WASHINGTON / MADRID – Amerika Syarikat dan China mencapai persetujuan awal atau rangka kerja mengenai operasi TikTok di Amerika, sekali gus membuka jalan kepada pemilikan syarikat itu oleh pihak Amerika. Langkah ini berlaku ketika kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia masih berunding untuk menyelesaikan perang dagangan yang telah berlarutan sejak beberapa tahun.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, mengumumkan perkara itu selepas rundingan di Madrid, sambil menegaskan bahawa Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping akan “memuktamadkan” perjanjian tersebut pada Jumaat ini, 19 September.
Encik Trump dalam hantaran di Truth Social berkata rundingan berjalan dengan baik: “Rundingan berjalan dengan sangat baik.” Sementara itu, Beijing mengesahkan wujud kerangka persetujuan tetapi menegaskan bahawa sebarang perjanjian tidak akan dibuat dengan mengorbankan kepentingan syarikat-syarikat China.
Tarikh akhir terbaru bagi ByteDance, syarikat induk TikTok di China, untuk menjual operasi di Amerika atau berdepan pengharaman kini ditetapkan pada 17 September. Sebelum ini, tarikh akhir tersebut sudah tiga kali dilanjutkan, mencerminkan betapa kompleksnya isu pemilikan dan keselamatan data.
CBS, rakan media BBC di Amerika, melaporkan bahawa Oracle berada dalam kumpulan syarikat yang bersedia memastikan operasi TikTok di Amerika dapat diteruskan sekiranya rundingan dimuktamadkan.
Bagi pemerhati politik, isu TikTok bukan semata-mata soal hiburan atau media sosial, sebaliknya menjadi simbol kepada pertarungan lebih besar antara Washington dan Beijing berhubung teknologi, perdagangan, dan keselamatan data.
Menurut Encik Bessent, kerangka perjanjian yang dicapai di Madrid berlaku selepas hari kedua rundingan untuk menamatkan perang dagangan yang pernah menyaksikan tarif ke atas barangan mencecah sehingga 145 peratus.
Perwakilan Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer, menegaskan perjanjian yang dicapai masih tertakluk kepada kelulusan Trump dan Xi. Beliau juga memberi amaran bahawa pihaknya “tidak berada dalam perniagaan melanjutkan pengharaman berulang kali”.
Sebaliknya, ketua perunding perdagangan China, Encik Li Chenggang, menegaskan: “China tidak akan mencapai perjanjian dengan Amerika dengan mengorbankan prinsip-prinsip kami.”
Mahkamah Agung Amerika pada Januari lalu mengekalkan undang-undang yang diluluskan Kongres pada 2024, yang melarang TikTok melainkan ByteDance menjual bahagian operasinya di Amerika.
Jabatan Kehakiman Amerika mendakwa akses TikTok terhadap data pengguna Amerika menimbulkan “ancaman keselamatan nasional yang besar dan mendalam”.
Namun, ByteDance berulang kali menafikan tuduhan itu. Syarikat itu menegaskan operasi Amerika berfungsi secara bebas, dan tiada data pengguna pernah disalurkan kepada kerajaan China. Mereka juga berhujah bahawa larangan ke atas TikTok akan melanggar perlindungan kebebasan bersuara bagi 170 juta pengguna Amerika.
Walaupun persetujuan awal telah dicapai, beberapa pakar masih ragu. Cik Sarah Kreps, Pengarah Institut Dasar Teknologi di Universiti Cornell, memberi amaran: “Sehingga butiran jelas mengenai pemindahan data dan audit bebas disahkan, risiko kekal bahawa perjanjian ini hanya menyelesaikan soal pemilikan di atas kertas tetapi meninggalkan kerentanan utama.”
Encik Jim Secreto, bekas pegawai keselamatan nasional dalam pentadbiran Joe Biden, menegaskan bahawa isu algoritma dan data adalah “pertaruhan sebenar” dalam rundingan ini.
“Data yang dikumpul TikTok daripada rakyat Amerika hari ini boleh melatih model kecerdasan buatan yang menguatkan keupayaan ketenteraan dan risikan China esok,” katanya.
Beliau menambah bahawa penyelesaian isu ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada keselamatan Amerika tetapi juga menjadi pencapaian besar dalam perang dagangan dengan Beijing.
Nama-nama tokoh terkenal sudah pun dikaitkan dengan potensi pembelian, termasuk pengasas bersama Oracle Larry Ellison, pencipta YouTube MrBeast, dan pelabur bilionair Frank McCourt.
Namun begitu, penganalisis menyatakan persoalan utama bukan sekadar siapa memiliki TikTok, tetapi bagaimana data pengguna disimpan, dilindungi dan dipantau bagi mengelakkan akses belakang tabir oleh pihak luar.
Bagi China, isu TikTok adalah sebahagian daripada strategi lebih besar untuk mendapatkan kelonggaran tarif dan halangan perdagangan dengan Amerika. Sebaliknya, bagi Washington, ia adalah ujian sejauh mana Beijing sanggup berkompromi dalam isu keselamatan data.
Jika perjanjian ini berjaya dimuktamadkan, ia boleh menandakan kejayaan besar bagi Encik Trump yang sedang berdepan tekanan domestik, sekaligus memperkukuh kedudukannya dalam rundingan dengan Encik Xi.
Namun, jika gagal, TikTok berisiko diharamkan, sekali gus mencetuskan kemarahan ratusan juta pengguna dan menambahkan lagi ketegangan dalam hubungan dua hala. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg