Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi gesa jemaah umrah pakai semula pelitup demi cegah varian baru Covid-19

Aug 17, 2023 | 12:01 PM
LANGKAH BERJAGA-JAGA: Jemaah umrah yang mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi digalakkan memakai semula pelitup bagi mencegah penularan varian baru Covid-19.
LANGKAH BERJAGA-JAGA: Jemaah umrah yang mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi digalakkan memakai semula pelitup bagi mencegah penularan varian baru Covid-19. - Foto EPA-EFE

JEDDAH: Arab Saudi mengesyorkan anggota jemaah umrah yang mengunjungi dua masjid suci – Masjidil Haram dan Masjid Nabawi – agar memakai semula pelitup bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.

Menurut infografik yang dimuat naik pada Isnin ke akaun rasmi Direktorat Am Keselamatan Awam Arab Saudi di X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), saranan itu dibuat demi menjaga kesihatan anggota jemaah yang semakin ramai mengunjungi kedua-dua masjid tersebut.

Saranan itu juga merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan yang dikuatkuasakan Arab Saudi sejak awal musim umrah 1445 Hijrah bagi warga dan penduduk tetap negara itu serta negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Nasihat itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penyebaran varian Omicron EG.5 baru Covid-19 dengan mengklasifikasikannya sebagai “varian yang membimbangkan”.

Media Arab Saudi sebelum ini melaporkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah mengedarkan hampir dua juta pelitup kepada anggota jemaah pada Julai lalu.

Sementara itu, jangkitan dan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 di Amerika Syarikat, Eropah, dan Asia telah mencatat peningkatan yang dipercayai disebabkan oleh varian baru EG.5 yang juga dikenali sebagai ‘Eris’.

Varian itu merupakan subvarian daripada Omicron yang mula dikesan pada November 2021.

Menurut WHO, mutasi varian EG.5 berpotensi membuat wabak itu lebih mudah berjangkit atau lebih serius.

Namun, WHO menyatakan bahawa pada masa ini, varian itu belum memberi ancaman serius kepada kesihatan awam dan tiada bukti yang menunjukkan peningkatan kes serius secara langsung disebabkan oleh EG.5.

Hingga 8 Ogos lalu, WHO telah merekodkan kehadiran EG.5 di lebih 50 negara dan varian itu telah menjadi subvarian paling banyak dan cepat merebak di Amerika.

Ia dianggarkan menyumbang kira-kira 17 peratus daripada kesemua kes Covid-19 di negara tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg