LONDON: Sebuah masjid diserang secara purata setiap lima hari di Britain, menurut data baharu yang menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam jenayah kebencian terhadap masyarakat Islam.

Amanah Muslim Britain (BMT), badan yang dilantik kerajaan Britain untuk memantau kebencian anti-Islam, merekodkan lebih 70 serangan terhadap masjid sepanjang tempoh 12 bulan lalu.

Kes itu merangkumi keganasan, ugutan, gangguan, kerosakan harta benda, vandalisme, ucapan kebencian terhadap Islam serta penderaan dalam talian, lapor The Guardian.

BMT memberi amaran bahawa serangan terhadap masjid semakin kerap dan boleh terus meningkat sekiranya langkah segera tidak diambil untuk melindungi tempat ibadah serta masyarakat Islam.

London, Greater Manchester dan West Midlands dikenal pasti sebagai tiga kawasan yang mencatat jumlah serangan tertinggi.

Di London sahaja, sembilan serangan berasingan terhadap masjid direkodkan sepanjang tahun 2025, manakala sebuah masjid di Birmingham diserang sebanyak tiga kali dalam tempoh sama.

Ketua Pegawai Eksekutif BMT, Cik Akeela Ahmed, berkata peningkatan serangan itu memerlukan tindak balas lebih tegas daripada kerajaan termasuk mempercepat bantuan keselamatan kepada masjid.

“Kami melihat peningkatan berterusan dalam jumlah serangan terhadap masjid dan kami percaya pemerintah perlu melakukan segala yang termampu untuk membantu masjid melindungi diri mereka,” katanya.

Data Kementerian Dalam Negeri Britain turut menunjukkan jenayah kebencian anti-Islam di England dan Wales meningkat 19 peratus dalam tempoh 12 bulan sehingga akhir Mac 2025.

Hampir 4,500 kes direkodkan dalam tempoh itu, merangkumi hampir separuh daripada semua jenayah kebencian bermotifkan agama.

Peningkatan berkenaan mencetuskan kebimbangan bahawa masyarakat Islam bukan sahaja berdepan ancaman ketika berada di masjid, malah turut menjadi sasaran di jalan raya, kawasan kejiranan dan ruang dalam talian.

Pada awal tahun 2026, kerajaan mengumumkan peruntukan sehingga £40 juta bagi meningkatkan keselamatan di masjid, sekolah agama Islam dan pusat masyarakat untuk tahun kewangan 2026-2027.

Dana itu boleh digunakan untuk memasang kamera litar tertutup, sistem penggera, pagar keselamatan dan mendapatkan khidmat kakitangan keselamatan.

Garis panduan Kementerian Dalam Negeri menyatakan masjid boleh memohon bantuan sekiranya pernah menjadi sasaran jenayah kebencian, berasa terdedah kepada ancaman atau terdapat serangan terhadap tempat ibadah lain di kawasan berhampiran.

Pemohon juga dikehendaki mengemukakan bukti kukuh dan menerangkan dengan jelas risiko keselamatan yang dihadapi.

Permohonan yang gagal memberikan bukti mencukupi atau tidak menjelaskan ancaman dengan jelas berkemungkinan besar tidak diluluskan.

BMT berkata syarat itu menjadi halangan besar kepada banyak masjid kerana mereka perlu membuktikan telah menjadi sasaran sebelum boleh menerima perlindungan.

Cik Ahmed menyifatkan pendekatan itu sebagai tindakan yang hanya diambil selepas serangan berlaku, sedangkan setiap masjid sememangnya berisiko hanya kerana ia merupakan tempat ibadah umat Islam.

“Meminta bukti bahawa anda sedang menjadi sasaran adalah seperti hanya menutup pintu kandang selepas kuda terlepas.

“Sebuah masjid terdedah kepada ancaman semata-mata kerana ia sebuah masjid,” katanya.

Menurut BMT, sesetengah masjid terpaksa menunggu sehingga 18 bulan untuk menerima dana keselamatan, manakala permohonan lain ditolak tanpa penjelasan.

Kelewatan itu menyebabkan pengurusan masjid dan jemaah terus berada dalam ketakutan, terutama di kawasan yang pernah mencatat serangan atau ugutan.

“Masjid kini menunggu berbulan-bulan sambil hidup dalam ketakutan terhadap kemungkinan serangan seterusnya kerana tunggakan permohonan.

“Dalam banyak kes, polis juga tidak memberi respons terhadap insiden peringkat rendah, menyebabkan orang ramai berasa takut dan terdedah,” kata Cik Ahmed.

Beliau berkata kewujudan dana keselamatan itu dialu-alukan, tetapi proses permohonan perlu dipermudah dan kelulusan mesti dipercepat sejajar dengan peningkatan ancaman.

“Dana dan inisiatif ini sememangnya satu perkembangan baik, tetapi kita perlu menyedari bahawa serangan semakin meningkat dan kita mesti bertindak serta membuat persediaan,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri berkata kerajaan menyedari masyarakat Islam di Britain berdepan tahap jenayah kebencian agama yang serius.

“Umat Islam di Britain berdepan tahap jenayah kebencian agama yang membimbangkan. Amat penting mereka bukan sahaja selamat, tetapi turut berasa selamat,” menurut kementerian itu.

Kerajaan berkata peruntukan keselamatan untuk masjid, sekolah agama Islam dan pusat masyarakat telah dinaikkan ke paras tertinggi, iaitu sehingga £40 juta ($68 juta) bagi tahun kewangan 2026-2027.

“Kami sedang berusaha memproses semua permohonan secepat mungkin,” katanya.

Pada Jun lalu, Amnesty Antarabangsa memberi amaran bahawa serangan berunsur Islamofobia di Britain sudah mencapai “tahap kecemasan” dan mendesak kerajaan mengambil tindakan segera.

Masyarakat Islam terus berdepan beberapa serangan serius, termasuk cubaan membunuh tiga lelaki Islam di Edinburgh pada Jun serta serangan membakar yang disyaki menyasarkan Masjid Peacehaven di Sussex pada Oktober.

BMT berkata angka terkini menunjukkan serangan terhadap masjid tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil.

Sebaliknya, kejadian itu mencerminkan ancaman yang semakin meluas terhadap keselamatan masyarakat Islam dan kebebasan mereka untuk beribadah tanpa rasa takut. - Agensi berita