WASHINGTON: TikTok memberi amaran pada 17 Januari ia tidak dapat diakses di Amerika Syarikat (AS) mulai 19 Januari jika pentadbiran Presiden Joe Biden tidak memberi jaminan kepada syarikat-syarikat seperti Apple dan Google bahawa mereka tidak akan berdepan dengan tindakan penguatkuasaan apabila larangan itu berkuat kuasa.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Mahkamah Agung mengesahkan undang-undang yang melarang TikTok di Amerika atas alasan keselamatan negara jika syarikat induk TikTok, ByteDance dari China, tidak menjualnya, menjadikan aplikasi video pendek popular itu berisiko tidak dapat diakses pengguna dalam dua hari.
Keputusan 9-0 mahkamah itu membawa ketidaktentuan kepada platform media sosial ini dan 170 juta penggunanya di Amerika, dengan nasib TikTok kini berada di tangan Encik Donald Trump, yang berjanji akan menyelamatkannya selepas kembali menjadi presiden pada 20 Januari.
Apple, Google milik Alphabet, Oracle, dan syarikat lain mungkin dikenakan denda besar jika mereka terus memberi perkhidmatan kepada TikTok selepas larangan itu berkuat kuasa.
Undang-undang ini diluluskan dengan sokongan besar daripada kedua-dua parti di Kongres pada 2024 dan ditandatangani Presiden Biden.
Namun, semakin ramai ahli Kongres yang sebelum ini mengundi untuknya kini mahu TikTok terus beroperasi di Amerika.
TikTok, ByteDance, dan beberapa penggunanya mencabar undang-undang itu, tetapi Mahkamah Agung memutuskan ia tidak melanggar hak kebebasan bersuara.
ByteDance masih belum menjual TikTok menjelang tarikh akhir 19 Januari, tetapi penutupan aplikasi tersebut mungkin hanya sementara. Encik Trump, yang cuba melarang TikTok pada 2020, berkata beliau akan mengambil tindakan untuk menyelamatkannya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok, Encik Chew Shou Zi, akan hadir di perasmian kedua Encik Trump pada 20 Januari. Encik Trump berkata beliau dan Presiden Xi Jinping membincangkan TikTok pada 17 Januari.
Pemilikan TikTok oleh China telah menimbulkan kebimbangan di Amerika, terutama di tengah ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia.
Ahli politik dan pentadbiran Biden mengatakan China mungkin menggunakan TikTok untuk mengumpul data mengenai berjuta-juta rakyat Amerika untuk tujuan gangguan, perekrutan, dan perisikan.
TikTok telah menjadi salah satu platform media sosial yang paling popular di AS, terutamanya dalam kalangan golongan muda yang gunakannya untuk video pendek, termasuk ramai yang gunakannya bagi perniagaan kecil.
Beberapa pengguna terkejut kerana larangan itu mungkin benar-benar dilaksanakan.
Algoritma TikTok menunjukkan video pendek mengikut minat pengguna. Menjelang tarikh akhir 19 Januari, berjuta-juta pengguna berpindah ke aplikasi milik China lain seperti RedNote, dan terpaksa belajar menggunakan platform yang semuanya dalam bahasa Mandarin.
Peguam Negara, Encik Merrick Garland, berkata keputusan itu mengesahkan bahawa undang-undang melindungi keselamatan negara Amerika.
Pentadbiran Biden berkata TikTok boleh terus beroperasi jika ia bebas dari kawalan China, tetapi Rumah Putih menyatakan Presiden Biden tidak akan mengambil tindakan untuk menyelamatkannya.
“Keputusan ini akan dibuat oleh presiden seterusnya,” kata Presiden Biden kepada wartawan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg