Subuh
5:57
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:31
Maghrib
7:20
Isyak
8:29
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

PILIHAN RAYA NEGERI MALAYSIA

Saingan dijangka sengit di Kedah, Negeri Sembilan, namun penguasaan negeri tidak banyak berubah

Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri di Malaysia yang dijadual pada 12 Ogos diramal menyaksikan saingan sengit di Kedah dan Negeri Sembilan.

Namun, penganalisis menyatakan tidak akan berlaku banyak perubahan dari segi penguasaan parti politik ke atas enam negeri itu.

Ini bermakna Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diramal kekal dalam penguasaan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional, sementara Kelantan, Terengganu dan Kedah kekal dalam penguasaan Perikatan Nasional (PN).

Berkaitan kesan PRN itu ke atas Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, penganalisis mempunyai pendapat berbelah bahagi. Ada menyatakan ia tidak memberi kesan kepada kerajaan pusat, dan ada menyatakan ia boleh “menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar” sekiranya PN menang lebih daripada tiga negeri.

Memberitahu Berita Minggu (BM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia menjangka parti politik Malaysia akan terus menguasai negeri-negeri yang sama.


PN, katanya, akan kekal berkuasa di Kelantan, Terengganu dan Kedah sementara PH kekal berkuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Namun majoriti dan kerusi dikuasai PH-BN diramal berkurangan berbanding semasa bertanding sebagai PH sahaja dahulu.

“Gelombang keraguan masyarakat Melayu kepada Kerajaan Perpaduan masih terlalu kuat. Ini bukan sahaja berkaitan ‘gelombang agama’ (green wave), tetapi sentimen lebih umum berkaitan kegagalan kerajaan menangani isu kos kehidupan selepas tujuh bulan serta bantahan masyarakat Melayu kepada Umno yang dilihat terlibat dengan rasuah.

“Melihat trend pengundian Melayu selama ini pun, apabila berlaku ketidakpuasan hati terhadap Umno, PAS yang akan meraih keuntungan secara ‘automatik’,” katanya.

Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berpendapat sekiranya berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu, Kelantan, Kedah dan Terengganu dilihat sebagai kubu kuat PN.

“Tetapi ini kerana ada pertandingan empat penjuru. Sentimen pengundi Melayu di negeri tersebut harus dilihat sama ada penyokong Umno akan beralih ke Bersatu/PAS. Jika ini berlaku, ini hanya akan mengukuhkan kedudukan PN di tiga negeri itu.

“Pulau Pinang pula adalah kubu kuat Parti Tindakan Demokratik (DAP), cuma bezanya adalah bagaimana rakyat negeri itu menilai kerjasama DAP dan Umno di peringkat federal. Selangor dan Negeri Sembilan pula agak sukar diramal, kerana setiap gabungan parti ada kekuatan masing-masing,” ujarnya.

Beliau menambah, sentimen rakyat Malaysia dilihat masih terbahagi antara Kerajaan Perpaduan (gabungan bekas parti berseteru) dengan pembangkang PN. 

“Justeru untuk menilai sentimen rakyat ini agak sukar kerana hal ini belum pernah berlaku. Apakah rakyat mengundi berdasarkan prestasi Kerajaan Perpaduan yang belum mencapai setahun, atau apakah dinamika setempat lebih penting,” katanya.

Dr Oh Ei Sun, Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, pula memberi ramalan agak drastik.

“Saya berpendapat ada peluang di Negeri Sembilan bagi PN membentuk kerajaan negeri dan menjangka persaingan sengit di kubu kuat PH, Selangor.

“Ini berdasarkan pemerhatian lama berkaitan politik Malaysia, kebangkitan politik Islam di negara itu serta perkembangan sejagat khususnya kebangkitan Islam bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Turkey dan Indonesia,” ujarnya.

Mengenai kesan kepada Kerajaan Perpaduan, Dr Oh berpendapat bahawa jika ramalan beliau menjadi kenyataan, ada risiko kerajaan Datuk Anwar boleh tumbang.

“Ahli Parlimen (AP) individu yang kini menyokong Anwar akan berfikir dua kali memandangkan keputusan PRN. Mereka akan kekal dengan parti mereka sekarang supaya tidak mencetuskan undang-undang antilompat parti, tetapi boleh mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemimpin PN untuk menjadi perdana menteri.

“Jika cukup bilangan mereka berbuat demikian, Anwar akan kehilangan majoriti (Parlimen),” jelasnya.

Dr Norshahril berkata selalunya pilihan raya negeri tidak menunjukkan sentimen terhadap kerajaan pusat. Namun, beliau “yakin ada pihak yang akan menggunakan sebarang peluang yang ada untuk mengukur kepercayaan terhadap kerajaan pusat”.

Profesor Ahmad Fauzi pula berkata jika semua komponen Kerajaan Perpaduan beri keyakinan mereka kepada kepimpinan Datuk Anwar sebagai perdana menteri ke-10, kerajaan itu akan kekal.

“Yang dikhuatiri ialah jika berlakunya desakan kuat umpamanya daripada akar umbi Umno untuk memikirkan semula kedudukan mereka dalam Kerajaan Perpaduan, memandangkan akan ada elemen parti yang akan menyalahkan persekongkolan dengan DAP sebagai punca sokongan di PRN berkurangan.

“Secara teorinya, kerajaan Datuk Anwar boleh terus kekal jika disokong parti komponen Sabah dan Sarawak, namun penarikan diri Umno boleh mencetuskan ketidakstabilan.

“Ini kerana ia boleh mengakibatkan keadaan teka-teki sama ada parti Sabah-Sarawak akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan atau tunduk kepada tawaran lebih menarik daripada PN yang sebelum ini beria-ia menawarkan jawatan perdana menteri kepada parti-parti Sabah-Sarawak jika mereka setuju bersama PN,” tambah beliau.

Pastinya, PRN kali ini kekal menarik perhatian ramai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >