MOSCOW: Penggubal undang-undang Russia pada Selasa mengundi untuk menaikkan had umur lebih tinggi bagi kerahan tentera, bertujuan menambah kumpulan rekrut terlatih yang layak menyertai pertempuran di Ukraine.
Langkah itu, jika diluluskan oleh Parlimen, akan dikuatkuasa bagi tahun perkhidmatan tentera yang diperlukan untuk semua lelaki Russia.
Mulai 2024, mereka yang berumur 18-30 tahun akan dikehendaki berkhidmat, berbanding 18-27 tahun sekarang.
Rang undang-undang itu juga melarang lelaki yang wajib berkhidmat daripada keluar negara – satu percubaan untuk mengurangkan bilangan mereka mengelak daripada melaksanakan perkhidmatan tentera.
Langkah itu mencerminkan keinginan Kremlin untuk menguatkan tentera tanpa menggunakan kaedah kerahan umum, dengan lelaki Russia yang pernah berkhidmat dalam tentera dan berpangkat tinggi boleh dikerah sehingga mereka berusia 70 tahun.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, secara berhati-hati cuba mengelakkan mobilisasi yang lebih besar untuk mengekalkan sokongan kempen perangnya ke atas Ukraine.
Perundangan itu, bersama beberapa langkah lain yang diluluskan oleh penggubal undang-undang Russia tahun ini, menjelaskan niat Kremlin untuk mengukuhkan tentera bagi apa yang digambarkan sebagai konflik yang wujud dengan Barat.
Walaupun lelaki Russia dikehendaki berkhidmat selama setahun dalam tentera, ramai yang mencari cara untuk mengelakkannya, termasuk atas alasan perubatan, pendidikan atau tugas di luar negara.
Pada September, dengan negara itu berperang, penunjuk perasaan memenuhi jalan-jalan di seluruh Russia selepas pengumuman “penggerakan separa” yang bertujuan menarik 300,000 orang untuk berkhidmat.
Russia telah menangkis percubaan Ukraine untuk menembusi garisannya, tetapi pertempuran di Ukraine berjalan perlahan dan berdarah.
Undian oleh Dewan Rendah Parlimen pada Selasa untuk memperluaskan kumpulan rekrut adalah petanda terbaru bahawa Encik Putin, yang menghadapi cabaran di medan perang, sedang bersiap untuk peperangan yang panjang.
Walaupun presiden Russia itu telah berjanji bahawa tentera yang berkhidmat selama setahun tidak akan dihantar ke Ukraine, mereka ditempatkan di sempadan dan mewakili rekrut terlatih yang boleh dipanggil untuk menandatangani kontrak dan dihantar ke medan pertempuran.
“Adalah jelas bahawa kesannya akan dilihat selepas musim sejuk akan datang,” kata Encik Dmitri Kuznets, yang menganalisis perang untuk Meduza, sebuah laman web berita bebas Russia. “Ini adalah persediaan untuk pengembangan tentera yang dirancang pada masa hadapan.”
Draf undang-undang itu masih memerlukan kelulusan Dewan Tinggi Parlimen. Majlis Persekutuan Russia serta Speaker Parlimen sudah menjanjikan sokongan. Ia kemudiannya akan ditandatangani Encik Putin.
Apabila pelan umur kerahan tenaga pertama kali diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Encik Sergei Shoigu, pada akhir 2022, bersama-sama dengan usaha untuk mengembangkan tentera Russia kepada 1.5 juta askar daripada sekitar 1.15 juta, ia bertujuan meningkatkan umur kerahan tenaga antara 21-30 tahun. Tetapi minggu lalu, penggubal undang-undang menjadikannya 18-30 tahun.
Encik Andrei Kartapolov, ahli parlimen Russia dan penyokong utama draf undang-undang itu, memberitahu agensi berita Russia, Interfax, bahawa perubahan itu dibuat kerana “keadaan demografi serius” di Russia yang menjejas “jumlah sumber mobilisasi” dalam negara.
Minggu lalu, Parlimen juga melanjutkan lima tahun umur maksimum dengan lelaki boleh menjadi sebahagian daripada mobilisasi am untuk tentera, meningkatkan umur pegawai tertinggi dalam simpanan kepada 70 tahun.
Perubahan terdahulu kepada perundangan Russia juga menyukarkan bakal rekrut mengelak mobilisasi am atau draf mandatori.
Kementerian Pertahanan Russia juga telah bergerak secara agresif untuk merekrut relawan baru untuk berperang di Ukraine.
Pada 4 Julai, Encik Dmitry Medvedev, mantan presiden Russia dan kini pegawai keselamatan berpangkat tinggi, berkata lebih 185,000 rekrut telah menyertai tentera Russia sejak awal 2023.
Encik Kuznets, penganalisis perang, berkata semuanya kelihatan sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih besar.
“Saya berpendapat bahawa peningkatan dalam draf kontinjen, percubaan untuk merekrut puluhan ribu askar kontrak dan persediaan untuk gelombang mobilisasi baru saling melengkapi,” katanya.
“Ini adalah percubaan untuk melaksanakan rancangan perang berlarutan, dengan anda perlu menambah sumber anda lebih cepat daripada yang dilakukan musuh.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg