Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Sanusi didakwa di mahkamah atas kes hina Sultan Selangor

Jul 18, 2023 | 03:23 PM



Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, pada Selasa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Namun, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, yang tiba di mahkamah tepat 9 pagi, tidak mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Mengikut tuduhan pertama yang dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin, Datuk Sanusi didakwa mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik pada minggu lalu.

Bagi tuduhan kedua di Mahkamah Sesyen berasingan, beliau berdepan tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada minggu lalu juga.

Tuduhan kedua dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, sekitar 11 malam pada 11 Julai lalu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 ($1,456) atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding pada Selasa, pendakwaan diwakili Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, manakala peguam Datuk Shaharudin Ali dan Encik Wan Rohimi Wan Daud bertindak bagi pihak Datuk Sanusi.

Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Datuk Sanusi.

Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh dilarang membuat apa-apa komen sehingga kes selesai.

Perkarangan mahkamah pada Selasa dipenuhi dengan ratusan penyokong Menteri Besar Kedah itu, malah beberapa pemimpin PN turut kelihatan hadir memberi sokongan, antaranya Ahli Parlimen (AP) Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, dan AP Besut, Encik Mohamad Zulkifly Jusoh.

Terdahulu, Datuk Sanusi ditahan polis di sebuah hotel di Damansara sekitar 2.30 pagi pada Selasa.

Media baru-baru ini melaporkan ucapan beliau pada satu ceramah politik di Selangor yang dikatakan menghina institusi Diraja Selangor.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >