Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saintis: Kematian 1,300 anggota jemaah haji ekoran perubahan iklim

Jun 28, 2024 | 3:38 PM
Pakistan juga turut mengalami cuaca panas terik melampau terutama di ibu kota komersial, Karachi.
Pakistan juga turut mengalami cuaca panas terik melampau terutama di ibu kota komersial, Karachi. - Foto AFP

LONDON/KARACHI: Gelombang panas di Arab Saudi yang dikatakan menyebabkan kematian 1,300 anggota jemaah semasa musim haji pada Jun, diburukkan lagi oleh perubahan iklim, kata sepasukan saintis Eropah pada 28 Jun.

Suhu cuaca untuk tiga hari – dari 16 hingga 18 Jun – mencecah 47 darjah Celsius dan ada masanya melebihi 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram.

Suhu panas itu mungkin kurang kira-kira 2.5 darjah Celsius kalau tidak ada pengaruh perubahan iklim yang dicetuskan oleh manusia, menurut analisis atribusi cuaca oleh ClimaMeter.

ClimaMeter membuat penilaian segera tentang peranan perubahan iklim dalam peristiwa cuaca tertentu.

Para saintis menggunakan pemerhatian satelit dari empat dekad yang lalu, untuk membandingkan corak cuaca dari 1979 hingga 2001 dan 2001 hingga 2023.

Walaupun suhu pada paras berbahaya telah lama direkodkan di kawasan padang pasir, mereka berkata berlakunya perubahan iklim secara semula jadi tidak menjelaskan tahap gelombang haba pada Jun, dan perubahan iklim telah menjadikannya lebih sengit.

Penilaian juga mendapati peristiwa masa lalu yang serupa di Arab Saudi berlaku pada Mei dan Julai, tetapi kini bulan Jun mengalami gelombang haba yang lebih teruk.

“Panas maut semasa musim haji tahun ini dikaitkan secara langsung dengan pembakaran bahan api fosil dan telah menjejaskan jemaah yang paling terdedah,” kata Encik Davide Faranda, seorang saintis di Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis, yang bertugas di ClimaMeter.

Pihak berkuasa perubatan secara amnya tidak mengaitkan kematian disebabkan oleh haba, tetapi lebih kepada penyakit koronari atau jantung yang berkaitan dengan haba yang diburukkan lagi oleh suhu tinggi.

Namun, pakar berkata kemungkinan haba melampau memainkan peranan dalam kebanyakan 1,300 kematian anggota jemaah haji.

Sementara itu dalam satu perkembangan berasingan, Karachi menyaksikan lonjakan luar biasa dalam jumlah kematian, kata agensi bantuan, dengan keadaan cuaca panas terik berterusan ibu kota komersial Pakistan itu.

Agensi penyelamat Yayasan Edhi melaporkan menerima 568 mayat di bandar itu dalam tempoh lima hari hingga 25 Jun, meningkat daripada purata kira-kira 40 setiap hari.

Pemerintah tempatan berkata mangsa yang terkorban bukan disebabkan panas dan hanya 13 orang maut akibat isu berkaitan cuaca di Karachi pada Jun.

Negara itu, yang menyaksikan suhu hampir capai rekod pada Mei, tidak bersendirian dipukul oleh keadaan cuaca yang melampau, diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Bumi mencatatkan kepanasan yang memecahkan rekod bulan ke-11 berturut-turut pada April, dengan keadaan lebih panas berlaku di beberapa negara Asia, termasuk India dan terdapat kebimbangan mengenai musim panas yang terik di Eropah juga. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg