Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Putin bincang ketika Biden lobi usah abai Ukraine

Nov 11, 2024 | 2:06 PM
Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Encik Donald Trump, menasihatkan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, supaya tidak meningkatkan perang di Ukraine.
Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Encik Donald Trump, menasihatkan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, supaya tidak meningkatkan perang di Ukraine. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden yang dipilih Encik Donald Trump telah bercakap dengan Presiden Russia Vladimir Putin dan menasihatkannya supaya tidak meningkatkan perang Ukraine, ketika Presiden Joe Biden merancang menggesa Encik Trump supaya tidak tinggalkan Kyiv.

Encik Trump, menggesa Encik Putin, supaya tidak meningkatkan peperangan di Ukraine, menerusi panggilan telefon, lapor akhabar, Washington Post, pada 10 November.

Menurut sumber, Encik Trump dan Encik Putin telah berbincang dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Encik Trump juga telah bercakap dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, pada 6 November.

Beliau telah mengkritik skala sokongan ketenteraan dan kewangan Amerika Syarikat kepada Kyiv, berikrar untuk segera menamatkan perang, tanpa memberitahu bagaimana beliau akan melakukannya.

Kementerian Luar Ukraine berkata ia tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai panggilan telefon antara Encik Trump dengan Encik Putin dan sekali gus tidak boleh menyokong atau membantahnya.

“Kami tidak mengulas mengenai panggilan peribadi antara Presiden Trump dengan pemimpin dunia yang lain,” kata Encik Steven Cheung, pengarah komunikasi Encik Trump, ketika ditanya mengenai panggilan telefon itu, yang pertama kali dilaporkan oleh The Washington Post.

Kedutaan Russia di Washington tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.

Encik Trump daripada parti Republikan akan memegang jawatan Presiden pada 20 Januari 2025 selepas mengalahkan Naib Presiden Cik Kamala Harris dalam pilihan raya presiden pada 5 November.

Encik Biden telah menjemput Encik Trump supaya datang ke Pejabat Oval pada 13 November, kata Rumah Putih.

Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Jake Sullivan, berkata pada 10 November bahawa mesej utama Encik Biden ialah komitmennya untuk memastikan peralihan kuasa secara aman, dan beliau juga akan bercakap dengan Encik Trump mengenai perkembangan yang berlaku di Eropah, Asia dan Timur Tengah.

“Presiden Biden akan mempunyai peluang dalam tempoh 70 hari akan datang untuk mengemukakan kes kepada Kongres dan kepada pentadbiran yang akan datang bahawa Amerika tidak seharusnya meninggalkan Ukraine.

“Ini kerana tindakan meninggalkan Ukraine bermakna lebih banyak ketidakstabilan di Eropah,” kata Encik Sullivan.

Komen Encik Sullivan dibuat ketika Ukraine menyerang Moscow pada 10 November dengan sekurang-kurangnya 34 dron, serangan dron terbesar di ibu negara Russia itu sejak permulaan perang.

Washington telah memberikan bantuan ketenteraan dan ekonomi bernilai puluhan bilion dolar kepada Ukraine sejak ia diceroboh oleh Russia pada Februari 2022 – pembiayaan yang Encik Trump telah berulang kali mengkritik dan menentangnya.

Encik Trump menegaskan pada 2023 Encik Putin tidak akan pernah menyerang Ukraine jika beliau berada di Rumah Putih pada masa itu.

Beliau menyatakan bahawa Ukraine mungkin perlu menyerahkan wilayahnya untuk mencapai perjanjian damai, sesuatu yang ditolak oleh Ukraine, dan Encik Biden tidak pernah mencadangkan.

Encik Zelensky berkata pada 7 November bahawa beliau tidak mengetahui sebarang butiran rancangan Encik Trump untuk menamatkan perang Ukraine dengan cepat dan beliau yakin penamatan yang pantas akan memerlukan konsesi besar untuk Kyiv.

Menurut Pejabat Akauntabiliti Pemerintah, Kongres memperuntukkan lebih AS$174 bilion ($230 bilion) kepada Ukraine di bawah Encik Biden.

Kadar bantuan itu hampir pasti akan berkurang di bawah Encik Trump dengan Republikan bersedia mengawal Senat dengan majoriti 52 kerusi. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg