JAKARTA: Kejatuhan mendadak nilai rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat serta peningkatan kos penerbangan kini mula memberi tekanan besar kepada industri umrah di Indonesia apabila pengendali pakej terpaksa menaikkan harga susulan kos operasi yang semakin meningkat.

Persatuan Penyelenggara Haji dan Umrah Indonesia berkata penyusutan nilai rupiah menjadi faktor utama yang menyebabkan kos perjalanan ibadah ke Arab Saudi semakin mahal bagi rakyat Indonesia.

Wakil persatuan itu, Cik Rizky Amelia, berkata penurunan kadar pertukaran daripada sekitar 16,800 rupiah ($1.19) kepada hampir 18,100 rupiah bagi setiap dolar Amerika Syarikat menyebabkan pengendali umrah terpaksa menanggung peningkatan kos yang ketara.

“Daripada peningkatan kadar dolar sahaja, kos sudah meningkat sehingga 3 juta rupiah bagi setiap jemaah,” katanya di Lamongan, Jawa Timur.

Menurut beliau, tekanan itu bertambah apabila syarikat penerbangan mula menaikkan tambang berikutan kenaikan kos bahan api penerbangan global.

Katanya, penerbangan dari Surabaya ke Jeddah atau Madinah kini lebih mahal berbanding penerbangan dari Jakarta, sekali gus meningkatkan beban jemaah dari kawasan timur Indonesia.

“Kenaikan tambang berbeza mengikut syarikat penerbangan. Lion Air meningkat sekitar 5 juta rupiah, Garuda Indonesia sekitar 7 juta rupiah manakala Saudia pula sehingga 8 juta rupiah,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan pengendali umrah tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga pakej.

“Penyesuaian harga kini tidak dapat dielakkan,” katanya.

Walaupun kos semakin tinggi, permintaan terhadap pakej umrah masih kekal stabil.

Cik Amelia berkata pendaftaran bagi keberangkatan Julai hanya menurun sekitar 10 peratus dan setakat ini tiada jemaah yang membatalkan perjalanan mereka disebabkan kenaikan harga.

“Syukur, pendaftaran untuk Julai masih stabil dan tiada yang menarik diri. Jemaah memahami situasi ekonomi global ketika ini,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan jemaah lebih rela menanggung kos tambahan berbanding menerima pengurangan mutu perkhidmatan atau kemudahan perjalanan.

“Semuanya berkait dengan kualiti. Jemaah masih mahukan perkhidmatan dan kemudahan yang baik. Mereka menganggap kenaikan ini masih munasabah dan mampu ditanggung,” katanya.

Indonesia merupakan antara negara penyumbang jemaah umrah terbesar dunia dengan lebih sejuta rakyatnya menunaikan umrah setiap tahun ke kota suci Makkah dan Madinah.

Sebelum kejatuhan mendadak rupiah sejak dua bulan lalu, pakej umrah di Indonesia biasanya ditawarkan antara 23 juta rupiah hingga 50 juta rupiah bergantung kepada jenis perkhidmatan dan lokasi pelepasan penerbangan. – Agensi berita.