DAMSYIK: Syria meraikan Krismas pertama selepas lima dekad pemerintahan rejim Bashar al-Assad, menandakan era baru untuk negara itu.
Namun, kegembiraan Krismas diwarnai dengan protes oleh ratusan penunjuk perasaan di kawasan penduduk Kristian di Damsyik pada awal pagi 24 Disember.
Mereka membantah kejadian pembakaran pokok Krismas berhampiran Hama, di tengah Syria.
Penduduk Damsyik memberitahu bahawa kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), yang kini menguasai bandar itu, tidak mengenakan sekatan terhadap perayaan Krismas pada 2024.
Malah pemimpin de facto baru Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, memberi jaminan bahawa kumpulannya akan melindungi minoriti dan semua golongan beragama di Syria.
Sementara itu, di Jaluran Gaza, penganut Kristian menyambut Krismas pada tahun kedua berturut-turut dalam suasana perang.
Di Gereja Holy Family, puluhan penganut Kristian berkumpul untuk misa yang dipimpin oleh Kardinal Pierbattista Pizzaballa, di samping sebuah pokok Krismas dengan perhiasan emas yang bersinar indah.
“Saya mahu anda tahu bahawa seluruh dunia, bukan hanya dunia Kristian, malah semua orang bersama anda.
“Perang ini akan berakhir dan kita akan membina semula,” kata Kardinal Pizzaballa, menyeru rakyat Gaza agar tidak berputus asa.
Di Bethlehem di Tebing Barat pula, sambutan Krismas pada 2024 agak suram. Tiada pokok Krismas raksasa di Dataran Manger.
“Tahun lalu (2023), kami masih punya harapan sebelum Krismas. Namun, kini sekali lagi kami mendekati Krismas tanpa apa-apa,” kata penganut Kristian, Encik Rony Tabash.
Mereka memutuskan untuk tidak mendirikan pokok Krismas yang besar di tengah bandar Bethlehem kerana lokasi pembunuhan beramai-ramai oleh Israel hanya 50 kilometer jauhnya dari situ.
Gereja Bethlehem turut meletakkan patung-patung di tengah runtuhan dan kawat berduri sebagai tanda perpaduan dengan penduduk Gaza.
Penganut Kristian membentuk sekitar 2 peratus daripada penduduk di seluruh Israel dan wilayah Palestin yang diduduki.
Berbeza dengan kawasan Palestin, di Beirut, Lebanon, masyarakat Kristian meraikan Krismas dengan penuh bersemangat.
Selepas gencatan senjata antara Hezbollah dengan Israel, hiasan Krismas mula menghiasi kawasan Kristian di bandar itu.
Pasar raya dibuka dan penerbangan ke Beirut penuh ditempah.
“Abang saya pulang dari New York hanya untuk menyambut Krismas bersama ibu kami,” kata Encik Tony Batte, seorang penduduk Katolik Armenia di Beirut.
Namun, suasana agak suram di Jerman susulan serangan maut melibatkan kenderaan di sebuah pasar Krismas di Magdeburg pada 20 Disember.
Presiden Jerman, Encik Frank-Walter Steinmeier, dalam ucapan tradisional Krismasnya, menyebut serangan itu sebagai “bayangan gelap” terhadap perayaan 2024.
“Kebencian dan pengganasan tidak boleh menjadi kata akhir. Jangan biarkan kita berpecah. Mari kita bersatu,” kata Encik Steinmeier, menyeru perpaduan negara di tengah perdebatan mengenai keselamatan dan imigresen.
Seorang ibu kepada dua anak, Cik Olesia Manolova, pula menyambut Krismas ketiganya di Omagh, di utara Ireland jauh dari tanah airnya di Ukraine.
Beliau terpaksa meninggalkan negaranya sebagai pelarian selepas pencerobohan Russia pada awal 2022.
Cik Manolova, seorang pengurus pemasaran yang bekerja sendiri, berkata bahawa musim Krismas menjadikan situasi lebih sukar bagi keluarganya.
“Ketika saya tiba di sini, saya fikir ia hanya akan mengambil masa sebulan dua sebelum saya boleh pulang, tetapi kini saya faham ia akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg