Topik diikuti
Pergi ke BHkuRundingan Iran tunjuk perkembangan positif, konflik tidak berpanjangan
Rundingan Iran tunjuk perkembangan positif, konflik tidak berpanjangan
Rundingan Iran tunjuk perkembangan positif, konflik tidak berpanjangan
WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik J.D. Vance, berkata rundingan antara Washington dan Teheran menunjukkan perkembangan positif, namun memberi amaran bahawa Amerika bersedia melancarkan semula operasi ketenteraan sekiranya tiada perjanjian dicapai dalam tempoh terdekat.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Donald Trump mendedahkan bahawa beliau hampir mengarahkan serangan baharu ke atas Iran dan memberi Tehran tempoh “dua atau tiga hari” untuk mencapai persetujuan.
“Banyak kemajuan baik sedang dicapai, tetapi kami akan terus berusaha dan akhirnya sama ada kami mencapai perjanjian atau tidak,” kata Encik Vance dalam taklimat di Rumah Putih pada 19 Mei.
Encik Vance, yang sebelum ini dikenali sebagai antara tokoh Republikan yang skeptikal terhadap perang dengan Iran, berkata Teheran perlu menerima hakikat bahawa negara itu tidak boleh memiliki senjata nuklear.
“Kami berada dalam kedudukan yang agak baik sekarang, tetapi ada pilihan kedua, dan pilihan itu ialah kami boleh menyambung semula kempen ketenteraan,” katanya. “Kami sudah bersedia sepenuhnya. Kami tidak mahu memilih jalan itu, tetapi presiden bersedia dan mampu melakukannya jika perlu.”
Ketika ditanya mengenai konflik dengan Iran, Encik Vance menegaskan bahawa Washington tidak bercadang terperangkap dalam peperangan jangka panjang di Asia Barat.
“Ini bukan perang tanpa penghujung. Kami akan selesaikan tugas dan pulang,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha pemerintah Trump untuk meredakan kebimbangan rakyat Amerika terhadap konflik yang bermula sejak 28 Februari lalu dan kini memberi kesan besar kepada ekonomi global.
Kenyataan Encik Vance itu dibuat ketika konflik Iran semakin menjadi ujian politik utama kepada pentadbiran Trump serta tokoh Republikan yang dilihat berpotensi menjadi calon presiden parti itu pada 2028.
Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu telah menjejaskan perdagangan minyak dunia dan menyebabkan harga petrol di Amerika meningkat hampir 50 peratus. Situasi itu mencetuskan tekanan terhadap Republikan yang kini cuba mempertahankan majoriti mereka dalam pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada November nanti.
Menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang diterbitkan pada 19 Mei, kadar sokongan terhadap Encik Trump jatuh hampir ke paras terendah sejak beliau kembali ke Rumah Putih. Ramai rakyat Amerika, termasuk penyokong Republikan, semakin kecewa terhadap pengendalian isu kos sara hidup dan kesan ekonomi perang.
Dalam tinjauan sama, hanya 34 peratus rakyat Amerika mempunyai pandangan positif terhadap Encik Vance, manakala 33 peratus menyatakan pandangan positif terhadap Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio.
Angka itu merosot berbanding Januari 2025 apabila 42 peratus responden menyatakan sokongan kepada Vance.
Taklimat Encik Vance di Rumah Putih turut dilihat sebagai pentas tidak rasmi bagi persaingan menentukan pengganti Trump selepas tamat penggal kedua beliau.
Penampilan Encik Vance itu dibuat kira-kira dua minggu selepas Encik Rubio menarik perhatian ramai menerusi taklimat sulungnya di podium Rumah Putih. “Marco betul, keadaan ini memang huru-hara,” kata Encik Vance secara berseloroh ketika wartawan memenuhi bilik taklimat dan menjerit meminta perhatian beliau.
Apabila seorang wartawan menggambarkan beliau sebagai “calon presiden masa depan yang berpotensi”, Encik Vance segera membetulkannya. “Saya bukan calon masa depan. Saya ialah naib presiden, saya suka pekerjaan saya dan saya mahu lakukan tugas ini sebaik mungkin,” katanya.
Walaupun Encik Vance dan Encik Rubio cuba merendahkan spekulasi mengenai cita-cita politik mereka, Encik Trump terus menghangatkan perbincangan mengenai penggantinya.
Dalam satu majlis makan malam di Rose Garden sebelum ini, Encik Trump bertanya kepada tetamu mengenai dua tokoh Republikan itu. “Siapa suka J.D. Vance? Siapa suka Marco Rubio?” soal Encik Trump.
Kedua-dua nama menerima sorakan kuat daripada hadirin. Encik Trump kemudian berkata gabungan mereka akan menjadi “gandingan sempurna”, namun menegaskan beliau belum memberikan sokongan rasmi kepada mana-mana pihak.
Encik Rubio sebelum ini turut menerima pujian daripada Trump dan beberapa ahli politik Demokrat serta Republikan kerana tampil tenang dan petah ketika berdepan media.
Malah, satu video Jabatan Negara yang memaparkan Encik Rubio berkata beliau mahu Amerika menjadi tempat “sesiapa sahaja dari mana-mana boleh mencapai apa sahaja” menjadi tular di media sosial dan menguatkan lagi spekulasi mengenai kemungkinan beliau bertanding pada 2028.
Sejak beberapa minggu lalu, Encik Vance aktif berkempen di beberapa negeri termasuk Iowa, Maine dan Missouri sambil membantu mengumpul dana untuk calon Republikan.
Dalam taklimat itu, beliau turut cuba membawa pendekatan lebih santai dengan bergurau mengenai isterinya, Cik Usha Vance, yang kini hamil anak keempat mereka.
“Saya beritahu Karoline bahawa saya hanya akan menggantikannya hari ini jika apabila Usha bersalin pada Julai nanti, Karoline pula menjadi naib presiden untuk beberapa minggu,” katanya sambil disambut gelak ketawa wartawan. Dalam taklimat di Rumah Putih pada 19 Mei, Encik Vance tampil menggantikan setiausaha akhbar Cik Karoline Leavitt yang sedang bercuti bersalin.
Walaupun cuba tampil lebih mesra dan tenang, Encik Vance tetap berdepan cabaran besar untuk mempertahankan dasar luar Trump, khususnya perang dengan Iran yang semakin memberi tekanan kepada ekonomi Amerika dan masa depan politik Parti Republikan. - Agensi berita
