Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Safari World Thailand terpalit kontroversi, singa ‘Trump’ menyerang penjaga zoo

Sep 12, 2025 | 3:29 PM
Paparan skrin daripada sebuah video yang tular di media sosial merakam detik ngeri apabila seorang penjaga zoo diserang hingga maut oleh sekumpulan singa di sebuah zoo di Thailand pada 10 September. Insiden tragis itu berlaku di kawasan pameran khas singa, ketika mangsa dilaporkan keluar dari kenderaan perlindungan sebelum diterkam dari belakang oleh seekor singa jantan, diikuti beberapa ekor lain.
Paparan skrin daripada sebuah video yang tular di media sosial merakam detik ngeri apabila seorang penjaga zoo diserang hingga maut oleh sekumpulan singa di sebuah zoo di Thailand pada 10 September. Insiden tragis itu berlaku di kawasan pameran khas singa, ketika mangsa dilaporkan keluar dari kenderaan perlindungan sebelum diterkam dari belakang oleh seekor singa jantan, diikuti beberapa ekor lain. - FOTO Facebook The Nation Thailand

BANGKOK: Sebuah zoo terkemuka di Thailand menutup operasi zon pemangsa selepas insiden seekor singa membunuh seorang penjaga, mencetuskan semula perbincangan serius mengenai piawaian keselamatan dan pengurusan kebajikan haiwan di fasiliti itu.

Kejadian pada 10 September itu berlaku di Safari World, sebuah zoo terbuka yang menggelar dirinya antara terbesar di Asia. Penjaga berusia 58 tahun, Encik Jian Rangkarassamee, yang telah lama berkhidmat di situ, maut selepas sekumpulan singa menyerangnya ketika beliau keluar dari kenderaan perlindungan di kawasan khas pameran singa.

Bedah siasat mendapati Encik Jian mengalami luka koyakan dalam di beberapa bahagian tubuh, patah leher, saluran pernafasan terkoyak dan pendarahan besar akibat urat utama yang putus.

“Lehernya patah menyebabkan beliau tidak dapat bergerak, saluran pernafasan terkoyak membuatkannya tidak mampu menjerit minta tolong, dan luka parah di paha memutuskan salur darah utama yang akhirnya membawa kepada kehilangan darah besar,” kata Mejar Jeneral Polis Wiroon Supasingsiripreecha, Ketua Institut Perubatan Forensik Polis Diraja Thailand, pada sidang media.

Beliau menolak spekulasi di media sosial bahawa organ mangsa dimakan singa. “Semua organ masih utuh. Namun terdapat banyak luka parah pada tekak, dada dan paha kiri,” katanya. Mayat mangsa kini telah diserahkan kepada keluarga untuk upacara keagamaan.

Lima ekor singa yang terlibat dalam serangan itu, termasuk seekor jantan berusia 10 tahun bernama ‘Trump’, kini dikurung dalam sangkar khas untuk pemantauan rapi. Zon pameran besar kucing ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan pagar dan penambahbaikan keselamatan.

“Zoo perlu memenuhi piawaian keselamatan bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang,” kata Pengarah Pemuliharaan Hidupan Liar Jabatan Taman Negara (DNP), Encik Chalerm Poommai, kepada AFP pada 12 September.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat pagar rosak, papan tanda amaran yang tidak mencukupi dan kekurangan kamera litar tertutup (CCTV). Beliau menambah, permit operasi zoo itu telah tamat sejak Oktober tahun lalu dan masih menunggu pembaharuan.

Safari World sejak lama menjadi sasaran kritikan kumpulan pemuliharaan kerana pertunjukan haiwan yang dipanggil “hiburan”, termasuk orang utan beraksi tinju dan gajah menari gelung.
“Insiden ini harus membuka mata. Sudah tiba masanya kerajaan mengharamkan pemilikan peribadi haiwan berbahaya seperti singa,” kata Encik Edwin Wiek, pengasas Yayasan Sahabat Hidupan Liar Thailand (WFFT).

Katanya lagi, “Jika kejadian ini boleh berlaku di zoo dengan garis panduan keselamatan, bayangkan apa yang boleh terjadi di halaman rumah seseorang.”

Kumpulan hak asasi haiwan seperti WFFT dan Pertubuhan Orang Ramai untuk Layanan Beretika terhadap Haiwan (PETA) turut menggesa kawalan lebih ketat terhadap pemilikan singa di Thailand.

Pemilikan singa adalah sah di negara itu. Jumlahnya meningkat pesat dengan hampir 500 ekor kini didaftarkan di zoo, ladang pembiakan, kafe interaktif dan rumah persendirian.

Pengarah Perlindungan Hidupan Liar DNP, Encik Sadudee Punpugdee, berkata semua penjaga zoo kini dinasihatkan membawa peralatan pertahanan seperti belantan elektrik atau hos tekanan tinggi serta bekerja dalam pasangan mengikut sistem “buddy”.

“Pemeriksaan akan dilakukan di semua zoo dan pemilik singa persendirian di seluruh negara untuk memastikan piawaian dipatuhi,” katanya.

Seorang saksi menceritakan bahawa Encik Jian keluar dari kenderaan perlindungan dan sempat membelakangi sekumpulan singa sebelum seekor daripadanya menerkam dari belakang. Encik Jian diseret ke tanah lalu empat ekor singa lain menyertai serangan itu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg