Singapura mengalu-alukan pertemuan Jawatankuasa Sempadan Umum Thailand-Kemboja pada 24 Disember, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Ia merupakan pertemuan pegawai pertahanan daripada kedua-dua negara untuk menyambung semula gencatan senjata, selepas sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh sedang pertempuran sempadan memasuki minggu ketiga.
Ulasan Dr Balakrishnan dibuat selepas mesyuarat menteri luar Asean di Kuala Lumpur mengenai situasi semasa antara Kemboja dengan Thailand pada 22 Disember.
Dalam satu hantaran Facebooknya pada 22 Disember, beliau berkata:
“Saya menggesa rakan sejawatan daripada kedua-dua pihak untuk mengurangkan ketegangan, menyambung semula rundingan dan menyelesaikan pertikaian mereka secara aman.
“Sebagai Asean, masa depan kolektif kita hanya akan lebih cerah jika kita bersatu.”
Kumpulan menteri Asean bertemu untuk menyelamatkan gencatan senjata yang kali pertama diusahakan pengerusi Asean, Malaysia dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, selepas pertempuran sempadan berlaku pada Julai, konflik terburuk dalam sejarah mereka, lapor The Straits Times (ST).
Dr Balakrishnan menambah pertemuan itu merupakan “langkah penting untuk membincangkan penyambungan semula gencatan senjata” dan Singapura sangat prihatin terhadap laporan korban di Kemboja dan Thailand.
Bangkok dan Phnom Penh saling menuduh atas tindakan yang membawa kepada kegagalan gencatan senjata yang dipertingkat, dicapai pada Oktober di Malaysia di hadapan Encik Trump.
Pada waktu itu, kedua-dua negara komited untuk menghapuskan periuk api serta pengunduran tentera dan senjata berat.
Pertukaran tembakan telah berlaku di banyak kawasan yang telah lama dipertikaikan di sepanjang sempadan darat mereka sepanjang 817 kilometer – dari kawasan pedalaman berhutan berhampiran Laos hingga wilayah di pesisir pantai.
Kementerian Pertahanan Kemboja berkata Thailand telah melanggar kedaulatannya dengan lebih banyak “serangan senjata” pada 22 Disember dan berikrar mempertahankan apa yang dikatakannya sebagai wilayahnya.
Thailand pada hujung minggu pula menuduh Kemboja cuba melepaskan tembakan roket di sebuah bandar di sempadan dan berkata seorang askar telah kehilangan kaki akibat periuk api.
Thailand juga menuduh Kemboja meletakkan periuk api baru, yang melanggar komitmen perjanjian antarabangsanya, satu dakwaan yang dinafikan Phnom Penh.
Dalam satu laporan berasingan pada 22 Disember, Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, memberitahu semasa satu taklimat di Kuala Lumpur bahawa negaranya mahukan “gencatan senjata sebenar” dengan komitmen teguh dari Kemboja dan pelan pelaksanaan yang terperinci.
Beliau juga menegaskan bahawa pembersihan periuk api perlu dilakukan untuk memajukan proses tersebut.
“Gencatan senjata tidak boleh diisytiharkan begitu sahaja; ia memerlukan perbincangan,” katanya.
Usaha damai serantau terbaru itu berlaku ketika Amerika dan China meneruskan usaha diplomatik berasingan untuk menamatkan konflik itu, tanpa sebarang tanda kejayaan setakat ini.
Encik Sihasak berkata Amerika mahupun China tidak terlibat dalam keputusan untuk kedua-dua negara menyambung semula perbincangan lewat minggu ini, sambil menambah ia adalah tentang Thailand dan Kemboja “menyelesaikan masalah” yang mereka hadapi.
Perhimpunan pada 22 Disember itu merupakan pertemuan bersemuka pertama yang melibatkan kedua-dua kerajaan sejak pertempuran bersambung pada 8 Disember.
Semasa merasmikan mesyuarat itu, Menteri Luar Malaysia menggesa blok itu untuk memainkan peranan lebih tegas dalam menghentikan konflik tersebut.
“Asean mesti melakukan apa sahaja, untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau,” kata Encik Mohamad Hasan.
“Matlamat kita perlu melangkaui usaha untuk mengurangkan ketegangan.
Kita mesti mempergiatkan pembangunan kepercayaan antara pihak-pihak yang berkonflik dan menyediakan ruang untuk berdialog,” tambahnya.
“
“Saya menggesa rakan sejawatan daripada kedua-dua pihak untuk mengurangkan ketegangan, menyambung semula rundingan dan menyelesaikan pertikaian mereka secara aman. Sebagai Asean, masa depan kolektif kita hanya akan lebih cerah jika kita bersatu.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg