HERZLIYA, Israel: Rundingan antara parti Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu, dengan pesaingnya, Gadi Eisenkot, berakhir tanpa sebarang persetujuan mengenai pembentukan pemerintah campuran baharu, ketika kedua-dua pihak masih berbeza pendirian dalam beberapa isu utama.

Wakil parti Yashar pimpinan Encik Eisenkot dan parti Likud pimpinan Encik Netanyahu mengadakan rundingan selama empat jam di sebuah hotel di Herzliya, berhampiran Tel Aviv, pada 22 November.

Pertemuan itu merupakan pusingan kedua rundingan selepas perbincangan pertama diadakan pada Ahad sebelumnya.

“Pusingan terbaru rundingan pembentukan pemerintah sudah selesai. Kedua-dua pihak mengemukakan pendirian masing-masing mengenai beberapa isu penting dan membincangkannya secara terperinci,” menurut kenyataan bersama kedua-dua parti.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa satu lagi pertemuan akan diadakan, namun tidak menyatakan tarikhnya atau memberikan butiran lanjut.

Encik Eisenkot, bekas ketua turus tentera Israel, mempunyai tempoh sehingga 6 Disember untuk membentuk pemerintah, dengan kemungkinan diberikan lanjutan selama 14 hari.

Pilihan raya pada Oktober lalu gagal menghasilkan majoriti mutlak bagi mana-mana gabungan politik, sekali gus menyebabkan Israel terus berdepan kebuntuan dalam pembentukan pemerintah.

Gabungan Encik Eisenkot kini mempunyai 48 anggota Parlimen, sedangkan sekurang-kurangnya 61 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Bagaimanapun, gabungan itu masih berpecah mengenai pendekatan terbaik untuk mendapatkan sokongan tambahan.

Antara pilihan yang dipertimbangkan termasuk bekerjasama dengan parti Yahudi ultra-Ortodoks, mendapatkan sokongan parti Arab atau membentuk pemerintah perpaduan nasional bersama Likud.

Encik Netanyahu pula mahu sebuah pemerintah perpaduan nasional dibentuk, termasuk kemungkinan kedua-dua pemimpin berkongsi jawatan perdana menteri secara bergilir.

Kaedah penggiliran jawatan perdana menteri pernah dilaksanakan di Israel sebelum ini.

Namun, cadangan itu menimbulkan persoalan kerana ia berpotensi membolehkan Encik Netanyahu mengekalkan perlindungan politik ketika beliau berdepan pertuduhan rasuah.

Ia juga mungkin membolehkannya terus menentang penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat kegagalan keselamatan Israel sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Cadangan berkenaan turut bercanggah dengan pendirian Encik Eisenkot yang berulang kali menegaskan beliau tidak akan menyertai pemerintah yang dipimpin Encik Netanyahu.

Penentangan terhadap Encik Netanyahu menjadi antara perkara utama dalam kempen pilihan raya Encik Eisenkot.

Sekutunya, bekas Perdana Menteri Encik Naftali Bennett, turut menegaskan pada 21 November bahawa beliau tidak akan menyertai mana-mana kerajaan bersama Netanyahu atau gabungan politiknya.

Encik Bennett berkata, pendiriannya itu tidak akan berubah dalam apa jua keadaan.

Parti Yashar pada 21 November menyifatkan penyambungan semula rundingan sebagai bukti komitmen untuk membentuk pemerintah yang mendapat sokongan seluas mungkin.

Menurut parti itu, Encik Eisenkot sudah mengarahkan wakilnya meneliti semua pilihan yang boleh membuka jalan kepada pembentukan kerajaan.

Bagaimanapun, Likud segera menetapkan beberapa syarat utama sebelum bersetuju menyertai pemerintah perpaduan.

Antaranya ialah menghentikan semua serangan peribadi dan kenyataan yang dianggap menghasut kebencian terhadap Encik Netanyahu serta pemerintahannya.

Likud juga mahu pemerintah baharu merangkumi semua parti yang mengiktiraf Israel sebagai negara bangsa bagi orang Yahudi, tetapi tanpa penyertaan parti Arab.

Pendirian itu dijangka menyukarkan lagi rundingan kerana parti Arab memenangi 19 kerusi dalam pilihan raya lalu, jumlah tertinggi pernah dicapai dalam Parlimen Israel.

Parti Arab juga secara terbuka menentang Encik Netanyahu daripada terus memegang kuasa.

Selain itu, Likud menuntut persetujuan mengenai beberapa dasar utama, termasuk menolak penubuhan negara Palestin.

Parti itu turut mahu Israel mengekalkan penguasaan terhadap wilayah di Syria, Lebanon dan Jaluran Gaza.

Satu lagi tuntutan ialah mencapai kompromi mengenai kewajipan perkhidmatan tentera bagi masyarakat Yahudi ultra-Ortodoks, isu yang sudah lama mencetuskan pertikaian politik di Israel.

Ketika rundingan masih menemui jalan buntu, Encik Eisenkot memberi amaran pada 20 November bahawa beliau tidak akan membiarkan proses pembentukan kerajaan berlarutan tanpa penyelesaian.

Beliau menyatakan kesediaan untuk mengemukakan cadangan pembentukan sebuah “pemerintah darurat nasional” kepada Parlimen.

Walaupun tidak menjelaskan bagaimana kerajaan itu akan dibentuk, kenyataannya membayangkan kemungkinan pelaksanaan rancangan dua peringkat.

Peringkat pertama melibatkan pembentukan segera pemerintah minoriti yang disokong parti pembangkang utama, sebelum usaha dilakukan untuk memperluas sokongannya.

Pemerintah minoriti pimpinan Encik Eisenkot berpotensi mendapat sokongan 19 anggota Parlimen daripada parti Arab.

Namun, langkah itu turut menghadapi tentangan dalam gabungannya sendiri.

Sekutu Encik Eisenkot yang berhaluan kanan, Avigdor Liberman, menolak sebarang kerjasama dengan parti Arab.

Sebaliknya, beliau mahu Encik Eisenkot membentuk pakatan dengan parti Yahudi ultra-Ortodoks bagi mendapatkan kerusi tambahan yang diperlukan.

Perbezaan pendirian dalam kalangan sekutu Encik Eisenkot, selain syarat ketat yang ditetapkan Likud, terus menyukarkan usaha membentuk pemerintah baharu.

Dengan tarikh akhir 6 Disember semakin hampir, Encik Eisenkot kini berdepan tekanan untuk mencari jalan keluar daripada kebuntuan politik itu atau mendapatkan lanjutan masa bagi meneruskan rundingan. – AFP

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti