuk memastikan pelayaran selamat di Laut Hitam dan melarang serangan oleh kedua-dua negara ke atas kemudahan tenaga masing-masing.
Perjanjian itu, jika dilaksanakan, adalah kemajuan paling jelas ke arah gencatan senjata yang lebih luas dan Washington melihatnya sebagai batu loncatan ke arah rundingan damai untuk menamatkan perang tiga tahun Russia di Ukraine.
Kedua-dua negara berkata mereka akan bergantung kepada Washington untuk menguatkuasakan perjanjian itu.
“Jika Russia melanggarnya, maka saya mempunyai soalan langsung untuk Presiden Donald Trump. Jika mereka melanggar, inilah bukti - kami meminta sekatan, kami meminta senjata, dan lain-lain,” kata Presiden Ukraine Encik Volodymyr Zelensky kepada pemberita pada sidang akhbar di Kyiv.
Menteri Luar Russia Encik Sergei Lavrov berkata: “Kami memerlukan jaminan yang jelas. Dan memandangkan perjanjian hanya dengan Kyiv, jaminan itu hanyalah perintah dari Washington kepada Zelenskyy dan pasukannya untuk melakukan satu perkara dan bukan yang lain.”
Perjanjian itu, yang dicapai di Arab Saudi, menyusuli perbincangan oleh Presiden Trump, yang telah berikrar untuk menamatkan perang dengan pantas dan telah mengalihkan kedudukan Washington daripada menyokong Kyiv dengan tegas kepada pendirian yang lebih bersimpati dengan Moscow.
Di bawah perjanjian dengan Moscow, Washington berjanji untuk membantu memulihkan akses Russia ke pasaran eksport pertanian dan bajanya. Kremlin berkata ini memerlukan penarikan balik beberapa sekatan.
Rundingan itu menyusuli panggilan telefon berasingan minggu lalu antara Encik Trump dengan Encik Zelensky dan Presiden Russia Encik Vladimir Putin.
Encik Putin sebelum ini menolak cadangan Trump untuk gencatan senjata penuh selama 30 hari, yang sebelum ini disahkan oleh Ukraine.
Menteri Pertahanan Ukraine, Encik Rustem Umerov berkata Kyiv akan menganggap sebarang pergerakan kapal tentera Russia di luar bahagian timur Laut Hitam sebagai satu pencabulan dan ancaman, di mana Ukraine akan mempunyai hak penuh untuk mempertahankan diri.
Russia telah menyerang loji kuasa Ukraine dengan peluru berpandu dan dron sepanjang perang, dengan alasan bahawa infrastruktur tenaga awam adalah sasaran yang sah kerana ia membantu keupayaan Ukraine untuk berperang.
Baru-baru ini, Ukraine telah melancarkan serangan jarak jauh ke atas sasaran minyak dan gas Russia, yang dikatakan menyediakan bahan api untuk tentera Russia dan pendapatan untuk membiayai usaha perangnya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg