Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaji tahunan CEO Sats naik hampir 30% kepada $2.4j

Jul 4, 2024 | 5:39 PM
Pakej gaji CEO Sats, Encik Kerry Mok, merangkumi gaji sekitar $920,000, bonus $900,000, saham bernilai $540,000 dan pelbagai faedah lain bernilai $74,000.
Pakej gaji CEO Sats, Encik Kerry Mok, merangkumi gaji sekitar $920,000, bonus $900,000, saham bernilai $540,000 dan pelbagai faedah lain bernilai $74,000. - Foto SATS

Syarikat penyedia katering penerbangan dan khidmat lapangan terbang, Sats, memberi pakej gaji sebanyak $2.4 juta kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Kerry Mok, bagi tahun kewangan 2024.

Ini selepas Sats mencatat keuntungan tahunan pertamanya selepas dilanda pandemik Covid-19.

Hasil Sats juga disebabkan sebuah syarikat pengendali kargo yang diperoleh Sats mula menyumbang pendapatan kepada syarikat itu.

Pakej ganjaran Encik Mok merangkumi gaji sekitar $920,000, bonus $900,000, saham bernilai $540,000 dan pelbagai faedah lain bernilai $74,000.

Ia merupakan kenaikan gaji sebanyak 27.9 peratus berbanding pakej gaji beliau yang berjumlah $1.9 juta bagi tahun kewangan 2023, lapor The Business Times (ST).

Secara khusus, gaji yang dinikmati Encik Mok adalah 4.9 peratus lebih tinggi, namun bonusnya menyusut 5.5 peratus.

Encik Mok, 53 tahun, tidak menikmati ganjaran saham bagi tahun kewangan 2023.

Eksekutif yang menikmati gaji kedua tertinggi bagi tahun kewangan 2024 ialah CEO bagi Amerika di syarikat Worldwide Flight Services (WFS) yang diperoleh Sats pada April 2023 pada harga 2.3 bilion euro ($3.4 bilion).

CEO tersebut, Encik Michael Simpson, menikmati ganjaran berjumlah $2 juta hingga $2.25 juta.

Sebelum ini, eksekutif yang menikmati gaji kedua tertinggi ialah Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Sats, Encik Manfred Seah, yang meraih ganjaran $1.25 hingga $1.5 juta bagi tahun kewangan 2024, berbanding $1 hingga $1.25 juta bagi tahun kewangan 2023.

Pemerolehan WFS telah membolehkan Sats mempunyai perniagaan yang lebih pelbagai dari segi geografi.

Singapura membentuk 34 peratus daripada pendapatan Sats bagi tahun kewangan 2024, turun daripada 85 peratus bagi tahun kewangan 2022, dan Amerika kini membentuk 36 peratus daripada pendapatannya.

Sats menikmati pendapatan tertinggi yang pernah diraih, iaitu, sebanyak $5.1 bilion (naik daripada $1.8 bilion) dan keuntungan sebanyak $56.4 juta bagi tahun kewangan 2024 hingga Mac, berbanding kerugian bersih $26.5 juta bagi tempoh sama setahun lalu.

Sats menyasarkan pendapatan lebih $8 bilion menjelang tahun kewangan 2028, memperoleh pulangan ke atas ekuiti sebanyak 15 peratus, selain mempunyai permodalan pasaran sebanyak $10 bilion selepas tahun kewangan 2028.

Untuk mencapainya, Sats akan memberi tumpuan untuk membayar balik pinjamannya, melabur semula ke dalam perbelanjaan modal, dan meneruskan semula pemberian dividen kepada pemegang saham.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg