Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Russia persoal kewujudan senjata nuklear di Israel selepas komen menteri

Nov 8, 2023 | 5:10 PM
GUGURKAN NUKLEAR: Jurucakap Kementerian Luar Russia, Cik Maria Zakharova, mempersoal sama ada Israel mempunyai kuasa nuklear seperti yang dikatakan oleh seorang menterinya.
GUGURKAN NUKLEAR: Jurucakap Kementerian Luar Russia, Cik Maria Zakharova, mempersoal sama ada Israel mempunyai kuasa nuklear seperti yang dikatakan oleh seorang menterinya. - Foto: REUTERS

MOSCOW: Russia pada Selasa (7 Okt) berkata kenyataan seorang Menteri Israel berhaluan kanan bahawa negara itu boleh melancarkan serangan nuklear ke atas Jaluran Gaza boleh menimbulkan “sebilangan besar persoalan” mengenai pendirian samar-samar Tel Aviv mengenai dakwaan memiliki senjata sedemikian, lapor agensi Anadolu.

“Soalan nombor satu ialah, adakah kita mendengar kenyataan rasmi bahawa Israel mempunyai senjata nuklear?”, tanya Jurucakap Kementerian Luar Russia, Cik Maria Zakharova, dalam wawancara langsung televisyen selepas komen Menteri Warisan Israel, Encik Amichai Eliyahu, kepada media tempatan pada Ahad.

“Di manakah organisasi antarabangsa? Di manakah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)? Di manakah pemeriksa (senjata nuklear) berada?” tanya Cik Zakharova lagi.

Encik Eliyahu, ahli parti sayap kanan Otzma Yehudit, telah memberitahu media Israel pada Ahad bahawa menggugurkan “bom nuklear” di Jaluran Gaza adalah “satu pilihan”.

Israel telah lama enggan mengakui secara terbuka sama ada ia memiliki senjata nuklear.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang telah menjauhkan diri daripada kenyataan itu dan, menurut laporan media, mengambil tindakan menggantung Encik Eliyahu daripada mesyuarat Kabinet sehingga diberitahu kelak.

Namun, Encik Netanyahu dipetik media sebagai mengecam Encik Eliyahu atas komennya, dengan mengatakan ia “tidak berdasarkan realiti”.

“Israel dan IDF beroperasi mengikut piawaian tertinggi undang-undang antarabangsa untuk mengelak mencederakan orang yang tidak bersalah. Kami akan terus berbuat demikian sehingga kemenangan kami,” kata beliau menerusi akaun X.

Kenyataan sedemikian memberikan gambaran tentang mengapa Israel telah menentang penciptaan zon bebas nuklear di Timur Tengah, menuduh Amerika Syarikat menyokong dan menyumbang kepada pemerolehan senjata nuklear Israel.

“Jika program ini wujud, di manakah ujian dijalankan, di tapak ujian mana? Jelas sekali, nampaknya tidak di rantau ini, kemudian di mana? Bukankah Amerika berada di sebalik semua ini?” kata Cik Zakharova.

Beliau juga menyentuh kenyataan yang dibuat oleh pegawai Israel mengenai Russia, dengan menyatakan ini “tidak boleh diterima,” sambil menambah duta Israel di Moscow telah dimaklumkan mengenai isu itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg