WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau telah meluluskan gelombang serangan baharu terhadap Iran minggu ini, namun menangguhkannya buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada “rundingan serius” berhubung konflik yang terus memuncak di Asia Barat.

Encik Trump berkata keputusan itu dibuat selepas pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) meminta lebih banyak masa untuk mencari penyelesaian diplomatik berkaitan program nuklear Iran.

“Kami sebenarnya sedang bersedia melancarkan serangan besar esok (19 Mei), tetapi saya tangguhkan seketika, mungkin selama-lamanya atau mungkin hanya untuk sementara waktu kerana kami sedang mengadakan perbincangan besar dengan Iran,” kata Encik Trump kepada wartawan.

Konflik antara Amerika, Israel dan Iran kini memasuki bulan ketiga selepas perang bermula pada 28 Februari lalu.

Ketika melancarkan serangan bersama Israel sebelum ini, Encik Trump menjangkakan perang itu akan tamat dalam tempoh empat hingga lima minggu.

Namun keadaan menjadi semakin rumit apabila Encik Trump dilihat berdepan dua tekanan berbeza iaitu meneruskan tekanan ketenteraan bagi memaksa Iran tunduk, atau menamatkan perang dan mengisytiharkan kemenangan politik.

Sepanjang konflik itu, Encik Trump telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Pada satu ketika beliau mendakwa perang “sudah tamat”, tetapi pada masa yang sama berkata Amerika masih perlu “menyelesaikan tugasnya”.

Beliau juga pernah mengeluarkan amaran keras pada April lalu dengan mengatakan “seluruh tamadun akan mati malam ini”, sebelum akhirnya menarik balik ancaman tersebut menjelang tarikh akhir yang beliau sendiri tetapkan.

Pegawai tentera Amerika mengakui Iran masih mempunyai daya tahan tinggi walaupun berdepan serangan udara besar-besaran selama beberapa minggu.

Menurut mereka, Iran masih mampu memberi kesan besar terhadap ekonomi global dan kestabilan rantau itu, terutama melalui ancaman terhadap Selat Hormuz, laluan utama kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia.

Setakat ini, stok nuklear Iran juga dilaporkan masih belum disentuh.

Bagaimanapun, Pentagon mendakwa kempen ketenteraan itu telah memusnahkan kira-kira 13,000 sasaran di Iran, melumpuhkan sebahagian besar tentera laut negara itu serta membunuh beberapa pemimpin kanan tentera dan risikan, termasuk pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Di Amerika sendiri, perang itu semakin tidak popular.

Tinjauan oleh akhbar New York Times dan Institut Penyelidikan Siena mendapati 64 peratus pengundi percaya keputusan Encik Trump melancarkan perang terhadap Iran adalah tindakan yang salah.

Majoriti responden turut melahirkan kebimbangan terhadap kesan ke atas ekonomi akibat konflik tersebut.

Dalam masa yang sama, rundingan mengenai program nuklear Iran dan pembukaan semula Selat Hormuz masih menemui jalan buntu.

Encik Trump berkata beliau telah menolak beberapa cadangan daripada Teheran kerana menganggap Iran masih enggan membuat konsesi besar berkaitan program nuklearnya.

“Saya dihubungi tiga negara ini dan beberapa negara lain. Mereka sedang berunding secara langsung dengan pihak kami dan juga Iran, dan nampaknya ada peluang yang baik untuk mencapai penyelesaian.

“Jika kita boleh menyelesaikannya tanpa perlu mengebom mereka habis-habisan, ia akan membuat saya sangat gembira,” tambah beliau.

Encik Trump turut menegaskan bahawa sebarang perjanjian mesti dapat menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.

Namun tuntutan itu terus menjadi penghalang utama dalam rundingan tersebut kerana Teheran enggan membubarkan keseluruhan program nuklearnya.

Beliau tidak menjelaskan sasaran yang dirancang untuk diserang, tetapi pegawai pertahanan Amerika berkata tenteranya telah menyediakan beberapa pilihan termasuk menyerang tapak peluru berpandu balistik Iran.

Dalam hantaran di Truth Social sebelum ini, Encik Trump turut memberi amaran keras kepada Teheran.

“Masa semakin suntuk untuk Iran. Mereka perlu bergerak pantas atau tiada apa lagi yang akan tinggal bagi mereka,” katanya.

Beberapa pegawai Amerika bagaimanapun memberi amaran bahawa kenyataan Encik Trump itu mungkin sebahagian daripada tindakan manipulasi, dan beliau masih boleh meneruskan serangan pada bila-bila masa.

Mereka mengingatkan bahawa rundingan antara pegawai Amerika dengan Iran juga pernah berlangsung beberapa hari sebelum perang meletus Februari lalu.

Sementara itu, Iran dilaporkan mengambil kesempatan sepanjang tempoh gencatan senjata selama sebulan itu untuk membaiki semula tapak peluru berpandu yang dibom serta mengubah strategi pertahanan mereka.

Menurut seorang pegawai tentera Amerika, banyak peluru berpandu Iran ditempatkan jauh di dalam gua bawah tanah dan kawasan pergunungan granit yang sukar dimusnahkan sepenuhnya oleh pesawat pengebom Amerika.

“Amerika hanya berjaya mengebom pintu masuk beberapa lokasi itu sehingga tertimbus, tetapi tidak memusnahkannya sepenuhnya. Kini Iran sudah menggali semula banyak tapak berkenaan,” katanya.

Pegawai itu turut mendakwa komander Iran, kemungkinan dengan bantuan Russia, telah mengkaji corak penerbangan pesawat pejuang Amerika bagi memperkukuh sistem pertahanan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran turut menghantar cadangan damai baharu kepada Amerika menerusi Pakistan, yang menjadi pengantara utama rundingan antara kedua-dua pihak. Pakistan mengesahkan ia telah menyerahkan cadangan tersebut kepada Washington.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, berkata Teheran sudah menyampaikan pandangannya kepada Amerika melalui Pakistan, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

Menurut sumber Iran, cadangan itu memberi tumpuan kepada usaha menghentikan perang, membuka semula Selat Hormuz dan menarik balik sekatan maritim terhadap Iran sebelum isu pengayaan uranium dibincangkan kemudian.

Namun Rumah Putih dilaporkan menganggap cadangan itu masih “tidak mencukupi”. Encik Trump pula menegaskan beliau tidak bersedia memberi sebarang konsesi kepada Teheran.

“Saya boleh katakan mereka kini lebih mahu mencapai perjanjian berbanding sebelum ini kerana mereka tahu apa yang bakal berlaku tidak lama lagi,” katanya. – Agensi berita.