Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi berdepan dilema sertai perang AS-Iran
Saudi berdepan dilema sertai perang AS-Iran
Penyelesaian diplomatik kekal jadi pilihan utama bagi pastikan matlamat jangka panjang kembang ekon tidak terjejas
Saudi berdepan dilema sertai perang AS-Iran
RIYADH: Keputusan Arab Saudi menyertai operasi ketenteraan bersama Amerika Syarikat terhadap kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq menandakan perubahan penting dalam pendirian Riyadh selepas lebih lima bulan cuba mengelakkan diri daripada terheret secara langsung ke dalam perang serantau yang semakin melebar.
Walaupun serangan udara itu disifatkan sebagai tindakan mempertahankan diri, ramai penganalisis berpendapat Arab Saudi kini berada dalam kedudukan yang semakin sukar apabila perlu mempertahankan keselamatan negara tanpa menjejaskan matlamat ekonomi jangka panjang di bawah Wawasan 2030.
Kementerian Pertahanan Arab Saudi mengumumkan serangan pada 28 Julai itu dilancarkan bersama Amerika selepas beberapa kemudahan minyak negara berkenaan didakwa menjadi sasaran serangan dron oleh kumpulan militia di Iraq yang disokong Iran.
Bagaimanapun, tiada kumpulan militia Iraq mengaku bertanggungjawab terhadap serangan dron itu.
Majlis Keselamatan Negara Iraq mengecam tindakan tersebut dengan menyatakan serangan berkenaan mengorbankan serta mencederakan “beberapa orang awam yang tidak bersalah”, manakala Perdana Menteri Iraq, Encik Ali al-Zaidi, menyifatkannya sebagai “pencerobohan yang tidak boleh diterima”.
Arab Saudi pula menegaskan operasi itu bukan permulaan kepada penglibatan lebih besar dalam perang Amerika-Iran, sebaliknya tindak balas terhad terhadap ancaman keselamatan yang dihadapi negara itu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Malki, berkata kerajaan tidak mahu meningkatkan konflik tetapi akan bertindak balas terhadap sebarang serangan.
“Kerajaan menegaskan bahawa ia tidak mencari peningkatan tetapi akan bertindak balas terhadap setiap pencerobohan,” katanya sambil menegaskan hak mempertahankan diri berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa.
Sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, Arab Saudi seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada menjadi pihak yang terlibat secara langsung.
Namun, keadaan berubah apabila negara itu didakwa diserang dari beberapa arah, termasuk oleh kumpulan Houthi di Yaman dan militia yang disokong Iran di Iraq.
Konflik itu kini menyaksikan Iran bersama Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) disokong beberapa kumpulan sekutu seperti Houthi di Yaman, Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) di Iraq serta Hezbollah di Lebanon.
Di pihak satu lagi ialah Amerika melalui Markas Pusat Amerika (Centcom), yang mendapat sokongan beberapa negara Teluk dan Jordan, manakala Israel kekal sekutu rapat Washington walaupun tidak terlibat secara langsung dalam operasi semasa.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Iran meningkatkan tekanan dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Jordan, Bahrain dan Kuwait, selain menyasarkan kapal dagang yang melalui Selat Hormuz.
Pada masa sama, Houthi turut meningkatkan serangan terhadap kepentingan Arab Saudi di Laut Merah, termasuk mengisytiharkan sekatan terhadap kapal tangki minyak negara itu.
Perkembangan ini menyebabkan Arab Saudi berdepan ancaman dari utara dan selatan secara serentak.
Penganalisis melihat Riyadh kini mempunyai dua pilihan yang sama sukar, iaitu meneruskan tindakan ketenteraan sebagai langkah pencegahan atau kembali mengutamakan diplomasi bagi mengelakkan konflik terus melebar.
Bagi Putera Mahkota Mohammed bin Salman, konflik yang berpanjangan boleh menggugat agenda Wawasan 2030 yang bertujuan mengurangkan pergantungan ekonomi kepada hasil minyak melalui pembangunan sektor pelancongan, teknologi, industri moden dan pelaburan asing.
Usaha menarik pelabur antarabangsa memerlukan persekitaran yang stabil dan selamat, sedangkan perang yang semakin meluas meningkatkan risiko terhadap projek-projek strategik termasuk pusat data, bandar pintar dan kemudahan industri bernilai berbilion dolar.
Selain itu, ketidaktentuan keselamatan turut meningkatkan kos operasi, premium insurans dan risiko kepada pelabur asing.
Konflik juga memberi kesan langsung kepada sektor tenaga yang masih menjadi sumber utama pendapatan Arab Saudi.
Selepas Iran mengetatkan kawalan di Selat Hormuz, Riyadh meningkatkan penghantaran minyak melalui saluran paip timur-barat ke terminal Yanbu di Laut Merah bagi memastikan eksport ke Asia tidak terjejas.
Namun, strategi itu kini turut menghadapi cabaran apabila Houthi mula menyasarkan kapal Arab Saudi di Laut Merah serta kawasan sekitar Selat Bab el-Mandeb, sekali gus mengancam laluan eksport alternatif negara itu.
Situasi berkenaan mengingatkan Riyadh kepada serangan besar terhadap kemudahan minyak Abqaiq dan Khurais pada September 2019 yang menyebabkan hampir separuh pengeluaran minyak Arab Saudi terganggu selama beberapa hari.
Minggu ini, imej satelit sekali lagi menunjukkan kemudahan Abqaiq menjadi sasaran serangan dron yang didakwa dilancarkan oleh kumpulan proksi Iran di Iraq.
Insiden berulang itu membuktikan bahawa prasarana tenaga Arab Saudi masih kekal terdedah kepada ancaman walaupun kawalan keselamatan dipertingkatkan sejak beberapa tahun lalu.
Abdulaziz Alghashian, Zamil Kanan Bukan Bermastautin di Forum Antarabangsa Teluk, berkata kepimpinan Arab Saudi mungkin merasakan sikap berdiam diri selama ini telah ditafsirkan sebagai kelemahan.
Menurutnya, tindakan ketenteraan minggu ini bertujuan menghantar mesej jelas bahawa setiap serangan terhadap Arab Saudi akan membawa akibat kepada pihak yang melakukannya.
Penganalisis pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Faisal Al-Hamad pula berkata operasi berkenaan bertujuan menetapkan “garis merah” bagi menghalang serangan berulang.
Encik Hasan Alhasan dari Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik pula berpendapat serangan itu juga boleh dianggap sebagai amaran kepada Iran bahawa sebarang peningkatan konflik berisiko mendorong Arab Saudi memperkukuh lagi kerjasama ketenteraan dengan Amerika.
Walaupun begitu, ramai pemerhati percaya Riyadh masih berhati-hati agar tindakan ketenteraan itu tidak menghapuskan usaha memulihkan hubungan dengan Teheran yang dibina sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagi Arab Saudi, cabaran sebenar bukan sekadar mempertahankan sempadannya, tetapi memastikan konflik serantau tidak menggagalkan transformasi ekonomi terbesar dalam sejarah moden negara itu.
Selagi perang Amerika-Iran berterusan tanpa penyelesaian politik yang berkekalan, Arab Saudi dijangka terus mengimbangi keperluan mempertahankan keselamatan negara dengan usaha mengekalkan kestabilan yang menjadi asas kepada cita-cita Wawasan 2030. – Agensi berita.