KYIV: Russia melancarkan serangan besar kedua pada 28 November ke atas prasarana tenaga Ukraine, menyebabkan bekalan kuasa terputus di seluruh negara.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata Moscow melancarkan serangan itu sebagai tindak balas kepada serangan Ukraine ke atas wilayah Russia dengan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera Darat (ATACMS) jarak sederhana buatan Amerika Syarikat.
Beliau berkata sasaran masa depan Russia boleh juga termasuk “pusat membuat keputusan” di Kyiv.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menuduh Russia melakukan “peningkatan yang keji” dengan menggunakan peluru berpandu dengan bom berangkai.
Dalam ucapan video terbarunya, Encik Zelensky berkata beliau telah berbincang dengan pemimpin negara Barat, termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutte; Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer; dan Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, mengenai tindak balas terhadap “percubaan Russia untuk menjadikan keadaan lebih tidak tertanggung dan mengheret perang”.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden, mengutuk serangan Russia sebagai “keterlaluan”, dengan berkata dalam satu kenyataan bahawa ia berfungsi sebagai “satu lagi peringatan tentang keperluan menyokong rakyat Ukraine dalam pertahanan mereka terhadap pencerobohan Russia”.
Lebih sejuta orang diselubungi kegelapan dan berjuta-juta lagi berdepan dengan ketiadaan tenaga kuasa yang lebih lama akibat serangan Russia itu.
Tentera udara Ukraine berkata Russia menggunakan 91 peluru berpandu dan 97 dron dalam serangan tersebut.
Ia berkata 12 daripadanya telah mengena sasaran, kebanyakannya adalah kemudahan tenaga dan bahan api.
“Musuh menggunakan sejumlah besar peluru berpandu dan dron.
“Penggunaan besar-besaran di kawasan tertentu selalunya melebihi kemampuan perlindungan pertahanan udara,” kata tentera udara Ukraine dalam satu kenyataan.
Kemudahan prasarana rosak di sembilan wilayah, kata Kementerian Dalam Negeri Ukraine.
Serangan itu mengukuhkan kebimbangan akan ketiadaan tenaga kuasa yang lama semasa musim sejuk apabila suhu berlegar sekitar sifar.
Pegawai berkata ia adalah serangan besar ke-11 ke atas sistem tenaga sejak Mac.
Russia telah melupuskan kira-kira separuh daripada kapasiti penjanaan kuasa yang tersedia di Ukraine semasa perang, merosakkan sistem penyaluran dan memaksa pihak berkuasa untuk mengenakan pemotongan kuasa yang lama.
Tentera udara Ukraine berkata ia telah menembak jatuh 79 peluru berpandu dan menjatuhkan 35 dron, manakala 62 dron “hilang”, bermakna ia mungkin telah terganggu oleh sistem pertahanan elektronik.
Sumber dalam sektor tenaga berkata Ukraine telah memutuskan semua unit kuasa nuklear daripada grid sebelum serangan untuk melindungi mereka.
Ukraine mendapat lebih separuh daripada tenaga elektriknya dari loji nuklear.
Pengendali grid negara Ukraine, Ukrenergo, mengumumkan pemotongan kuasa yang meluas di seluruh negara kerana kerosakan akibat serangan, memberi amaran sekurang-kurangnya 12 jam tanpa elektrik untuk sesetengah pengguna.
Semua peluru berpandu atau dron yang disasarkan ke ibu kota Kyiv telah dipintas, kata pegawai.
Tentera udara berkata Russia menggunakan umpan terma dan radar untuk menipu pertahanan udara Ukraine, dan meletakkan peranti peperangan elektronik pada peluru berpandunya.
“Sistem Barat berfungsi dengan lebih berkesan dalam keadaan sedemikian, tetapi Ukraine tidak mempunyai cukup bahan untuk menampung ratusan kemudahan prasarana kritikal,” jelas pegawai itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg