Russia tawar AS$1 bilion sertai Lembaga Keamanan, syarat aset beku di AS dilepaskan
Russia tawar AS$1 bilion sertai Lembaga Keamanan, syarat aset beku di AS dilepaskan
MOSCOW: Russia menyatakan kesediaannya menyumbang AS$1 bilion ($1.28 bilion) kepada Lembaga Keamanan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi usaha pembinaan semula Gaza, namun langkah itu bergantung kepada kesediaan Washington melepaskan aset Russia yang kini dibekukan di Amerika Syarikat.
Presiden Russia Encik Vladimir Putin berkata demikian pada 22 Januari ketika mengadakan pertemuan di Kremlin bersama Presiden Penguasa Palestin (PA) Encik Mahmoud Abbas.
Menurut Encik Putin, dana yang dibekukan semasa pentadbiran Presiden Joe Biden boleh dimanfaatkan bagi menyokong rakyat Palestin dan membina semula Jaluran Gaza.
“Saya fikir perkara ini sangat mungkin,” kata Encik Putin, merujuk kepada kemungkinan menyalurkan dana aset beku itu kepada inisiatif Amerika Syarikat.
Encik Putin berkata isu tersebut akan dibincangkan dalam pertemuan bersama utusan khas Trump, Encik Steve Witkoff, serta menantu presiden Amerika, Encik Jared Kushner, di Moscow pada hari yang sama.
Pada 21 Januari, Encik Putin mengesahkan bahawa Russia telah menerima jemputan peribadi daripada Encik Trump untuk menyertai Lembaga Keamanan.
Beliau berkata Kementerian Luar Russia telah diarahkan meneliti jemputan itu dan berunding dengan rakan strategik Moscow sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022, negara Barat membekukan aset kedaulatan Russia yang disimpan di wilayah mereka.
Dianggarkan sekitar AS$300 bilion aset Russia dibekukan, kebanyakannya di Eropah, manakala Perbendaharaan Amerika Syarikat memegang kira-kira AS$5 bilion.
Di bawah pelan damai 20 perkara Trump bagi menamatkan konflik Gaza, sebuah pentadbiran peralihan akan diwujudkan untuk mentadbir wilayah itu, dengan Lembaga Keamanan memainkan peranan utama dalam penyelarasan politik dan pembinaan semula.
Keahlian tetap dalam lembaga tersebut memerlukan sumbangan AS$1 bilion daripada setiap negara anggota.
Russia menyatakan kesediaannya membayar jumlah itu menggunakan aset yang dibekukan di Amerika Syarikat, sekali gus memerlukan tindakan khusus daripada Washington untuk membuka sekatan kewangan berkenaan.
Encik Putin menegaskan bahawa penyertaan Russia dalam lembaga itu bertujuan mempertahankan kepentingan Palestin.
“Sumbangan ini akan digunakan, pertama sekali, untuk menyokong rakyat Palestin dan menyalurkan dana kepada pembinaan semula Gaza serta menyelesaikan masalah Palestin secara keseluruhan,” lapor agensi berita negara Russia, TASS.
Jurucakap Kremlin, Encik Dmitri S. Peskov, bagaimanapun mengakui bahawa proses membuka semula aset beku itu berdepan kekangan undang-undang.
“Ini sememangnya memerlukan tindakan tertentu daripada pihak Amerika Syarikat,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau menambah tawaran Moscow mencerminkan pendirian Russia yang belum berputus asa untuk mendapatkan kembali asetnya.
“Kami akan terus berjuang dan mempertahankan hak kami,” katanya.
Encik Trump melancarkan Lembaga Keamanan secara rasmi pada 22 januari di Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland, dengan kehadiran wakil sekurang-kurangnya 18 negara termasuk Argentina, Hungary dan Maghribi.
Israel turut menyertai lembaga itu, namun menyuarakan bantahan terhadap penyertaan beberapa negara lain yang dianggap menyokong Hamas, termasuk Turkey, Qatar dan Pakistan.
Russia pula sebelum ini beberapa kali menjemput wakil Hamas ke Moscow, satu langkah yang sering dikritik oleh Israel dan sekutunya.
Dalam pertemuan dengan Encik Abbas, Encik Putin menegaskan bahawa hanya penubuhan sebuah negara Palestin yang berfungsi sepenuhnya mampu membawa penyelesaian berkekalan kepada konflik Asia Barat.
“Pendekatan Russia terhadap konflik ini adalah berprinsip dan tidak tertakluk kepada kepentingan politik jangka pendek,” katanya.
Encik Putin turut memaklumkan bahawa Russia telah menyalurkan bantuan kemanusiaan penting ke Gaza ketika kemuncak krisis, termasuk lebih 800 tan bantuan dan sekitar 32 operasi kemanusiaan.
Encik Abbas pula berkata wilayah Palestin telah mengalami kemusnahan besar akibat pendudukan Israel, melibatkan Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis.
“Jumlah yang terbunuh dan cedera di Gaza telah mencecah 260,000 orang, dengan ribuan lagi cedera di Tebing Barat,” katanya, sambil menambah bahawa sekitar 85 peratus infrastruktur Gaza telah musnah.
“Kami menentang sekeras-kerasnya cubaan Amerika dan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah warisan mereka. Rakyat Palestin bertekad untuk terus kekal di tanah mereka, walau apa jua harga yang perlu dibayar,” kata Encik Abbas. – Agensi berita.

