BAITULMAQDIS: Usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menghidupkan semula pelan damai Gaza masih menemui jalan buntu selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menegaskan tenteranya tidak akan berundur dari wilayah itu sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.

Pendirian itu disampaikan dalam pertemuan selama beberapa jam pada 17 Ogos antara Encik Netanyahu dengan utusan Presiden AS, Encik Donald Trump, Encik Jared Kushner, yang berkunjung ke Israel selepas mengadakan rundingan dengan pemimpin politik Hamas, Encik Khalil al-Hayya, di Mesir sehari sebelumnya.

Rundingan selama dua hari itu berakhir tanpa kejayaan besar apabila Israel dan Hamas kekal berbeza pendirian mengenai urutan pelaksanaan pelan 15 perkara yang disokong Washington bagi menamatkan konflik Gaza.

Israel mahu Hamas menyerahkan semua senjata dan Gaza dinyahmilitarisasi terlebih dahulu sebelum tentera Israel berundur.

Hamas pula menyatakan kesediaan menerima pelan itu, termasuk proses pelucutan senjata secara berperingkat, tetapi menuntut Israel terlebih dahulu menghentikan serangan dan memulakan pengunduran tenteranya.

Menurut seorang pegawai Israel, Encik Netanyahu menegaskan dalam pertemuan itu bahawa Angkatan Pertahanan Israel (IDF) akan terus berada di Gaza dan menjalankan operasi yang dianggap perlu bagi menjaga keselamatan Israel.

Pembinaan semula Gaza juga tidak akan dimulakan sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.

Pejabat Perdana Menteri Israel berkata Israel dan Lembaga Keamanan pimpinan Encik Trump bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani isu pelucutan senjata dan proses nyahmilitarisasi Gaza.

Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa proses itu perlu dilaksanakan dengan segera dan diselesaikan sebelum pembinaan semula Gaza dimulakan.

Seorang pegawai Lembaga Keamanan pula menyifatkan pertemuan tersebut sebagai panjang, mendalam dan produktif serta berkata kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenai laluan untuk meneruskan proses tersebut.

Menurut pegawai itu, Israel bersedia memberi peluang kepada proses berkenaan, tetapi Hamas kini perlu menunjukkan bahawa ia benar-benar mahu memenuhi komitmennya.

Encik Netanyahu turut dilaporkan meminta seorang jeneral AS menyelia proses penyerahan senjata Hamas.

Pertemuan itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, dan utusan Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nickolay Mladenov, bekas pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sehari sebelum pertemuan tersebut, Encik Kushner bertemu Encik Hayya di Mesir dalam usaha mendapatkan persetujuan Hamas mengenai pelaksanaan pelan berkenaan.

Pertemuan itu merupakan kali kedua Encik Kushner diketahui mengadakan rundingan secara langsung dengan wakil Hamas, kumpulan yang disenaraikan AS sebagai pertubuhan pengganas. Beliau sebelum ini bertemu pemimpin Hamas bersama utusan AS, Encik Steve Witkoff, pada Oktober 2025 dalam rundingan yang membantu menghasilkan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Menurut pegawai Hamas, kumpulan itu komited terhadap pelan 15 perkara tersebut dan bersedia memulakan tempoh rundingan 14 hari bagi menetapkan jadual pelaksanaannya.

Hamas bagaimanapun menuntut Israel menghentikan serangan dan mengundurkan tenteranya ke apa yang dikenali sebagai “garisan kuning” sebelum pelaksanaan pelan dimulakan.

Perbezaan mengenai langkah mana yang perlu dilakukan terlebih dahulu kini menjadi halangan utama kepada usaha membawa proses damai Gaza ke peringkat seterusnya.

Di bawah pelan itu, Hamas perlu menyerahkan senjatanya secara berperingkat sementara tentera Israel berundur secara beransur-ansur dari Gaza. Hamas berkata pelaksanaan hanya boleh dilakukan jika Israel turut memenuhi komitmennya.

Israel ketika ini masih menguasai kira-kira 60 peratus wilayah Gaza, sementara Encik Netanyahu sebelum ini pernah menyatakan Israel boleh memperluaskan penguasaannya sehingga sekitar 70 peratus.

Kebuntuan itu berlaku ketika Encik Netanyahu berdepan pilihan raya nasional pada 27 Oktober dan gabungan pemerintahannya ketinggalan dalam beberapa tinjauan pendapat.

Keadaan politik itu meningkatkan tekanan terhadap beliau kerana isu Gaza, termasuk tindakannya sebelum dan selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, kekal menjadi antara isu utama menjelang pilihan raya.

Pada masa sama, beberapa negara serantau meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel.

Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Pakistan dan Indonesia, bersama negara pengantara Mesir, Qatar dan Turkey, antara yang mengkritik penolakan Israel terhadap pelan tersebut.

Mereka menggesa AS dan Lembaga Keamanan mengambil langkah segera bagi memastikan tiada pihak menghalang pelaksanaan pelan damai Gaza.

Kebuntuan itu turut memberi kesan kepada usaha membina semula Gaza dan kehidupan kira-kira dua juta penduduk wilayah tersebut, lebih 10 bulan selepas gencatan senjata Oktober 2025 menamatkan operasi ketenteraan besar-besaran.

Sejak gencatan senjata itu, lebih 1,200 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel, manakala empat askar Israel terbunuh, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza dan tentera Israel.

Walaupun rundingan terbaru gagal menghasilkan kejayaan segera, saluran diplomatik masih diteruskan.

Penubuhan kumpulan kerja mengenai pelucutan senjata dan nyahmilitarisasi menunjukkan Washington masih berusaha mencari jalan keluar daripada pertikaian mengenai urutan pelaksanaan pelan.

Namun selagi Israel menuntut Hamas menyerahkan semua senjatanya sebelum pengunduran tentera bermula, sementara Hamas menuntut Israel berundur dan menghentikan serangan terlebih dahulu, pelaksanaan pelan damai Gaza kekal tergantung.