RIYADH: Arab Saudi akan menganjurkan Sidang Puncak Negara Arab-Islam pada 11 November untuk membincangkan serangan Israel di wilayah Palestin dan Lebanon, serta perkembangan serantau lain.
Agensi Anadolu melaporkan satu kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi mengatakan sidang puncak itu akan menjadi susulan kepada sidang puncak yang diadakan di Riyadh, Saudi, pada 11 November 2023, untuk membincangkan perang Israel di Gaza.
Kementerian itu mengutuk “jenayah dan pelanggaran” berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, serta serangan di Lebanon, sambil menekankan risiko serius terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.
Ketegangan serantau sudah meningkat berikutan serangan kejam Israel di Jaluran Gaza, yang mengorbankan lebih 43,160 orang sejak 7 Oktober 2023.
Apabila konflik itu merebak ke Lebanon dengan Israel melancarkan serangan maut di seluruh negara itu, lebih 2,700 orang terbunuh dan lebih 12,500 cedera sejak 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lebanon.
Walaupun terdapat amaran antarabangsa bahawa rantau Asia Barat berada di ambang perang serantau akibat serangan berterusan Israel di Gaza dan Lebanon, Tel Aviv memperluaskan konflik itu pada 1 Oktober dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lebanon.
Turut berlaku ialah serangan balas antara Israel dan musuh ketatnya di rantau itu, Iran, yang turut membimbangkan banyak pihak di rantau itu dan antarabangsa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg