Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Russia tidak akan perbaharui perjanjian bijirin: Putin

Sep 5, 2023 | 12:35 PM
PULIHKAN PERJANJIAN: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (kanan) bersalaman dengan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan,
dalam satu pertemuan yang turut membincangkan isu perjanjian bagi membolehkan  bijirin Ukraine dihantar dengan selamat merentasi Laut Hitam.
PULIHKAN PERJANJIAN: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (kanan) bersalaman dengan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, dalam satu pertemuan yang turut membincangkan isu perjanjian bagi membolehkan bijirin Ukraine dihantar dengan selamat merentasi Laut Hitam. - Foto AFP

SOCHI (Russia): Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, telah mengulangi pendiriannya untuk mengembalikan semula perjanjian yang membolehkan bijirin Ukraine dihantar dengan selamat merentasi Laut Hitam jika Barat memenuhi permintaan Moscow terhadap eksport pertaniannya.

Beliau menyatakan demikian pada Isnin selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, di Sochi, bandar Russia di Laut Hitam, dengan harapan dapat memulihkan semula perjanjian yang dilihat penting untuk bekalan makanan sejagat, terutama di Afrika, Timur Tengah dan Asia.

Russia enggan melanjutkan perjanjian yang diuruskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu pada Julai dengan alasan perjanjian selari untuk menghapuskan halangan kepada eksport makanan dan baja Russia telah tidak dipenuhi.

Ia berkata sekatan ke atas perkapalan dan insurans menghalang perdagangan pertaniannya, walaupun ia telah menghantar jumlah rekod gandum sejak tahun lalu.

Encik Putin mengulangi dakwaan tersebut dan berkata bahawa koridor Laut Hitam tidak boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Beliau memberitahu pemberita bahawa jika komitmen itu dipenuhi, Russia sedia memulihkan perjanjian itu “dalam beberapa hari”.

Encik Erdogan juga menyatakan harapan bahawa kejayaan dapat dicapai tidak lama lagi.

Beliau berkata Turkey dan PBB – yang kedua-duanya menjadi perantara perjanjian asal – telah mengumpulkan pakej cadangan baru untuk menghuraikan isu itu.

“Kami percaya bahawa inisiatif itu harus diteruskan dengan memperbaiki kelemahan,” kata Encik Erdogran yang telah memainkan peranan sebagai orang tengah antara Ukraine dengan Russia.

Ia adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak pemilihan semula Encik Erdogan buat penggal ketiga sebagai presiden pada Mei.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) telah menolak dakwaan Moscow itu sebagai tanpa merit dengan menegaskan langkah sekatan itu tidak menyasarkan bijirin dan baja Russia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg