Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi: Lebih 1,300 anggota jemaah haji meninggal, kebanyakan tiada visa rasmi

Jun 24, 2024 | 2:06 PM
Mina
Pasukan penyelamat mengusung seorang anggota jemaah lelaki yang terjejas oleh cuaca panas melampau ketika melontar di Mina pada 16 Jun. - Foto AFP

RIYADH: Arab Saudi berkata lebih 1,300 orang meninggal dunia pada musim haji 2024 ini – dengan “banyak kes” akibat tekanan haba serta perjalanan yang “tidak dibenarkan”.

Ia telah menyebabkan empat daripada setiap lima kematian.

“Sistem kesihatan menangani banyak kes tekanan haba tahun ini (2024) dengan beberapa individu masih dalam rawatan.

“Malangnya, jumlah kematian mencecah 1,301,” kata kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan ketika mengeluarkan angka rasmi pertamanya pada 23 Jun.

Kenyataan itu berkata 83 peratus daripada mereka yang meninggal dunia “tidak dibenarkan menunaikan haji” dan “berjalan jauh di bawah terik matahari, tanpa tempat tinggal atau keselesaan yang mencukupi”.

Terdapat “beberapa orang tua dan pesakit kronik” dalam kalangan si mati, katanya, sambil menambah bahawa anggota keluarga semua yang maut telah dimaklumkan.

Cuaca panas ekstrem dikatakan sebagai faktor utama di sebalik ratusan kematian dan masalah kesihatan yang dilaporkan pada 2024 semasa menunaikan haji.

Makkah, kota suci yang menjadi pusat bagi jemaah haji, menyaksikan suhu meningkat kepada 51 darjah Celsius pada 17 Jun.

Pelbagai pihak berkuasa berkata masalah itu ditambah lagi dengan bilangan anggota jemaah tidak rasmi.

Arab Saudi menghendaki setiap anggota jemaah haji memperoleh satu daripada 1.8 juta permit yang tersedia untuk memasuki Makkah secara sah.

Permit itu boleh menelan belanja beberapa ribu dolar Amerika Syarikat.

Jemaah haji yang tidak berlesen biasanya tidak melakukan perjalanan dalam bas pelancongan yang teratur dengan penghawa dingin atau akses mudah kepada bekalan air dan makanan.

Kerajaan Arab Saudi juga mengatakan peningkatan perjalanan tanpa izin telah menjadi faktor kelengahan dalam memberikan angka kematian rasmi kerana ini telah merumitkan proses mengenal pasti mayat.

“Proses mengenal pasti mayat selesai walaupun pada awalnya kekurangan maklumat peribadi atau dokumen pengenalan.

“Proses yang betul dilaksanakan untuk pengecaman, pengebumian dan penghormatan ke atas si mati, dengan sijil kematian disediakan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, beberapa anggota haji telah merungut tentang keadaan prasarana dan penganjuran haji 2024 yang disifatkan lemah.

Malah, jemaah haji dalam lawatan rasmi menghabiskan sebahagian besar hari mereka berjalan di luar dalam cuaca panas terik.

Beberapa saksi memberitahu stesen penyiaran CNN bagaimana mereka melihat anggota jemaah tidak sedarkan diri, dan berjalan melepasi mayat yang ditutupi kain putih.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Fahd Al-Jalajel, memberi gambaran pengurusan haji 2024 sebagai ‘berjaya’, seperti dilaporkan agensi berita, Saudi Press Agency (SPA), yang memetik temu bual beliau bersama saluran bersekutu negara, Al-Ekhbariya.

Menurutnya, sistem kesihatan “menyediakan lebih 465,000 perkhidmatan rawatan khusus, termasuk 141,000 perkhidmatan kepada anggota jemaah yang tidak memperoleh kebenaran rasmi untuk menunaikan haji”.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah kematian yang berpunca akibat cuaca panas.

“Sistem kesihatan menangani banyak kes tekanan haba tahun ini (2024), dengan beberapa individu masih dalam rawatan.

“Beberapa anggota jemaah yang maut terdiri daripada warga emas dan penghidap penyakit kronik,” katanya.

Pegawai Arab Saudi berkata, seramai 1.8 juta individu menunaikan haji pada 2024, dengan 1.6 juta daripadanya bukan warga tempatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg