SPH Logo mobile
Langgan|

Russia negara pertama iktiraf pemerintahan Taliban di Afghanistan

Russia negara pertama iktiraf pemerintahan Taliban di Afghanistan

Jul 4, 2025 | 3:31 PM

Russia negara pertama iktiraf pemerintahan Taliban di Afghanistan

Foto yang dirakam pada 3 Julai 2025 dan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Afghanistan menunjukkan Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi (kanan), bertemu dengan Duta Russia ke Afghanistan, Dmitry Zhirnov, di Kementerian Luar di Kabul. Kerajaan Afghanistan pada 3 Julai 2025 mengumumkan bahawa Russia telah menjadi negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf pemerintahan mereka, menyifatkannya sebagai satu “keputusan berani”. Pengumuman itu dibuat susulan pertemuan antara Menteri Luar Afghanistan dan Duta Russia di ibu negara Kabul
Foto yang dirakam pada 3 Julai 2025 dan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Afghanistan menunjukkan Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi (kanan), bertemu dengan Duta Russia ke Afghanistan, Dmitry Zhirnov, di Kementerian Luar di Kabul. Kerajaan Afghanistan pada 3 Julai 2025 mengumumkan bahawa Russia telah menjadi negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf pemerintahan mereka, menyifatkannya sebagai satu “keputusan berani”. Pengumuman itu dibuat susulan pertemuan antara Menteri Luar Afghanistan dan Duta Russia di ibu negara Kabul - Foto AFP

KABUL: Pemerintah Afghanistan pada 3 Julai mengumumkan bahawa Russia telah menjadi negara pertama secara rasmi mengiktiraf pemerintahan Taliban, menyifatkannya sebagai satu “keputusan berani”.

Taliban kembali berkuasa pada 2021 selepas menumbangkan pemerintah yang disokong kuasa asing dan sejak itu telah melaksanakan versi undang-undang Islam yang ketat.
Pemerintah baru itu telah lama mencari pengiktirafan rasmi serta pelaburan antarabangsa ketika negara itu cuba pulih daripada empat dekad peperangan, termasuk pencerobohan Soviet dari tahun 1979 hingga 1989.

Pengumuman itu dibuat selepas Menteri Luar Afghanistan, Encik Amir Khan Muttaqi ketika bertemu dengan Duta Russia ke Afghanistan, Encik Dmitry Zhirnov, di Kabul pada 3 Julai.
“Keputusan berani ini akan menjadi contoh kepada negara lain… Kini proses pengiktirafan telah bermula, Russia mendahului semua,” kata Encik Muttaqi dalam satu video mesyuarat yang disiarkan di platform X.

“Russia ialah negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf Imarah Islam,” kata jurucakap Kementerian Luar Taliban, Encik Zia Ahmad Takal, kepada AFP, merujuk kepada nama rasmi pemerintahan mereka.

Encik Muttaqi berkata ini merupakan “fasa baru dalam hubungan positif, saling menghormati dan penglibatan membina”, menurut hantaran kementerian di X.

Kementerian Luar Russia pula menyatakan di Telegram: “Kami percaya tindakan pengiktirafan rasmi terhadap Imarah Islam Afghanistan akan mempercepat pembangunan kerjasama dua hala yang produktif antara negara kita dalam pelbagai bidang.” Ia turut menekankan potensi kerjasama “komersial dan ekonomi” dalam “tenaga, pengangkutan, pertanian dan infrastruktur”.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa Moscow berharap dapat terus membantu Kabul “mengukuhkan keselamatan serantau dan memerangi ancaman keganasan serta pengedaran dadah”.

Moscow sebelum ini telah mengambil beberapa langkah untuk memulihkan hubungan dengan pihak berkuasa Taliban, termasuk mengeluarkan mereka dari senarai “organisasi pengganas” pada April dan menerima seorang duta Taliban di Kabul.

Pada Julai 2024, Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan Taliban sebagai “sekutu dalam memerangi keganasan”.

Rusia juga merupakan negara pertama membuka pejabat wakil perniagaan di Kabul selepas pengambilalihan oleh Taliban, dan telah mengumumkan rancangan untuk menggunakan Afghanistan sebagai hab transit gas ke Asia Tenggara.

Sebelum ini, hanya Arab Saudi, Pakistan dan Amiriah Arab Bersatu yang mengiktiraf pemerintahan Taliban ketika era pertama mereka dari 1996 hingga 2001.
Kali ini, beberapa negara lain termasuk China dan Pakistan telah menerima duta Taliban di ibu negara masing-masing, namun masih belum memberikan pengiktirafan rasmi terhadap Imarah Islam selepas berakhirnya perang selama dua dekad menentang tentera pimpinan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang diketuai Amerika.

Terdapat penglibatan terhad tetapi semakin meningkat dengan pihak berkuasa Taliban, khususnya dari negara-negara jiran serantau, termasuk kuasa besar seperti China dan Russia.

Bagaimanapun, sekatan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan termasuk larangan pendidikan serta penyingkiran mereka daripada kehidupan awam kekal menjadi halangan utama bagi negara-negara Barat.

Beberapa aktivis wanita Afghanistan dengan pantas mengecam pengiktirafan yang diberikan Rusia. Tindakan ini “mengiktiraf rejim yang mengharamkan pendidikan untuk perempuan, melaksanakan hukuman sebat di tempat awam dan memberi perlindungan kepada pengganas yang dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” kata Cik Mariam Solaimankhil, bekas ahli parlimen Afghanistan. “Tindakan ini menunjukkan bahawa kepentingan strategik akan sentiasa mengatasi hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.”

Beberapa pemimpin kanan Taliban masih dikenakan sekatan antarabangsa, termasuk oleh PBB. Seorang lagi bekas ahli parlimen di Kabul, Cik Fawzia Koofi, berkata sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Taliban “tidak akan membawa keamanan sebaliknya akan mengiktiraf kezaliman” dan “berisiko membahayakan bukan sahaja rakyat Afghanistan, malah keselamatan global.” – AFP

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg