Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah runtuh di Himachal Pradesh, India: 15 maut, seorang kanak-kanak masih hilang

Oct 8, 2025 | 3:25 PM
Dalam foto edaran yang dikeluarkan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), anggota NDRF mencari mangsa yang terselamat selepas runtuhan tanah besar menghempap sebuah bas penumpang pada malam 7 Oktober, berhampiran Bilaspur di negeri Himachal Pradesh, utara India, 8 Oktober 2025.
Dalam foto edaran yang dikeluarkan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), anggota NDRF mencari mangsa yang terselamat selepas runtuhan tanah besar menghempap sebuah bas penumpang pada malam 7 Oktober, berhampiran Bilaspur di negeri Himachal Pradesh, utara India, 8 Oktober 2025. - Foto Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF)

NEW DELHI: Angka kematian akibat tanah runtuh yang menimpa sebuah bas persendirian di negeri pergunungan Himachal Pradesh, India, meningkat kepada 15 orang, manakala seorang kanak-kanak masih hilang, menurut pihak berkuasa pada 8 Oktober.

Timbalan Ketua Menteri Himachal Pradesh, Encik Mukesh Agnihotri, berkata kejadian yang berlaku pada petang 7 Oktober itu meragut nyawa sembilan lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak. Dua lagi kanak-kanak cedera dan kini dirawat.

“Dalam tragedi yang mengerikan ini, 15 orang kehilangan nyawa mereka, termasuk dua kanak-kanak tidak berdosa. Dua kanak-kanak lain cedera dan pasukan penyelamat masih mencari seorang lagi yang hilang,” katanya dalam kenyataan di platform X pada 8 Oktober.

Rakaman yang dikongsi agensi berita ANI menunjukkan bangkai bas yang remuk terdampar di tepi jalan gunung, manakala pasukan penyelamat menggali runtuhan untuk mencari mangsa yang tertimbus. Beberapa penyelamat kelihatan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan tanah, sementara yang lain memeriksa barangan peribadi yang diselaputi lumpur.

“Punca utama kejadian ini adalah hujan lebat yang berterusan sejak dua hari lalu di kawasan ini,” kata pegawai kanan polis Encik Sandeep Dhawal kepada ANI.

Hujan lebat sejak awal minggu ini telah mencetuskan banjir dan tanah runtuh di rantau Himalaya, menjejaskan banyak kawasan di India dan negara jiran.

Menurut laporan media tempatan, sekurang-kurangnya 23 orang maut di daerah Darjeeling, Bengal Barat, sehingga 6 Oktober, manakala 50 lagi terkorban di Nepal apabila hujan berterusan mengakibatkan banjir dan tanah runtuh yang menghanyutkan rumah serta memusnahkan jalan raya.

Pegawai dari Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian bagi mengesan kanak-kanak yang hilang. “Kami akan meneruskan usaha sehingga mangsa terakhir ditemui,” kata Penolong Komandan NDRF, Karam Singh.

Tragedi ini menambah kebimbangan terhadap keselamatan pengangkutan di kawasan tanah tinggi India, yang kerap terdedah kepada bencana tanah runtuh setiap musim hujan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg