PARIS: Dua singa dan tiga monyet emas telah melalui kemudahan kargo udara di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris, dalam perjalanan mereka ke sebuah zoo di Perancis tengah pada awal 2025.
Selain haiwan hidup, kemudahan itu juga mengendalikan jenis kargo khusus lain seperti farmaseutikal dan barangan mudah rosak seperti daging dan susu.
Kemudahan itu dimiliki oleh Sats, penyedia perkhidmatan pengendalian kargo udara yang tersenarai di Singapura, dan dikendalikan oleh anak syarikatnya, Worldwide Flight Services (WFS), yang diambil alih pada 2023, lapor The Straits Times (ST).
Selepas pengambilalihan bernilai 1.3 bilion euro ($1.9 bilion), Sats menjadi pengendali kargo udara terbesar di dunia.
Rangkaian Sats-WFS yang digabungkan beroperasi di lebih 215 stesen merentas 27 negara, meliputi laluan perdagangan yang menyumbang lebih separuh daripada jumlah kargo udara sejagat.
Naib Presiden, WFS di Perancis, Encik Laurent Bernard, berkata pada 3 Jun negara ini mengendalikan 1.3 juta tan kargo pada 2024, dengan 70 peratus daripadanya melalui Lapangan Terbang Charles de Gaulle.
Pihak media dibawa melawat kemudahan kargo Paris tersebut buat kali pertama pada 4 Jun.
Encik Bernard berkata pengambilalihan Sats telah membantu WFS mengembangkan rangkaian mereka, memberikan mereka visi jangka panjang dan keupayaan untuk melabur dalam perniagaan.
Sebelum ini, WFS “amat memberi tumpuan di Eropah,” katanya.
Syarikat itu juga melihat pertumbuhan di Amerika Syarikat, tetapi tidak mempunyai kehadiran yang besar di Asia.
Dengan pengambilalihan itu, jangkauan mereka kini benar-benar global, mengukuhkan kedudukan mereka untuk berunding tawaran yang lebih baik dengan pelanggan.
“Apabila mereka berunding dengan kami, mereka mahu perjanjian sejagat. Kami boleh menawarkan pakej penuh, dan banyak stesen (di seluruh dunia), yang sangat penting,” kata Encik Bernard.
Sebelum ini, WFS dimiliki oleh sebuah firma ekuiti swasta yang memberi tumpuan kepada keuntungan cepat.
Pengambilalihan oleh Sats membolehkan syarikat melabur dengan perspektif jangka panjang.
WFS mempunyai 120,000 meter persegi ruang gudang di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, dengan 20 peratus daripadanya untuk kargo khusus, sementara selebihnya untuk kargo umum, yang merupakan perniagaan utama syarikat.
Di luar Paris, WFS beroperasi di 11 lapangan terbang di seluruh Perancis, termasuk di Lille, Lyon, Marseille, Nantes, dan Strasbourg.
Media melawat kemudahan yang mengendalikan tiga jenis kargo khusus seperti, e-dagang, farmaseutikal, dan khidmat penghantaran barang.
Gudang e-dagang seluas 5,000 meter persegi, kurang 100 meter dari sisi udara, memastikan pemindahan cepat dan cekap.
Kargo boleh dikeluarkan dalam sejam dan diambil dalam dua jam selepas pemeriksaan.
Sebahagian besar kargo berasal dari China.
Gudang farmaseutikal seluas 2,400 meter persegi dikawal suhu, dengan bahagian mengekalkan suhu antara 15–25°C dengan 2–8°C untuk vaksin, insulin, dan peranti perubatan.
Perkhidmatan penghantaran barang melibatkan penyatuan penghantaran bagi syarikat kecil yang tidak mempunyai gudang sendiri, menawarkan penyelesaian yang lebih menjimatkan kos.
Selain operasi mereka di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, WFS turut mengendalikan sebuah akademi latihan untuk melatih 16,000 pekerja dalam pengendalian haiwan hidup, farmaseutikal, barangan berbahaya, dan barang mudah rosak.
Sementara itu, Sats, dengan kerjasama Kuehne + Nagel, mengumumkan tiga perkhidmatan baru untuk memperkukuh ketahanan logistik udara sejagat, termasuk penghantaran segera bahagian pesawat ke Lapangan Terbang Changi semasa kecemasan Aircraft-on-Ground (AOG).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg