Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Satu maut, tujuh hilang selepas dua helikopter tentera Jepun terhempas

Apr 21, 2024 | 10:45 AM



TOKYO: Dua helikopter pertahanan maritim Jepun dilaporkan terhempas ke laut semasa satu latihan, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang daripada lapan anggota anak kapal yang menaikinya, menurut laporan media setempat.


Tujuh lain masih hilang, menurut para pegawai.

Kededua helikopter peronda SH-60K itu sedang menjalankan latihan anti-kapal selam pada lewat 20 April dekat Torishima dalam kepulauan Izu, di luar pantai selatan tengah Jepun, menurut laporan siaran nasional NHK.


Menurut laporan, usaha mencari anak kapal yang hilang masih diteruskan, dan kotak rakaman kededua helikopter itu telah ditemui.

Menteri Pertahanan Jepun, Encik Kihara Minoru pada 21 April berkata kemungkinan kededua helikopter itu telah bertembung, menurut laporan.

Encik Minoru, dilaporkan berkata penyelamat “ternampak apa yang dipercayai sebahagian daripada pesawat itu di laut, dan kami percaya kedua-dua helikopter itu terhempas.”

“Ketika ini puncanya tidak diketahui, tetapi pertama sekali kami lakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa,” kata Kihara kepada pemberita.

Beliau berkata, helikopter itu “melakukan latihan untuk menentang kapal selam pada waktu malam.”

Helikopter itu kelihatan terhempas ketika latihan pada waktu malam di luar Kepulauan Izu di Lautan Pasifik, lapor penyiar NHK.


Komunikasi dengan salah sebuah helikopter hilang pada jam 10.38 malam (1338 GMT) di luar pulau Torishima, dan seminit kemudian isyarat kecemasan diterima daripada helikopter ini, lapor NHK.


Kira-kira 25 minit kemudian, sekitar 11.04 malam, pihak tentera menyedari komunikasi dengan pesawat lain turut terputus di kawasan sama.

Helikopter sedemikian kebanyakannya berasaskan dan beroperasi dari kapal pemusnah tentera laut.

Pertahanan Maritim Jepun itu berkata memandangkan tiada pesawat atau kapal lain di perairan berhampiran, pembabitan negara lain dalam insiden itu ditolak, tambah NHK.


Pada 6 April 2023, sebuah helikopter tentera Jepun dengan 10 orang di dalamnya terhempas di pulau Miyako di selatan Okinawa.

Dua juruterbang, dua mekanik dan enam anak kapal berada di atas helikopter UH-60JA itu. Tiada yang terselamat.

Pada Januari 2022, sebuah jet pejuang Jepun terhempas di perairan wilayah Ishikawa tengah, membunuh dua juruterbang.

Pada 2019, sebuah jet siluman F-35A terhempas ke dalam laut selepas berlepas dari timur laut Jepun dalam misi latihan.

Juruterbang, yang maut dalam nahas itu, dikatakan mengalami kekeliruan ruang. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >