MOSCOW: Kementerian Pertahanan Russia melaporkan pada 18 November bahawa unit pertahanannya telah memusnahkan 59 dron Ukraine dalam serangan udara semalaman. Dua dron yang menuju ke Moscow berjaya ditembak jatuh, sementara selebihnya menyasarkan wilayah Bryansk, Kursk, Belgorod, dan Tula.
Di Bryansk, wilayah yang bersempadan dengan Ukraine, sebanyak 45 dron dimusnahkan. Gabenor Bryansk, Encik Alexander Bogomaz, mengesahkan bahawa semua dron yang dilancarkan berjaya dipintas tanpa sebarang kerosakan besar.
Di Moscow, dua dron yang menuju ibu negara turut dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara, dengan Datuk Bandar Moscow, Encik Sergei Sobyanin, menyatakan bahawa tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan akibat serpihan dron tersebut.
Selain itu, Kementerian Pertahanan Russia melaporkan bahawa dron-dron lain yang menyasarkan wilayah Kursk, Belgorod, dan Tula juga berjaya dimusnahkan.
Walaupun laporan ini dikeluarkan oleh Russia, Reuters tidak dapat mengesahkan maklumat ini secara bebas. Ukraine pula masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Kyiv sebelum ini menyatakan bahawa serangan dron yang dilancarkan adalah tindak balas kepada serangan berterusan Russia ke atas wilayah Ukraine dan bertujuan melemahkan infrastruktur yang menyokong usaha perang Rusia.
Dalam perkembangan lain, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, telah meluluskan permintaan Ukraine untuk menggunakan peluru berpandu jarak jauh buatan Amerika dalam serangan ke atas sasaran strategik di Russia.
Keputusan ini mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan peningkatan konflik. Menurut sumber rasmi, Encik Biden sebelum ini melarang penggunaan peluru berpandu tersebut untuk menyerang Russia tetapi akhirnya bersetuju selepas perbincangan panjang.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, dilaporkan telah menyediakan senarai sasaran strategik di Rusia yang merangkumi pangkalan tentera, kemudahan logistik, dan lokasi pengeluaran utama.
Menurut sumber, senarai ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mempercepatkan kemenangan Ukraine dalam konflik tersebut. Langkah ini dianggap penting oleh Kyiv untuk mengekalkan momentum dalam usaha perang mereka.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, memberi amaran bahawa langkah ini menandakan penglibatan langsung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dalam konflik Ukraine. “Penglibatan ini boleh dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan Russia,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.
Cik Maria Butina, seorang ahli parlimen Rusia, turut mengecam keputusan pentadbiran Encik Biden. “Keputusan ini berisiko mencetuskan Perang Dunia Ketiga,” katanya kepada Reuters.
Cik Butina juga menyatakan harapan bahawa pentadbiran Presiden Amerika yang terpilih, Encik Donald Trump, dapat membatalkan keputusan tersebut apabila beliau memegang jawatan.
Russia turut menerima sokongan dari Korea Utara, dengan lebih 10,000 askar dilaporkan telah dikerahkan ke wilayah Kursk. Jabatan Negara Amerika menyatakan bahawa tentera Korea Utara kini terlibat dalam operasi tempur di wilayah tersebut.
Kehadiran mereka dilihat sebagai sumber tambahan untuk memperkuat pertahanan Russia, sambil membebaskan tentera Rusia untuk melaksanakan operasi ofensif di kawasan lain.
Menurut seorang komander Ukraine, kehadiran tentera Korea Utara memberikan kelebihan strategik kepada Rusia tetapi juga menunjukkan betapa konflik ini semakin menjadi kompleks. “Ini menambah dimensi baharu kepada perang yang sudah rumit,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg