Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Salam lintas agama untuk kerukunan masyarakat jadi polemik di Indonesia

NOTA DARI JAKARTA
Jun 24, 2024 | 5:30 AM
Tokoh Lintas Agama mengunjungi Masjid Agung Jawa Tengah untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri pada 10 April 2024 menjadi simbol harmoni dan kerukunan antara agama di Indonesia. 
Tokoh Lintas Agama mengunjungi Masjid Agung Jawa Tengah untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri pada 10 April 2024 menjadi simbol harmoni dan kerukunan antara agama di Indonesia.  - Foto RADIO REPUBLIK INDONESIA

Nota dari Jakarta

oleh Ismira Lutfia Tisnadibrata 

Badan tertinggi agamawan Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI) mencetuskan kontroversi baru-baru ini selepas mengeluarkan fatwa yang melarang umat Islam mengucapkan salam terhadap agama lain, satu amalan yang telah menjadi kebiasaan terutamanya dalam kalangan pegawai awam.

Badan Pembinaan Ideologi Pancasila (BPIP) yang bertugas mempromosikan ideologi negara, Pancasila, dalam dasar-dasar pemerintahan mengatakan fatwa sedemikian boleh menggugat perpaduan negara.

MUI mengeluarkan fatwa pada akhir Mei selepas mesyuarat di Bangka Belitung yang menyatakan haram bagi umat Islam mengucapkan salam kepada penganut agama lain.

“Menyampaikan salam yang mengandungi doa khusus daripada agama lain oleh umat Islam adalah dianggap haram,” kata Pengerusi Jabatan Fatwa MUI, Encik Asrorun Niam Sholeh, dalam satu kenyataan di Jakarta pada 3 Jun.

Menurut Encik Niam, salam dalam Islam dianggap sebagai ibadah dan menyampaikan salam yang mengandungi pelbagai salam agama tidak semestinya menunjukkan toleransi beragama dan tidak wajar sebagai kesederhanaan agama.

Fatwa itu kemudian bertukar menjadi polemik dan perdebatan di tengah-tengah masyarakat.

Meskipun sebenarnya, fatwa itu sudah menjadi perdebatan pada 2019 apabila MUI mengharamkannya sementara Nahdlatul Ulama (NU) menyatakan bahwa itu tidak haram.

Salam lintas agama memiliki makna yang baik dalam konteks kepelbagai agama di Indonesia.

Menyampaikan salam pelbagai agama sudah menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama oleh pegawai pemerintah dan tokoh masyarakat.

Salam lintas agama yang diamalkan di masyarakat, khususnya semasa acara rasmi dan penting sebenarnya dimaksudkan sebagai salam penghormatan kepada peserta daripada pemeluk agama, sekali gus sebagai simbol kerukunan dan toleransi beragama

Ia lazimnya diucapkan dalam majlis awam dengan ucapan salam daripada enam agama yang diiktiraf secara rasmi di Indonesia iaitu Islam, Protestan, Katolik, Hindu, Buddha dan Confucius dengan ucapan “Assalamualaikum, shalom, salam sejahtera, om swastiastu, namo buddhaya dan salam kebajikan”. 

Lebih 80 peratus rakyat Indonesia beragama Islam dengan fahaman yang berbeza-beza dan secara umumnya umat Islam Indonesia mengamalkan kesederhanaan.

Memberikan respons terhadap fatwa MUI, BPIP mengatakan bahawa fatwa adalah pemikiran agama yang mempunyai pelbagai tafsiran, bukan merupakan kebenaran mutlak, dan hanya mengikat umat Islam dalam acara keagamaan Islam itu sendiri.

Oleh itu katanya ia tidak boleh terpakai kepada pihak luar atau forum awam kerana ia boleh melemahkan perpaduan negara dan bagi menghormati kepelbagaian nasional.

“Fatwa yang melarang salam berbilang agama dan menyampaikan ucap selamat kepada agama yang lain hanya mengancam kewujudan Pancasila dan perpaduan negara yang telah lama tertanam sebagai kearifan tempatan,” kata Ahli Lembaga Penasihat BPIP, Profesor Amin Abdullah kepada Berita Harian.

Encik Alamsyah Dja’far, penyelidik dari Yayasan Wahid, sebuah kumpulan advokasi keharmonian antara agama memberitahu Berita Harian bahawa walaupun mengeluarkan fatwa adalah hak prerogatif MUI, namun dalam beberapa kes ia berpotensi menimbulkan permusuhan terhadap kumpulan agama lain.

“Ucapan berbilang agama itu bertujuan untuk mengiktiraf semua agama,” kata Encik Alamsyah kepada Berita Harian.

Tetapi Encik Niam menawarkan penyelesaian yang boleh diterima oleh semua, iaitu dengan menyampaikan ucapan umum dan ringkas seperti ‘selamat pagi’ dan bukannya mencampurkan ucapan silang agama sama sekali.

Pengerusi Nahdlatul Ulama (NU) Encik Yahya Cholil Staquf atau lebih dikenali sebagai Gus Yahya menolak dakwaan bahawa salam Islam ‘assalamualaikum’ adalah ibadah.

“Jika ia didakwa sebagai ibadah, maka salam yang lain juga merupakan ibadah. Namun, tidak ada perkara itu,” kata Gus Yahya pada 11 Jun.

Tambahnya, penggunaan sapaan dalam ucapan atau mesyuarat tidak selalu membayangkan ibadah tetapi boleh menjadi tanda keharmonian dalam kalangan penganut agama berbeza.

Salam lintas agama justeru mencerminkan kepelbagaian agama dan toleransi antara umat beragama di Indonesia.

Ini menjadi salah satu corak harmoni masyarakat Indonesia yang boleh menjadi inspirasi bagi negara lain yang berkonflik yang sulit menemukan titik kebersamaan.

Menurut data Kementerian Agama, Indeks Keharmonian Antara Agama dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini telah meningkat, daripada skor 72.39 pada 2021, naik kepada 73.09 pada 2022; bertambah lagi pada 76.02 pada 2023.

Indeks tersebut mencerminkan toleransi dengan skor 74.47, kesamarataan dengan skor 77.61, dan kerjasama dengan skor 76.00.

Seperti yang dinyatakan oleh Encik M. Sidik Sisdiyanto, Pengarah Kurikulum, Sarana, Kelembagaan dan Kesiswaan Madrasah, Kementerian Agama Indonesia:

Salam lintas agama adalah praktik baik dalam upaya menjaga kerukunan umat beragama. Bahawa masyarakat Indonesia itu majmuk, terdiri daripada beragam agama.

“Maka dari itu, salam lintas agama baik untuk menjaga kerukunan umat, bukan upaya mencampuradukkan ajaran agama.

“Dalam praktiknya, salam lintas agama menjadi sarana menebar damai yang merupakan ajaran daripada setiap agama.

“Ini sekali gus menjadi wahana bertegur sapa dan menjalin keakraban. Bukan untuk menggoyahkan keimanan seseorang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg